Categories
AGENDA NASIONAL

JKM: Pinda atau wujud akta baharu pengemis diketahui tahun depan

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keperluan untuk mewujudkan akta baharu atau menambah baik Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam menangani isu pengemis hanya boleh diputuskan selepas satu kajian semakan akta berkenaan siap tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak berkata kajian semakan akta tersebut akan dimulakan pada Julai nanti dan dijangka siap September tahun depan.

“Terdapat keperluan akta berkenaan disemak kembali bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu pengemis dan gelandangan memandangkan pada masa kini tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian golongan tersebut di negara ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Jelasnya, Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) 2019 telah memutuskan supaya suatu akta baharu yang lebih inklusif digubal untuk menangani isu gelandangan dan pengemisan secara holistik dengan mengambil kira kuasa dan peranan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Berikutan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian semakan akta untuk meneliti isu ini dengan lebih serius dan sebagai asas bagi melihat sama ada sesuai untuk membangunkan suatu akta baharu atau menambah baik akta sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kelompangan akta yang menjadi antara punca Kuala Lumpur sebagai ‘syurga’ pengemis seperti yang dilaporkan Bernama.

Dalam satu laporan khas Bernama mengenai isu pengemis pada Khamis, mendedahkan akta yang berusia lebih empat dekad itu sudah lapuk dan tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi membanteras aktiviti berkenaan berikutan berhadapan pelbagai cabaran dalam menanganinya.

Ini kerana, akta sedia ada hanya bertujuan melindungi dan memulihkan golongan tersebut serta tidak mempunyai elemen penguatkuasaan termasuk denda kepada pengemis.

Di bawah akta berkenaan, pengemis yang berumur bawah 60 tahun yang tidak mempunyai waris akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) manakala bagi yang berumur 60 tahun ke atas akan dihantar ke Rumah Sri Kenangan (RSK) kelolaan JKM.

Terdapat lima institusi yang menempatkan kes orang papa termasukah pengemis iaitu di Johor, Selangor, Pahang, Sabah serta Sarawak dan sehingga kini jumlah keseluruhan orang papa yang tinggal di institusi di bawah JKM adalah seramai 7,312 orang dari 2017 sehingga 2021.

JKM sendiri katanya turut berhadapan kekangan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 terutamanya melibatkan pengemis yang bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dan juga pengemis bermusim terutamanya ketika Ramadan.

Selain itu, JKM turut berdepan cabaran membanteras pengemis warga asing yang bukan tertakluk di bawah akta tersebut tetapi di bawah bidang kuasa dan agensi lain.

Biarpun begitu, Rosmahwati berkata sekuat mana pun akta yang akan dilaksanakan termasuklah pelbagai penguatkuasaan operasi membanteras pengemis dilakukan, ia tidak akan berkesan sekiranya masyarakat tidak berganding bahu dalam mengekang kegiatan tersebut.

Ini kerana, cabaran utama yang dihadapi JKM adalah sikap prihatin dan pemurah masyarakat yang mudah simpati dengan memberikan sumbangan kepada golongan tersebut sekali gus menggalakkan lagi aktiviti mengemis sehingga dianggap sebagai satu pekerjaan.

“Menangani aktiviti mengemis adalah tanggungjawab bersama agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dan orang awam. Oleh itu, menjadi harapan JKM agar masyarakat bersama-sama membanteras isu pengemis dengan tidak memberikan sumbangan kepada mereka sekali gus dapat mengurangkan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menasihatkan agar masyarakat sewajarnya memberikan sumbangan mengikut saluran yang betul seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), rumah-rumah kebajikan berdaftar, mangsa bencana, rumah ibadat atau individu yang benar-benar dikenal pasti susah.

Dalam pada itu, Rosmahwati turut menyuarakan kebimbangan mengenai budaya meminta yang ditularkan menerusi platform media sosial yang kini semakin menjadi trend kerana ia dilihat berpotensi menggalakkan aktiviti mengemis secara moden menggunakan Facebook, aplikasi WhatsApp, Twitter dan sebagainya.

