Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Tarikh Kuala Kubu 1780- 1931’ singkap nilai sejarah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 SEPT: Nilai sejarah di Kuala Kubu Bharu terus menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan mengujakan dan mempunyai daya tarikan sendiri.

Keistimewaan itu juga sekali gus mendorong Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu) menghasilkan ‘Tarikh Kuala Kubu 1780 – 1931’ yang menyingkap pelbagai kisah sejarah di kawasan itu.

Menyambut baik inisiatif tersebut, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata nilai estetika kewujudan Kuala Kubu Bharu perlu diselami dan difahami khususnya masyarakat kini.

“Tarikh Kuala Kubu 1780 – 1931 membingkai kenangan yang berkekalan kepada setiap yang pernah menjejakkan kaki ke Kuala Kubu Bharu.

image-3“Buku ini mempotretkan peristiwa yang berlaku sebagaimana kita mempotretkan kenangan dalam hidup.

“Yang silamlah membentuk bagaimana hari ini,” katanya mengulas hasil penghasilan buku tersebut.

Buku setebal 92 laman itu juga turut menyingkap segala peristiwa penubuhan Kuala Kubu Bharu  yang pernah menjadi pentadbiran Residen British sekitar 1930-an.

Tidak dilupakan, bagaimana tragedi Empangan Pecah yang pernah melumpuhkan ruang ekonomi kawasan bandar itu serta semangat gigihnya masyarakat membangunkan penempatan baru, selepas musibah besar melanda kawasan itu.

Lebih istimewanya, kandungan buku tersebut juga turut menyingkap peningalan bangunan lama berserta info grafik dan gambar-gambar yang pastinya membawa dimensi baru pembaca.

“Segalanya ada di Kuala Kubu Bharu, alam sekitar yang menghijau, sungai-sungai, lata-lata dan bukit bukau yang mencabar sesiapa pun untuk menerokainya.

kuala-kubu“Flora dan Fauna yang kaya dan tinggalan sejarah yang tersembunyi. Jika dirangkumkan keseluruhannya, Kuala Kubu Bharu menjadi pakej pelancongan yang lengkap.

“Apa lagi dengan keharmonian zaman berzaman penduduk berbilang kaum dan budaya. Sedar atau tidak, itulah yang menjadikan Kuala Kubu Bharu istimewa,” kata Kee Hiong.

Buku hasil susunan semula Ahmad Termizi Yaacob itu boleh dibaca di Galeri Sejarah Kuala Kubu, yang kini dikendalikan Peskubu.

EZY