Categories
AGENDA NASIONAL

JKM dicadang latih suri rumah jadi pengasuh

SHAH ALAM, 5 MEI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran melatih lebih ramai suri rumah menjadi pengasuh dari rumah sebagai persediaan menghadapi norma baharu, kata pengerusi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR).

Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata inisiatif itu perlu sebagai alternatif kepada taska komuniti dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan penyakit, khususnya wabak Covid-19 dan memberi nilai tambah kepada suri rumah, seterusnya menyumbang kepada ekonomi keluarga terutama golongan B40.

“Faedah terbesar akan dapat diperolehi oleh ibu bapa apabila anak-anak diletakkan dalam jagaan selamat dan kurang berisiko ketika keluar bekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nurul Huda berkata SRR menyarankan kepada JKM beberapa cadangan antaranya membuka peluang kepada suri rumah menjadi pengasuh taska rumah yang berdaftar.

Katanya, JKM boleh melatih suri rumah di bawah Kursus Asuhan PERMATA (KAP) di bawah kendaliannya selain menurunkan yuran kursus 50 peratus agar ia mampu milik untuk golongan tersebut.

“SRR berharap JKM mengambil serius cadangan ini kerana pendidikan anak kecil tidak harus dikesampingkan untuk melahirkan generasi pewaris berjiwa besar.

“Usaha ini juga seiring hasrat kerajaan untuk melahirkan wanita yang lebih berdaya saing dalam sektor pekerjaan yang sesuai dengan fitrah suri rumah,” katanya.