Tegas beliau, sebarang bentuk permohonan sumbangan perlu mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Agama Islam sekiranya sumbangan tersebut berunsurkan keagamaan seperti kutipan derma khairat, kebajikan, membina masjid mahupun berkaitan pusat tahfiz.

Ketika ditanya sama ada pengemis mampu keluar daripada kepompong aktiviti berkenaan berikutan ramai yang kembali mengemis selepas keluar daripada institusi JKM, Rosmahwati berkata ia bukanlah satu perkara mustahil namun mereka perlu diberikan pekerjaan.

“Harapan JKM juga agar pihak NGO dapat melaksanakan program motivasi bagi meningkatkan jati diri mereka dan membantu mendapatkan pekerjaan kepada golongan ini.

“Malah, dalam membantu masyarakat yang susah, kerajaan ada menyediakan skim bantuan seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Beliau berkata kedua-dua agensi ini menyediakan pembiayaan kredit mikro secara mudah kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di samping turut meyediakan bimbingan, latihan dan khidmat sokongan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa di empat negeri menurun, Melaka kekal

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan dengan beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, manakala di Melaka kekal dengan jumlah sama.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan banjir di Bera pulih apabila PPS terakhir di daerah itu ditutup petang ini, selepas semua 32 mangsa terakhir dibenarkan pulang, menjadikan hanya lima daerah masih terjejas iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 6,351 mangsa masih berada di 48 PPS petang ini, berkurangan daripada 7,319 orang tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan pada malam ini, manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat 5 petang tadi, dengan 42 mangsa daripada lapan keluarga berbanding 54 orang daripada 15 keluarga tengah hari tadi, di satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM mencatatkan 2,285 mangsa masih ditempatkan 13 PPS setakat 5.03 petang.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diarah mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah berikutan tanah runtuh dan tidak selamat didiami.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini di aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan dua PPS di Jelebu turun kepada 29 individu daripada sembilan keluarga setakat petang ini berbanding 36 individu daripada 12 keluarga tengah hari tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa  kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang ini yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng, Jasin, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

— BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pelbagai inisiatif disedia galak taska, pusat jagaan berdaftar

Oleh Erda Khursyiah Basir & Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 2 DIS: ‘Jom Daftar’ dan khidmat nasihat pendaftaran adalah antara program advokasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggalak serta memudahkan lebih banyak premis taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan berdaftar dengan agensi itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh, mesyuarat ‘Pusat Sehenti’ juga kerap diadakan JKM negeri bersama agensi teknikal yang terlibat bagi mengatasi masalah pendaftaran.

“Bagi taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak mempunyai usaha untuk berdaftar pula, JKM akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas mereka,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Wajib jalani kursus asuhan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu pengasuh yang bekerja di taska dengan memastikan mereka menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kursus Asuhan Permata/KAP) di bawah kelolaan JKM.

Mana-mana individu samaada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib untuk mengikuti dan lulus KAP.

“Tiada sijil KAP bermakna tidak layak untuk menjadi pengusaha, pengurus dan penyelia taska. Walaupun masih ada pengasuh yang belum melengkapkan kursus KAP, mereka masih boleh bekerja di taska berdaftar dengan JKM. Namun begitu, mereka perlu hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan mulai tarikh mereka berkhidmat di taska dan menjadi pengasuh berdaftar.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, sekiranya pengusaha gagal memastikan pengasuh hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Bermula 1 Januari 2013, KAP diwajibkan ke atas pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh, bagi menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang dilaksanakan sejak 1988.

Ia bertujuan memenuhi syarat pekerjaan sebagaimana yang digariskan di dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 kepada semua bakal pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh taska.

Sehingga Ogos 2021, sebanyak 5,436 buah taska di seluruh negara berdaftar dengan JKM manakala sebanyak 1,858 pusat jagaan, mendaftar sehingga September 2021.

Untuk pengasuh pula, sehingga Oktober 2021, seramai 18,385 orang telah berdaftar dan daripada jumlah itu, seramai 9,310 orang pengasuh mempunyai sijil KAP manakala selebihnya belum mempunyai sijil berkenaan.

