Categories
AGENDA NASIONAL

16 menteri dijangka gulung perbahasan titah diraja hari ini

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Seramai 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik Covid-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Kuarantin tiga hari menteri tertakluk syarat ketat

PUTRAJAYA, 9 FEB: Jemaah menteri yang mengadakan lawatan rasmi ke luar negara perlu mematuhi syarat ketat bagi mendapatkan pengecualian memendekkan tempoh kuarantin kepada tiga hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jika gagal mematuhi syarat ditetapkan mengikut Seksyen 29 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021, mereka perlu melengkapkan tempoh kuarantin selama 10 hari.

Dr Noor Hisham berkata syarat itu termasuk mengemukakan permohonan kepada Kabinet sebelum membuat perjalanan.

“Apabila Kabinet luluskan, kami akan melihat jadual (lawatan), tatacara operasi piawai (SOP) dan (perjalanan) untuk urusan rasmi sahaja serta jadual dikemukakan untuk kedua-dua pihak (dari Malaysia dan negara dilawati).

“Kita juga akan melihat kepada aktiviti-aktiviti yang ringkas, padat dan tidak libatkan orang ramai seperti di tempat awam,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemohon juga perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum dan selepas pulang dari lawatan rasmi serta menggunakan pesawat peribadi untuk lawatan berkenaan, manakala penggunaan pesawat komersial tidak akan dipertimbangkan.

“Mereka (jemaah menteri) akan menjalani perintah pemerhatian sekurang-kurangnya tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain. ‘Atau’ itu mungkin tujuh hari, 14 hari atau mungkin dilanjutkan sampai 21 hari,” katanya.

Mengenai lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta, Jumaat lalu, Dr Noor Hisham berkata Perdana Menteri telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bertolak pada 3 Februari iaitu sebelum berlepas pada keesokan harinya, sebaik tiba di Jakarta dan pulang ke tanah air.

Menurutnya, beliau juga telah mengeluarkan Perintah Pengawasan Di Rumah (HSO) terhadap Perdana Menteri.

“Ujian calitan juga dijalankan hari ini iaitu hari kelima dan (beliau) akan lengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari, jadi tiga campur tujuh bermakna 10 hari,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata jika terdapat perjanjian laluan hijau timbal balik(RGL), ujian saringan tetap akan dilakukan.

“Contohnya dengan negara jiran, ujian calitan tetap dilakukan tetapi tidak perlu jalani kuarantin. Tetapi sekarang ini jemaah menteri mesti dikuarantin minimum tiga hari atau diletakkan di bawah pengawasan sehingga dilepaskan tanpa membahayakan orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada Seksyen 29 Akta 342 berkenaan terpakai kepada orang awam, Dr Noor Hisham berkata, ia boleh dipertimbangkan dengan syarat ketat.

“Tempoh kuarantin akan dilanjutkan kepada 10 hingga 14 hari sekiranya negara tersebut berisiko tinggi seperti Afrika Selatan dan sebagainya,” katanya.

Pada Isnin, warta kerajaan persekutuan yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Peguam Negara memberi pengecualian kepada jemaah menteri untuk tidak menjalani kuarantin wajib 10 hari berkuat kuasa pada Selasa sehingga 1 Ogos.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kuarantin menteri pulang dari lawatan rasmi dilonggar

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Jemaah Menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikecualikan daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan selama 10 hari.

Perkara itu dinyatakan dalam warta kerajaan persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara semalam.

“Tertakluk kepada perenggan 3, menteri mengecualikan Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta.

“Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” menurut warta itu.

Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, menyatakan peraturan itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 1 Ogos ini.

Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memperuntukkan seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Kerajaan sebelum ini memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas tatacara pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19 daripada 14 kepada 10 hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakai pelitup muka hanya wajib di tempat sesak – menteri

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengakui masih terdapat kekeliruan berhubung penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung pemakaian pelitup muka, Ismail Sabri berkata apabila seseorang itu bersendirian dan mengamalkan penjarakan fizikal, adalah tidak wajib untuk individu berkenaan memakai pelitup muka.

“Tempat awam banyak, taman awam adalah tempat awam, tapi bila bersendirian maka tidak perlulah memakai pelitup muka kerana seperti saya katakan di tempat awam yang bersesak. Kalau di pasar bersesak, kalau dalam bas atau LRT bersesak, maka perlulah dan wajib pakai pelitup muka.

“Tetapi kalau bersendirian atau ada penjarakan fizikal antara satu sama lain, sebagai contoh di restoran kita (sudah tentu) tidak boleh pakai pelitup muka semasa makan. Tapi kerana ada penjarakan antara satu sama lain maka dibenarkan untuk tidak pakai pelitup muka,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Beliau menyatakan perkara itu berikutan isu tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang individu yang berada di tempat awam berseorangan dan tidak memakai pelitup muka dikenakan tindakan.

