Categories
AGENDA JENAYAH

Persenda OKU: Empat individu beri keterangan kepada polis

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Empat individu dipercayai terlibat dalam dua video berasingan yang tular di media sosial sejak Rabu lepas, kerana mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dijangka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, petang ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek berjaya dihubungi oleh pengawai penyiasat semalam, berhubung video tersebut.

“Mereka akan hadir untuk dirakam percakapan petang ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

Khamis lepas, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mempersendakan golongan OKU, walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

Sebelum ini, tular di media sosial dua lelaki menggunakan tempat meletak kereta khas untuk OKU di sebuah pusat beli-belah, dengan menyamar sebagai OKU untuk menggunakan parkir berkenaan.

Selain itu, dua wanita yang merupakan penunggang basikal, mengambil kesempatan menggunakan tandas OKU dengan membuat pergerakan yang mempersendakan golongan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persenda OKU: Polis cari dua lelaki, dua wanita

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Polis sedang mengesan dua wanita dan dua lelaki dipercayai terlibat dengan dua video berasingan mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata ia susulan satu laporan polis dibuat seorang wanita berhubung tindakan mereka yang turut dipercayai menyalahgunakan kemudahan OKU di dalam video itu.

Beliau berkata video pertama dimuat naik, telah dilakonkan oleh dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli belah di ibu kota.

“Mereka juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta di situ.

“Sementara satu lagi video memaparkan dua wanita telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka juga bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beh berkata pengadu yang membuat laporan polis beranggapan kesemua individu tersebut telah menghina golongan OKU di negara ini serta secara terang-terangan dan tanpa rasa bersalah menggunakan warga OKU sebagai bahan bagi menarik perhatian pengguna di media sosial.

Beliau berkata kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

Terdahulu, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi semalam membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU.

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini pada kira-kira 1.20 tengah hari dan selesai membuat laporan berkenaan pada 2.40 petang.

– BERNAMA