Fatimah Zuraidah pada masa sama menolak dakwaan KAP tidak diwajibkan untuk pengasuh dan pengusaha di taska kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) kerana syarat kelayakan pengasuh di taska adalah sama untuk semua kategori sebagaimana termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Suasana pembelajaran di taska yang mengamal penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai.

Proses daftar 21 hari

Beliau yang turut menjawab dakwaan proses mendaftar taska dan pusat jagaan yang dikatakan rumit dan memakan masa yang lama menjelaskan, di peringkat JKM, permohonan pendaftaran taska yang lengkap akan diproses untuk kelulusan dalam tempoh 21 hari bekerja.

Menurut beliau, permohonan yang lengkap bermaksud, dokumen yang dihantar lengkap dengan kelulusan pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapat kelulusan tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.

Di samping itu, semua dokumen yang diperlukan oleh JKM juga hendaklah dilengkapkan seperti sijil KAP, menu makan, jadual aktiviti, pelan lantai dan sebagainya.

Fatimah Zuraidah menjelaskan, selepas dokumen lengkap dikemukakan kepada pihak JKM, semakan dokumen dan pemeriksaan ke taska akan dilakukan.

Langkah seterusnya ialah penyediaan laporan oleh pegawai dan kemudian akan dibawa untuk kelulusan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.

“Sijil perakuan pendaftaran untuk sah tempoh selama lima tahun akan dikeluarkan bagi setiap permohonan yang diluluskan. Semua syarat yang ditetapkan dalam Panduan Permohonan Pendaftaran Taska adalah berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang perlu dipatuhi agar keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di taska terjamin,” katanya.

Kaji pasaran

Bagi mempercepatkan urusan pendaftaran taska di peringkat JKM, pemohon dinasihatkan membuat kajian pasaran permintaan dan penawaran, mengenal pasti syarat pendaftaran dan agensi teknikal yang terlibat serta mendapat khidmat nasihat daripada agensi berkaitan.

Pemohon juga boleh mendapatkan khidmat nasihat PBT, iaitu Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Tanah dan Survei untuk Sarawak sahaja, selain membuat kajian dengan masyarakat setempat serta mendapatkan kebenaran penubuhan taska.

“Pengusaha boleh merujuk kepada Garis Panduan Perancangan dan Penubuhan Tadika dan Taska yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau merujuk kepada PBT,” katanya.

Mengenai dakwaan kesukaran memohon lesen untuk pusat jagaan OKU, Fatimah Zuraidah berkata, permohonan untuk penubuhan pusat jagaan OKU adalah di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan tertakluk kepada beberapa perkara.

Antaranya, kelulusan serta sokongan agensi teknikal seperti PBT, JBPM dan Jabatan Kesihatan, serta memenuhi standard minimum yang ditetapkan seperti pematuhan nisbah penjaga dan penghuni iaitu seorang penjaga untuk 10 OKU, manakala seorang penjaga untuk empat OKU terlantar.

Turut termaktub dalam keperluan standard minimum itu ialah pematuhan nisbah penghuni dan ruang lantai, penjaga mempunyai kelayakan atau pengalaman bersesuaian, penyediaan menu yang seimbang yang disahkan oleh JKM, penyediaan program/aktiviti harian yang disahkan oleh JKM, penyediaan kemudahan perabot dan peralatan, penyimpanan dan penyelenggaraan rekod-rekod, pengawalan kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis pusat jagaan.

Yuran, kualiti perkhidmatan

Dalam menjawab isu yuran taska dan pusat jagaan berdaftar yang dikatakan mahal sehingga mengakibatkan ramai ibu bapa terpaksa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke tempat yang tidak berdaftar, beliau berkata kadar yuran bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah taska atau pusat jagaan.

Taska berdaftar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan sebagai contoh, menu makan yang mencapai standard Kementerian Kesihatan (KKM), gaji minimum pengasuh yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia selain bergantung kepada pengalaman dan kelayakan pengasuh di samping beberapa faktor lain.

“Kadar yuran adalah di luar kawalan JKM. Ibu bapa bebas untuk memilih taska berdaftar yang menawarkan yuran mengikut kemampuan mereka kerana ada taska yang menawarkan harga berpatutan bagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Kerajaan pada masa sama turut menyediakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ibu bapa antaranya subsidi yuran pengasuhan taska untuk taska yang berdaftar dengan kadar RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak yang layak.

