Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Persatuan belia disaran pelbagaikan aktiviti jana pendapatan

AMPANG, 7 MAC: Persatuan belia di Selangor disaran mempelbagaikan aktiviti yang menjana pendapatan bukan hanya menumpukan program sosial sahaja, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata belia perlu berfikir lebih kreatif menerusi kerjasama pelbagai pihak antaranya pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sukarelawan Team Selangor yang akan membimbing mereka.

“Persatuan belia jangan hanya berkumpul untuk susun program sosial, mereka perlu juga berbincang cara untuk menjana pendapatan.

“Kerajaan Negeri amat menggalakkan pertanian moden, jadi belia perlu menyahut seruan ini,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Persatuan Anak Muda DUN Lembah Jaya malam tadi.

Beliau turut meluang masa melakukan menonton perlawanan Liga Super musim 2021 antara Selangor FC dan Sri Pahang yang dimenangi Red Giants 3-1.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan belia ada masa sehingga 2024 sesuai diri had umur baharu

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Persatuan dan majlis belia di negara ini mempunyai masa sehingga 2024 untuk menyesuaikan diri dengan transisi had umur belia baharu seperti yang diputuskan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, had umur baharu itu hanya akan diwartakan pada akhir 2021, justeru kesemua persatuan dan majlis belia mempunyai masa sekurang-kurangnya tiga tahun selepas itu untuk melaksanakan persediaan sebelum pemilihan persatuan masing-masing diadakan.

Beliau berkata, persediaan kepada transisi berkenaan merupakan keutamaannya dan beliau akan terus berjumpa dengan persatuan dan majlis belia yang ada untuk terus berbincang mengenai perkara itu.

“Saya rasa dalam bab ini kita perlu terus melangkah ke hadapan sambil terus berbincang dengan kumpulan-kumpulan sedia ada supaya mereka memahami kenapa kerajaan melaksanakan dasar ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Dewan Rakyat pada 3 Julai lepas, meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang antara lain menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. – BERNAMA