Mulai 1 Ogos, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sesak dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bertegas dan tidak bertolak ansur dengan pemilik premis hiburan yang masih berdegil tidak mematuhi SOP dengan sama ada menarik semula lesen premis atau menghentikan operasi mereka untuk selamanya.

Ia susulan tangkapan membabitkan operasi pusat hiburan berlaku hampir setiap hari walaupun sudah ada makluman dan peringatan dikeluarkan.

“Arahan daripada kerajaan juga amat jelas untuk tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini dan masih di bawah senarai terlarang. Premis seumpamanya tersenarai di bawah larangan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara juga katanya, bersetuju secara dasar dengan cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung pembukaan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka seperti Zoo Negara, Legoland dan lain-lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangkapan harian individu ingkar PKP terus catat tiga angka – menteri

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Mereka yang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatat tiga angka, apabila semalam seramai 518 individu ditahan, dengan 517 daripadanya dikompaun dan seorang direman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal menjadi kesalahan tertinggi dengan 193 kes, manakala aktiviti di pusat hiburan sebanyak 119 kes.

“Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka iaitu 71 kes, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (58 kes), dan lain-lain sebanyak 77 kes,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata semalam, sebanyak 2,361 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,682 anggota telah membuat pemantauan di 3,543 pasar raya, 4,880 restoran serta 1,623 penjaja, 1,293 kilang, 3,377 bank dan 508 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,024 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 62 terminal pengangkutan udara.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 47 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram, dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata sejak April hingga semalam, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat sebanyak 13,786 pemeriksaan yang melibatkan 7,930 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 8 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Beliau berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan 550 pemeriksaan khas SOP PKPP semalam, mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 81,896 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 79 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 11,485 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 69,902 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya dan menambah kata kesemua mereka pulang dari 36 negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Data peribadi aplikasi MySejahtera selamat, usah bimbang – menteri

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan memberi jaminan data peribadi orang ramai menerusi aplikasi MySejahtera selamat kerana dikawal selia sepenuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aplikasi dimiliki sepenuhnya Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut dikawal di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Katanya, ciri keselamatannya mematuhi piawaian antarabangsa dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana ia di bawah kawalan kerajaan dan kita mengawalnya serta memastikan data peribadi itu dilindungi daripada sebarang isu kononnya data itu dikongsi sesiapa.

“Adalah menjadi kesalahan jika data peribadi itu dikongsi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab dan boleh didakwa di bawah Akta Perlindungan Peribadi,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video mendakwa data peribadi orang ramai pada aplikasi MySejahtera mudah diakses dan dibocori.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Medan 88 tidak kembali sila serah diri atau ditahan polis – menteri

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang masih dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Rabu lepas diminta tampil menyerah diri serta-merta atau akan ditangkap polis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka diminta kembali ke kawasan berkenaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah memutuskan rantaian wabak itu.

“Kami tidak kisah sama ada mereka lari atau takut hendak balik (kerana Medan 88 dikenakan PKPD), apa yang penting mereka ini menyerah diri dan kami akan tangkap mana-mana majikan yang bersubahat melarikan mereka.

“Selain itu, kami hendak mereka balik supaya penduduk di kawasan itu boleh membuat ujian saringan Covid-19 dan mengetahui status kesihatan mereka agar ia tidak menjangkiti orang lain,” katanya selepas program Ruang Bicara Bernama TV : “Belanjawan 2021 : Memperkasa Pertahanan”, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penduduk Medan 88 yang dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan PKPD.

“Saya risau sekiranya mereka keluar dan pergi ke tempat lain lalu menjangkiti orang lain dengan Covid-19, maka ia akan menjadi lebih sukar untuk memutuskan rantaian wabak ini. Jika ada daripada mereka yang telah balik, alhamdulillah, yang mana belum balik jangan sampai kena tangkap,” katanya.

Pada 12 November lepas, Bernama melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam sidang media berkata polis sedang mengesan individu yang melarikan diri berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lokasi pekerja yang tidak pulang daripada majikan dan rakan-rakan sekerja mereka yang terbabit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

UPKK ditunda ke Okt 2021, beri peluang sedia – menteri

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun ini ditunda berikutan penularan pandemik Covid-19 dan akan dilakukan serentak dengan UPKK tahun depan iaitu dari 4 hingga 7 Oktober 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan itu dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) setelah mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

Beliau berkata ia melibatkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran.

“Sementara ujian bagi subjek al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dilaksanakan 1 hingga 30 September 2021. Jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan ini membolehkan calon membuat persediaan mencukupi sebelum menduduki peperiksaan, tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan pindaan turut dilakukan untuk penilaian subjek berbentuk amali yang merangkumi Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam.

Katanya, sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar bilik darjah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diambil kira sebagai satu bentuk penilaian.