“Syarat kelayakan adalah pendapatan isi rumah per kapita RM800 sebulan dan ke bawah di kawasan bandar dan RM500 sebulan dan ke bawah di kawasan luar bandar, manakala syarat kelayakan subsidi yuran pengasuhan taska komuniti dan taska di tempat kerja sektor awam adalah jumlah pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah,” jelasnya.

Selain itu, bagi individu yang membayar cukai pendapatan, pelepasan cukai sebanyak RM3,000 setahun juga dibenarkan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke taska.

Sementara itu, geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam juga disediakan untuk agensi kerajaan bermula 2019 dan diteruskan pada 2022.

Taska yang ditubuhkan di pejabat agensi kerajaan dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa selain kadar yuran taska di tempat kerja lebih berpatutan untuk kumpulan sasar berkenaan.

Di samping itu, potongan cukai turut diberikan kepada majikan tempat kerja sektor swasta yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja yang menghantar anak ke taska dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska mulai tahun taksiran 2013.

“Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun kepada pengusaha taska mulai tahun taksiran 2013, serta elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus turut diberi kepada sektor swasta yang mengusahakan taska mulai tahun taksiran 2010,” katanya.

Tempat perlindungan selamat

Menyifatkan isu pengasuh, taska dan pusat jagaan tidak berdaftar menjadi intipati penting buat JKM untuk memastikan negara memiliki tempat perlindungan sah berdaftar, selamat dan dipercayai untuk kanak-kanak, Fatimah Zuraidah berkata kerajaan antara lain turut melaksanakan beberapa inisiatif tambahan.

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diperkenalkan pada tahun 2020, kerajaan menyediakan bantuan khas kepada pengusaha taska yang berdaftar dengan JKM.

Untuk tahun 2021, bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) disediakan bagi meringankan beban pengusaha taska yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tujuan inisiatif ini bagi menggalakkan pengusaha taska untuk berdaftar dan memperbaharui pendaftaran. Sebanyak 2,623 buah taska diluluskan bantuan pada tahun 2020 dan sebanyak 2,667 buah taska diluluskan bantuan sehingga Oktober 2021,” katanya.

Di samping itu, menerusi pakej Pemulih, bantuan kewangan dengan jumlah RM3,000 diberikan untuk semua kategori taska manakala untuk taska yang beroperasi di rumah, bantuan RM800 disalurkan bagi mengurangkan beban pengusaha untuk membayar bil walaupun tidak beroperasi dalam tempoh PKP.

Taska di tempat kerja

Antara inisiatif lain JKM, dalam memastikan lebih banyak taska dan pusat asuhan berdaftar ialah membuka lebih banyak taska di tempat kerja.

Sejak 2019, JKM mula memperuntukkan Geran Penubuhan Taska di Tempat Kerja dan sehingga kini sebanyak 167 buah agensi kerajaan di seluruh Malaysia mendapat kelulusan.

Menurut Fatimah Zuraidah, dalam ucapan Bajet 2022 pada 29 Oktober lepas, kerajaan sekali lagi menyediakan RM30 juta geran bagi penubuhan taska di tempat kerja sektor awam.

Penambahan taska di tempat kerja memerlukan kerjasama daripada semua kementerian dan kerajaan negeri, termasuk majikan sektor swasta kerana penubuhan taska di ruang/premis/lokasi yang sesuai adalah di bawah bidang kuasa kementerian/kerajaan negeri serta majikan masing-masing.

Pada masa yang sama, kata beliau, agensi kerajaan atau majikan boleh menggunakan ruang dalam pejabat atau premis yang berdekatan dengan pejabat atau kuarters kakitangan untuk dijadikan taska di tempat kerja bagi tujuan memberi kemudahan kepada pekerja, terutama mereka yang bekerja mengikut giliran.

