Categories
AGENDA NASIONAL

Pelanggan miliki dua pilihan bagi bantuan pembayaran bersasar

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Para peminjam daripada kategori B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perusahaan mikro mempunyai dua pilihan berkaitan bantuan pembayaran bersasar.

Menurut Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dua pilihan itu adalah menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Mengenai kos perjanjian baharu, pendekatannya adalah berbeza antara bank. Kami menggalakkan pelanggan menghubungi bank mereka untuk maklumat lebih lanjut,” katanya kepada Bernama.

Persatuan itu menjelaskan bantuan itu akan disediakan bagi pembiayaan kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan bantuan dibuat.

Menurutnya, penambahbaikan bantuan pembayaran bersasar turut diberikan kepada pelanggan daripada kumpulan M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Mereka hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri mengenai pengurangan pendapatan mereka dan/atau isi rumah mereka akibat pandemik Covid-19 untuk mendapatkan bantuan pengurangan ansuran bulanan, katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, bagi pembiayaan berkadar tetap, pelanggan institusi perbankan Islam masih perlu menandatangani kontrak baharu menurut keperluan syariah.

Menurut AIBIM, bank-bank ahli AIBIM bersedia dan memberi sepenuh keyakinan kepada para pelanggan bahawa bantuan adalah tersedia dengan proses yang mudah untuk para pelanggan yang terkesan.

Para pelanggan institusi perbankan Islam boleh menghubungi pihak bank masing-masing untuk membuat permohonan bantuan pembayaran bersasar bermula 23 November 2020 sehingga 30 Jun 2021.

AIBIM juga menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan bagi memutuskan rangkaian Covid-19 selain memastikan semua komunikasi dan transaksi perbankan adalah dari dan melalui sumber yang sahih.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Kolaborasi AIBIM-Hijrah Selangor bantu usahawan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Gandingan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Hijrah Selangor dilihat satu program yang positif bagi membantu usahawan mendapatkan pinjaman perniagaan mereka.

EXCO Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, gandingan itu supaya usahawan di Selangor khususnya dapat memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, kerjasama itu membabitkan gabungan 26 institusi perbankan Islam dan ia adalah inisiatif dibawah Invest Selangor yang memulakan usaha terbabit.

“Kolaborasi itu menunjukkan bahawa potensi bagi peminjam Hijrah Selangor untuk melakukan pinjaman dengan jumlah yang lebih besar akan lebih cerah.

“Ramai dalam kalangan peminjam saya lihat mereka berasakan masuk ke dalam program ini dengan hanya pinjaman kecil-kecilan sudah memadai.

“Walhal apabila mereka menceburi program ini sebenarnya potensi untuk mengembangkan perniagaan amat besar sekali gus memudahkan kita membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Graduasi Program Transformasi Kewangan Usahawan Selangor di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Pada masa sama, Rodziah optimis peminjam tidak hanya bergantung semata-mata dengan Hijrah Selangor sebaliknya cuba berusaha merebut peluang yang ada.

Katanya, beliau kagum dengan insiatif Hijrah Selangor yang bukan sahaja menyediakan pinjaman seperti sebelum ini namun turut memberikan bimbingan usahawan ke arah meningkatkan pendapatan mereka ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, mengulas berkenaan Pembentangan Belanjawan Persekutuan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Rodziah menyifatkan ia komprehensif dan matang.

“Perkara besarnya adalah meransang ekonomi dan sudah tentu ransangan ekonomi itu menjurus kepada melahirkan ramai usahawan.

“Malah, usahawan luar bandar juga kita meletakkan hasrat dan memberi penumpuan kepada mereka supaya ia boleh ditingkatkan dan dibantu,” katanya.

Categories
NASIONAL

AIBIM-ABIM kukuh kerjasama bantu miskin bandar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 19 MEI: Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) komited meneruskan kolaborasi bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam usaha membantu dan menaiktaraf ekonomi masyarakat kurang berkemampuan, khususnya miskin bandar.

Pemangku Pengarah Eksekutifnya, Ratna Sha’erah Kamaludin berkata, pihaknya akan berbincang lebih mendalam bagi membolehkan institusi kewangan Islam seperti mereka bukan sahaja diletakkan sebagai pemberi sumbangan kewangan, malahan mampu memacu kemajuan terhadap golongan terbabit.

“Perbankan Islam di Malaysia berkembang pesat dan sudah menjadi tangungjawab sosial korporat (CSR) bagi kami untuk memberi sumbangan serta meringankan segala beban ditanggung pihak kurang berkemampuan.

“Institusi perbankan Islam selama ini bersama rakyat, cuma kali ini kami mahu membuat lebih lagi supaya rakyat sedar kepentingan kewangan Islam di Malaysia. Jadi ini adalah salah satu cara kami untuk mendekati golongan ini dengan memberi balik kepada mereka,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 270 keluarga terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan sekampit beras, barangan keperluan termasuk wang tunai.

Pada masa sama, Ratna berkata, pihaknya berjaya mengutip lebih RM280,000 sumbangan yang diagihkan di empat kawasan meliputi daerah Rembau, Negeri Sembilan termasuk PPR Seksyen 8 Kota Damansara, PPR Desa Mentari serta PPR Taman Mulia.

Katanya, lebih 800 keluarga asnaf disasarkan layak mendapat sumbangan berbentuk sekampit beras.

“Setiap tahun kami menerima peningkatan daripada segi sumbangan iaitu bermula 2017 hanya mampu mengutip RM93,000, manakala 2018 hampir RM250,000 dan tahun ini meningkat kepada RM280,000.

“Kami memang meletakkan keutamaan kepada golongan asnaf yang diaturkan oleh ABIM sendiri untuk memilih keluarga yang layak menerima melalui pengurusan surau di kawasan berkenaan,” katanya.