UPKK dilaksanakan semasa pelajar berada di tahun lima dan calon UPKK perlu menduduki kelas KAFA iaitu program pengukuhan berkonsepkan pendidikan Islam peringkat rendah, sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun untuk menduduki peperiksaan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Sekolah tutup, PKPB beberapa negeri Semenanjung

SHAH ALAM, 7 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri Semenanjung berkuatkuasa selama empat minggu kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Menteri kanan (keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata PKPB dilaksanakan di Semenanjung bermula 9 November sehingga 6 Disember.

“Selepas mendengar perkembangan kes daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesyuarat pagi tadi turut bersetuju melaksanakan PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember.

“Pelaksanaan ini membolehkan KKM membuat saringan bersasar dan mengekang pergerakan,” kata pada sidang media hari ini.

Susulan daripada langkah itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, yang sepatutnya tamat pada 9 November ini juga akan bersambung serentak dengan penguatkuasaan PKPB di tujuh negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata SOP bagi PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya:

• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada PDRM.

• Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup.

• Aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan Azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

• Semua aktiviti sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.

• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

• Semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

• Restoran/kedai makan secara dine-in dihadkan 2-4 orang satu meja dengan SOP premis makanan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara bungkus, penghantaran dan pandu lalu.

• Pasar Harian dibuka jam 6 pagi – 2 petang, Pasar Borong 4 pagi – 2 petang, Pasar Tani 6 pagi – 12 tengah hari

• Operasi Pasar Malam adalah bermula 4 petang sehingga 10 malam dengan pematuhan SOP yang ketat dan dengan pengawasan anggota RELA.

• Operasi Stesen Minyak bermula daripada 6 pagi hingga 10 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)

• Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing (maksimum 2 penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

• Kenderaan bawa pekerja boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.

• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

• Waktu operasi klinik, hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam manakala Farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8 pagi sehingga 11 malam.

• Maklumat lanjut SOP boleh rujuk dilaman sesawang MKN.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Deepavali: Tidak dibenarkan balik kampung rentas kawasan PKPB, PKBD – menteri

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Tiada pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri dibenarkan bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tujuan balik kampung bersempena Deepavali, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya itu antara yang dipersetujui pada sidang khas hari ini yang mendengar pembentangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Deepavali pada 14 November ini.

Sidang khas itu juga bersetuju penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB dibenarkan mengikuti upacara keagamaan pada hari pertama sambutan dengan SOP yang ketat, katanya.

“Bagaimanapun, aktiviti sembahyang di rumah ibadat, aktiviti ziarah dan perniagaan adalah tidak dibenarkan dalam kawasan PKPD,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kuil hanya dibuka dari 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan upacara disertai tidak lebih 30 orang pada satu-satu masa, bergantung pada keluasan premis.

“Sesi sembahyang itu perlu dibahagikan kepada lima sesi (30 minit setiap sesi) dengan diselangi operasi sanitasi selama 30 minit dengan manisan juga perlu diagihkan secara bungkus kepada penganut dan mereka perlu bersurai selepas selesai upacara sembahyang,” katanya.

Mengenai sambutan di rumah, Ismail Sabri berkata hanya maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat dibenarkan bagi kediaman bertanah sementara kediaman strata pula tidak boleh melebihi 10 orang bagi keluasan kurang 1,500 kaki persegi (kps) dan maksimum 15 orang untuk premis berkeluasan 2,500 kps.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis menahan 506 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam, merangkumi kegagalan merekod butiran pelanggan (145); tidak memakai pelitup muka (124); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (96); aktiviti pusat hiburan (72); premis beroperasi lebih masa (17) dan lain-lain (52).

Mengulas Operasi Benteng, beliau berkata seramai 41 pendatang tanpa izin, dua tekong dan dua penyeludup ditahan semalam serta lima kenderaan darat dirampas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Semua individu diberi makanan termasuk warga asing – menteri

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Bekalan makanan akan diberikan kepada semua individu di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk warga asing, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun kos bagi bekalan makanan mungkin tinggi namun atas dasar perikemanusiaan, makanan turut diagih kepada warga asing dan pada kebiasaannya, kos bekalan makanan warga asing ditanggung oleh badan bukan kerajaan.

“Tanggungjawab penyelarasan (bagi bekalan makanan) ini terletak pada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sepatutnya tidak timbul isu mengenai perkara ini.

“Jika timbul isu tidak mendapat bekalan makanan, hubungi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, MKN peringkat pusat atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di sini semasa menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan ada penduduk tempatan dan warga asing di kawasan PKPD yang tidak mendapat bekalan makanan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua jawatan menteri, timbalan terbatal hari ini

SHAH ALAM, 24 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali memaklumkan perkara itu diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki sebelum ini mengesahkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu Perdana Menteri baharu mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Petang tadi, Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira 90 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Bersatu.