“Penubuhan taska di tempat kerja amat penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja kerana taska yang berdaftar sentiasa dipantau oleh JKM, keselamatan anak-anak akan terjamin berbanding dengan anak yang dihantar ke rumah pengasuh atau pusat jagaan yang tidak berdaftar,” katanya dengan menambah, sehingga kini, sebanyak 365 buah taska di tempat kerja didaftarkan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

Beliau turut menegaskan, taska yang berdaftar dengan JKM akan dipantau sekurang-kurangnya dua kali setahun selain pemeriksaan mengejut turut diadakan bila perlu. Manakala bagi pusat jagaan, pemeriksaan berkala dijalankan setiap enam bulan dan jika terdapat keperluan, pemeriksaan mengejut turut dilakukan.

Selain itu, pengendali pusat jagaan berdaftar hendaklah melaksanakan penilaian kendiri setiap enam bulan melalui Sistem Penilaian Kendiri Pusat Jagaan (myKendiri) secara dalam talian bagi memastikan operasi pusat jagaan mematuhi standard minimum yang ditetapkan di dalam Akta Pusat Jagaan 1993 dan dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

“JKM turut melaksanakan pemantauan pematuhan penularan Covid-19 di taska dan pusat jagaan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, dipatuhi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putus bekalan makanan, hubungi bilik gerakan JKM

SHAH ALAM, 17 JULAI: Penduduk negeri ini yang ingin mendapat barangan asas di bawah program Bakul Prihatin Negara boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kawasan masing-masing.

Dalam infografik dikongsi JKM, 12 bilik gerakan dibuka di Selangor yang beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Berikut nombor telefon bilik gerakan terbabit:

JKM Selangor 03-5545 8570
JKM Petaling 03-7842 2584/87
JKM Shah Alam 03-5545 8901
JKM Subang Jaya 03-5634 3095
JKM Gombak 03-6178 5731
JKM Hulu Selangor 03-6064 1430
JKM Sepang 03-8706 1026
JKM Sabak Bernam 03-3224 2304
JKM Hulu Langat 03-3187 1317
JKM Kuala Selangor 03-3289 1495
JKM Klang 03-3341 3703
JKM Hulu Langat 03-8737 8007

Mereka juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-261 5999

Program Bakul Prihatin Negara membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat Covid-19.

Setiap bakul makanan yang bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

Penyediaan bakul makanan itu membabitkan peruntukan RM5 juta daripada kerajaan dan RM16 juta disumbang sektor korporat.

Categories
AGENDA NASIONAL

JKM bakal terima 377 pegawai tangani isu kanak-kanak

MELAKA, 31 JAN: Kerajaan meluluskan pengambilan 208 pegawai pelindung kanak-kanak dan 169 pegawai akhlak yang akan berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha menangani pelbagai masalah membabitkan kumpulan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata jumlah berkenaan membabitkan fasa pertama pengambilan daripada keseluruhan 1,122 pegawai dalam kedua-dua bidang yang diperlukan oleh jabatan berkenaan.

“Pengambilan pegawai baharu ini amat diperlukan kerana ketika ini, JKM hanya mempunyai 264 pegawai pelindung kanak-kanak serta 200 pegawai akhlak dan ia tidak mencukupi bagi menangani masalah berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang maut dipercayai akibat didera dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya, Jumaat lepas.

Dalam perkembangan sama, Rina memohon mana-mana keluarga yang mempunyai anak angkat agar dapat menghubungi JKM bagi urusan pendaftaran dan urusan berkaitan mengikut undang-undang sedia ada.

Selain itu, beliau memohon agar masyarakat cakna dengan kanak-kanak yang tinggal dalam komuniti masing-masing dan segera melaporkan sebarang penderaan ke Talian Kasih 15999 atau WhatsApp di nombor 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Dalam kejadian Jumaat itu, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, namun siasatan siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS harap skim pekerja kontrak JKM setimpal kerja

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka.

Presidennya Adnan Mat berkata pekerja lantikan kontrak berkenaan perlu menerima keistimewaan yang dinikmati penjawat awam lain di samping hal-hal kebajikan mereka turut dijaga.

“Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap, berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk JKM tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata langkah itu adalah selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.

