Categories
SELANGOR

Komited Hijaukan Persekitaran

KLANG, 5 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa menitikberatkan aspek kehijauan setempat termasuk penanaman pokok untuk keindahan Bandar Diraja dan kawasan sekitar.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, bagi menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera, alam sekitar adalah elemen terpenting, maka pihaknya komited dalam usaha melestarikan kawasan sekitar dan usaha itu akan berjaya melalui kerjasama semua pihak.

Menurutnya, komitmen yang diberikan persatuan penduduk, syarikat swasta dan masyarakat setempat turut akan membantu majlis ke arah mewujudkan persekitaran indah serta ceria.

?Penyediaan landskap yang berkualiti dan sempurna memberi impak yang cukup bermakna untuk semua, terutama di kalangan warga Klang dan ia patut dilakukan secara berterusan kelak.

?Malah hasilnya ini akan menampilkan keindahan dan wujudnya keselesaan persekitaran kehidupan, seterusnya mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan berkualiti,? katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hijau Bumi anjuran MPK dengan kerjasama Gamuda Land dan Persatuan Penduduk Bandar Botanik di sini.

Ehsan berkata, elemen landskap yang indah dan kehijauan setempat yang berkualiti akan memberi keselesaan, selain bakal menarik perhatian pelancong tidak kira dari dalam dan luar negeri, di samping menjadi perhatian orang ramai untuk menetap di situ, khususnya sekitar Bandar Botanik.

Menurutnya, dari Januari hingga April tahun ini, MPK menanam 49,366 pokok dengan purata 12,341 sebulan dan ia menunjukkan komitmen majlis dalam menceriakan persekitaran setempat melalui aktiviti penanaman pokok di kawasan terlibat.