JKM ketika ini merupakan antara agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Justeru, langkah KPWKM menyantuni golongan sasaran terutama ketika pandemik Covid-19 adalah langkah yang tepat dan wajar disokong oleh semua pihak.

-BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

JKM, persatuan penduduk digesa siasat warga emas tinggal dengan penagih

KAJANG, 22 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta menjalankan siasatan mengenai seorang warga emas menetap bersama cucunya dipercayai penagih dadah di Flat Taman Damai Indah di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang berkata tindakan segera perlu dilakukan kerana ia menimbulkan kebimbangan penduduk setempat selain wanita berusia 75 tahun itu juga menjaga seorang anak yang sakit.

“Saya harap JKM dan persatuan penduduk boleh menyiasat serta mengambil tindakan segera kerana dikatakan cucunya membawa rakan-rakan untuk menghisap bahan terlarang itu.

“Semoga perkara ini dapat diselesaikan kerana bimbang akan keselamatan warga emas dan anaknya itu,” kata Hee Loy Sian kepada SelangorKini selepas menziarahi wanita itu bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai dan Damai Indah, Muhammad Bashir Maktar di sini hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai dan Damai Indah, Muhammad bashir Maktar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

EXCO Kerajaan Negeri turut menyerahkan bantuan sumbangan peralatan dapur dan juga wang tunai kepada warga emas berkenaan.

Sementara itu Muhammad Bashir berkata atas sebab keselamatan, penduduk berharap supaya wanita itu dipantau pusat jagaan orang tua.

“Difahamkan nenek berkenaan terpaksa tidur di bahagian ruang tamu disebabkan bilik di dalam rumah menjadi tempat cucu dan rakannya melakukan kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Categories
AGENDA

JKM terima lima kes suami didera ketika PKP

SHAH ALAM, 15 JULAI: Selangor merekodkan lima kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa lelaki sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa, berusia 18 hingga 60 tahun, didera secara fizikal dan emosi dari 18 Mac hingga 3 Mei.

“Secara keseluruhannya, 90 kes keganasan rumah tangga dikesan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Mac lalu, tetapi lima daripadanya membabitkan mangsa lelaki.

“Kita percaya ada banyak lagi insiden seperti ini kerana biasanya lelaki tidak membuat laporan kerana dianggap tak ‘macho’, dayus dan lain-lain,” katanya kepada media ketika sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau juga percaya kes itu berlaku kerana isteri mempunyai masalah kesihatan mental.

“Oleh itu, masyarakat janganlah stereotaip dengan beranggapan keganasan rumah tangga hanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.

“Bagi saya, mangsa perlu tampil kerana JKM sedia membantu, malah terdapat juga khidmat kaunseling disediakan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

JKM dicadang latih suri rumah jadi pengasuh

SHAH ALAM, 5 MEI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran melatih lebih ramai suri rumah menjadi pengasuh dari rumah sebagai persediaan menghadapi norma baharu, kata pengerusi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR).

Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata inisiatif itu perlu sebagai alternatif kepada taska komuniti dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan penyakit, khususnya wabak Covid-19 dan memberi nilai tambah kepada suri rumah, seterusnya menyumbang kepada ekonomi keluarga terutama golongan B40.

“Faedah terbesar akan dapat diperolehi oleh ibu bapa apabila anak-anak diletakkan dalam jagaan selamat dan kurang berisiko ketika keluar bekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nurul Huda berkata SRR menyarankan kepada JKM beberapa cadangan antaranya membuka peluang kepada suri rumah menjadi pengasuh taska rumah yang berdaftar.

Katanya, JKM boleh melatih suri rumah di bawah Kursus Asuhan PERMATA (KAP) di bawah kendaliannya selain menurunkan yuran kursus 50 peratus agar ia mampu milik untuk golongan tersebut.

“SRR berharap JKM mengambil serius cadangan ini kerana pendidikan anak kecil tidak harus dikesampingkan untuk melahirkan generasi pewaris berjiwa besar.

“Usaha ini juga seiring hasrat kerajaan untuk melahirkan wanita yang lebih berdaya saing dalam sektor pekerjaan yang sesuai dengan fitrah suri rumah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Lebih 1.1 juta isi rumah terima bantuan makanan JKM

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Kira-kira 1.1 juta isi rumah seluruh negara mendapat manfaat daripada agihan bantuan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

JKM dalam kenyataan semalam memaklumkan agihan bantuan keperluan makanan itu melibatkan seramai 279,223 penerima yang terkesan dengan PKP.

Selain itu, JKM menjelaskan bantuan itu merentasi semua daerah dan negeri termasuk kawasan yang didakwa telah dipinggirkan termasuk daerah Manjung, Kapit, Machang, Simpang Renggam, Port Dickson, Seremban serta Tampin.

“JKM mempunyai rekod senarai penerima semua bantuan yang telah diagihkan dan akan terus memantau senarai penerima berdasarkan aduan dan rujukan serta sekali gus bertanggungjawab melaporkan rekod keseluruhan senarai penerima termasuk alamat mereka kepada agensi pusat.

“Semua pihak termasuk Ahli Parlimen dialu-alukan mengemukakan aduan dan rujukan sekiranya dikenal pasti terdapat pihak yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang terputus pendapatan harian sepanjang tempoh PKP serta belum pernah menerima sebarang bantuan,” menurut jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan ke Bilik Gerakan JKM di talian 03-83231996.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ibu bapa sambil lewa, anak-anak ligat melepak

Oleh Shanika Abdullatib dan Anasathia Anak Jenis

PUTRAJAYA, 4 MAC: Isu lepak dan berpelesiran membabitkan kanak-kanak di negara ini dilihat tidak berkesudahan, malah sering dikaitkan dengan pelbagai permasalahan termasuk menunggang basikal lasak yang dikategorikan sebagai bahaya dan sukar diambil tindakan undang-undang.

Saban tahun, purata 100 kes kanak-kanak berpelesiran berjaya diselamatkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), sekali gus menunjukkan langkah proaktif diambil bagi membela nasib kanak-kanak ini.

Menerusi temu bual eksklusif wartawan Bernama, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Arfan Sulaiman mengupas isu kanak-kanak melepak dan berpelesiran dengan lebih mendalam.

BERNAMA: Dengan kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh JKM, boleh huraikan faktor utama penyebab kanak-kanak ini berpelesiran?

ARFAN: Saya percaya isu ini berlaku disebabkan pelbagai faktor dan paling menonjol adalah ibu bapa terlalu percaya dan mengambil mudah apabila anak mereka berada di luar. Ini dapat dapat dilihat apabila saban tahun lebih 100 aduan diterima mengenai kanak-kanak ini berpelesiran dan JKM sentiasa tampil dengan pelbagai kaedah untuk membantu dan menyelamatkan kanak-kanak ini.

Melalui pemerhatian kami juga, tidak dinafikan sikap ibu bapa yang ambil mudah serta terlalu mempercayai anak mereka menyebabkan kanak-kanak ini ‘berani’ berpelesiran sehingga lewat malam.

Tidak terkecuali apabila ibu bapa menganggap kawasan perumahan yang didiami selamat serta umur anak yang berusia sembilan hingga 15 tahun adalah sudah besar juga mendorong kanak-kanak ini berada di luar rumah tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Kami melihat trend ini amat membimbangkan walaupun secara purata ia hanya 100 kes setahun yang dilaporkan. Jadi bagaimana dengan yang tidak dilaporkan?

Bagaimanapun, melihat jumlah aduan yang diterima kita dapat simpulkan masyarakat semakin berani membuat aduan terutama di Talian Kasih 15999. Ini secara tidak langsung menunjukkan sensitiviti masyarakat terhadap kes melibatkan kanak-kanak semakin meningkat.

BERNAMA: Ada ibu bapa yang terlalu percayakan anak-anak mereka dan disebabkan itu mendorong ‘membenarkan’ anak mereka berpelesiran hingga dinihari. Adakah ini boleh dianggap kecuaian?

ARFAN: Kita tidak boleh menyamaratakan kerana setiap kes berbeza daripada pelbagai faktor. Sebagai contoh, anak memberitahu pergi tuisyen atau ada kelas tambahan dan sudah tentu ibu bapa percaya.

Begitu juga dengan keadaan sosioekonomi sesebuah keluarga yang ‘memaksa’ ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang terpaksa bekerja syif dan tiada kemampuan menyediakan pembantu rumah atau penjaga. Jadi mahu tidak mahu, mereka terpaksa ‘membiarkan’ anak menjaga diri sendiri.

Jika ada yang mendakwa faktor saiz rumah yang kecil membuatkan kanak-kanak itu tidak selesa berada di rumah, ia juga tidak tepat kerana ada kes berpelesiran yang membabitkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan mewah.

Bagaimanapun, jika terdapat aduan terutama daripada jiran terdekat kami akan siasat dan lakukan yang terbaik untuk membantu mencari jalan penyelesaian. Kita juga percaya, peranan ibu bapa dalam proses mendidik dan mencegah itu lebih penting dalam mengekang anak-anak daripada berpelesiran.

BERNAMA: Isu kanak-kanak berpelesiran/ lepak ini juga sering dikaitkan dengan aktiviti basikal lajak. Apa pandangan pihak tuan?

ARFAN: Persoalan paling penting di sini adalah siapa yang sediakan basikal, dan jika diubah suai siapa yang membenarkannya? Bagi saya, jika pencegahan awal oleh ibu bapa sudah diambil, sudah tentu aktiviti basikal lajak ini dapat dikekang.

BERNAMA: Selain daripada cadangan peraturan ‘waktu perintah berkurung’, apakah antara solusi lain yang boleh diguna pakai dalam usaha mengekang kanak-kanak ini daripada berpelesiran, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko keselamatan.

ARFAN: Saya kira, usaha terbaik adalah membudayakan semula ‘jaga tepi kain orang’ yang selama ini diketepikan atas pelbagai alasan. Saya percaya, jiran adalah jaringan sokongan yang perlu diperkukuhkan terutama di kejiranan yang mempunyai kes-kes kanak-kanak berpelesiran ini.

Di samping itu, kefungsian ibu bapa juga perlu diberi perhatian. Maksud saya, sistem kekeluargaan yang kondusif perlu diwujudkan seperti kemahiran menguruskan rumah tangga dan ini secara tidak langsung mengurangkan kebarangkalian anak-anak berpelesiran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu belajar menerima hakikat jika anak mereka bermasalah termasuk suka berpelesiran. Terima teguran yang diberikan oleh jiran kerana mereka mungkin mata dan telinga keselamatan anak anda ketika anda tiada di rumah.

BERNAMA: Difahamkan, JKM sendiri mempunyai pasukan khas untuk membantu masyarakat menangani gejala sosial, terutama yang melibatkan kanak-kanak. Boleh terangkan lebih lanjut mengenai pasukan ini?

ARFAN: JKM telah menubuhkan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak yang mempunyai 132 Pelindung Kanak-kanak dan 149 Pusat Aktiviti Kanak-kanak. Mereka ini terdiri daripada masyarakat atau individu di kawasan penempatan yang kami pilih dan akan menggerakkan pelbagai program atau mengambil tahu isu-isu yang berlaku di kawasan mereka.

Penubuhan pasukan ini difokuskan di kawasan yang kadar jenayah kanak-kanak tinggi, kawasan berkepadatan tinggi atau kawasan yang mempunyai masalah sosial yang tinggi.

Kami tubuhkan pasukan ini bagi mengekang kecenderungan perilaku kanak-kanak ke arah negatif dengan mengadakan aktiviti yang bergantung kepada keperluan tempat atau lokasi.

Selain itu, dalam akta kanak-kanak sendiri, JKM mempunyai peranan iaitu pegawai kami diwartakan sebagai Pelindung/Pegawai Akhlak. Ini bermaksud, Pelindung/Pegawai Akhlak yang diberi kuasa ini menyelamat kanak-kanak bagi kes melibatkan pengabaian kanak-kanak, pembuangan bayi malah berpelesiran.

Namun dalam menjalankan fungsi itu, JKM mempunyai garis panduan dan tertakluk kepada akta dan kategori kanak-kanak yang perlu diselamatkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembantu rumah didakwa dirogol Exco kini bawah jagaan JKM