Categories
SELANGOR

450,000 pengunjung disasar kunjungi Pesta Buku

SHAH ALAM 23 JAN: Penganjur mensasarkan 450,000 pengunjung ke Pesta Buku Selangor 2015 yang akan berlangsung selama 11 hari pada 29 Januari hingga 8 Februari.

Ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam merupakan penganjuran kali ke-10 Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Kerajaan NSelangor.

FLYERS_PBS15“Ini kali pertama Pesta Buku Selangor diadakan pada awal tahun sebagai langkah membantu golongan ibu bapa dan para pelajar dari segi pembelian buku-buku dan bahan pembelajaran memandangkan sesi persekolahan pun baru bermula,” kata Encik Norkhairul Nizam M Sadon, Pengurus Pesta Buku Selangor 2015.

Pesta Buku Selangor disertai 80 pempamer dari pelbagai syarikat penerbit tempatan dan pengedar buku seperti Kumpulan Karangkraf, Cerdik Publication, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbitan Pelangi, PTS Media Group, dan E-Media Publication.

Di samping itu, ruang khas untuk program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan diadakan di pesta buku sebagai kemudahan kepada rakyat Selangor.

“Kami juga ingin membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Oleh itu, tabung Misi Bantuan Banjir akan dilancarkan dengan kerjasama semua pempamer yang turut menyumbangkan sebahagian pendapatan dari jualan buku atau produk di gerai masing-masing,” kata Puan Hajah Mastura Haji Muhamad, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Sekiranya setiap pengunjung menderma sekurang-kurangnya RM1, in shaa Allah kita akan berjaya mengumpulkan lebih daripada RM 300,000 untuk Tabung Misi Bantuan Banjir ini.”

Pelbagai aktiviti menarik diaturkan sebagai pengisian pesta buku yang berteraskan konsep kewangan, kerjaya, kekeluargaan, kesihatan dan spiritual.

Di antaranya ialah Rahsia Makanan Sunnah (As-Sunnah Marketing), Formula Transformasi Kejayaan dan Keberkatan (Dr. Azizan Osman); Demo Jahitan Jubah Mudah (Yasalma); Teknik Fotografi (Sweet Picture); Workshop on Early Childhood Development “Love Languages (Puan Rozita Abdullah); Sharing Genius Aulad Parenting Tips;

Pelayaran Islamik (Intratama Travel & Tours); Jom Mengaji Teknik Al-Baghdadi (Al-Baghdadi Learning Center); Jom Kurus 1Malaysia (Zaid Moheyer); Ortodontik dan Rawatan Kecantikan Gigi Secara Kosmetik (Klinik Pergigian UiTM); dan Tempat Kerja Saya, Ladang Pahala Saya (Prof. Dr. Muhaya Muhamad).

Di samping itu, pesta buku ini juga akan menerima penampilan istimewa karakter Star Wars seperti Darth Vader, Imperial Guard, Storm Trooper, dan Scout Trooper.

Rombongan sekolah dan guru pengiring yang menghadiri pesta buku juga akan menerima cenderamata istimewa sebagai penghargaan dari pihak penganjur.

Di samping cabutan bertuah iPad Mini untuk dimenangi setiap hari, kelainan cabutan bertuah kali ini ialah pelbagai produk lain yang menarik seperti kamus elektronik, Al-Qur’an digital,dan power bank.

Pesta buku bernaung di bawah program Hari Ilmu Negeri Selangor sejak 2010 ini membawakan tema ‘Evolusi Buku dan Digital’ sebagai meraikan sumbangan ICT dalam perkembangan pesat maklumat dan industri perbukuan.

EZY

Categories
SELANGOR

Hadiah barangan digital menanti pengunjung bertuah Pesta Buku Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 JAN: Pelbagai hadiah barangan digital disediakan untuk pengunjung bertuah di Pesta Buku Selangor 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini mulai 29 Januari hingga 8 Februari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad, berkata hadiah barangan digital itu adalah antara kelainan dalam pesta buku anjuran Kerajaan Negeri dan pihaknya kali ini bersesuaian dengan tema ‘Evolusi Buku dan Digital’.

FLYERS_PBS15“Ia berita gembira kepada semua pengunjung kali ini apabila dalam cabutan bertuah kita adakan bukan setakat diberi ipad mini tetapi antara hadiah tersenarai ialah kamus digital, Al-Quran digital, ‘power bank’, ‘thumb drive’ dan semua yang lain. Semua hadiah ini lebih pelbagai.

“Kita berikan hadiah ini untuk insentif supaya orang ramai hadir khususnya ibu bapa membawa anak-anak bersama dan membeli buku supaya dapat menyemai tabiat minat membaca di kalangan anak-anak bagi melahirkan masyarakat berilmu,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Mastura berkata, PPAS juga membuat kelainan dalam penganjuran pesta buku kali ke sepuluh sejak 2006 yang mana diadakan pada awal tahun berbanding sebelumnya selepas pertengahan tahun.

Katanya, dengan berlangsungnya pesta buku tahun ini, PPAS turut menjalankan program Hari Ilmu Selangor bermula dari awal hingga akhir tahun.

“Kita bermula dengan pesta buku disusuli program ‘Lets Read Together’ dijangka pada 23 April diikuti pesta buku mini di setiap daerah yang akan dimaklumkan kemudian.

“Ia bersambung dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan selepas itu juga diadakan ‘Kid’s Foundation’ dan ‘Back To School’ pada November,” katanya.

Dengan musibah banjir yang berlaku di tanahair baru-baru ini khususnya Pantai Timur, PPAS juga menyediakan tabung derma selain sebahagian hasil keuntungan dalam penjualan buku daripada pempamer akan disumbangkan kepada misi bantuan banjir Pantai Timur.

Pusat maklumat sehenti dikendalikan agensi Kerajaan Negeri di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) juga disediakan untuk kemudahan orang ramai mendapat maklumat lanjut.

Pesta buku terbabit dijangka akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali pada 31 Januari jam 3 petang.

EZY

Categories
SELANGOR

Pesta Buku Selangor setiap hari 29 Ogos hingga 8 September

Oleh: MARNIZA OTHMAN

SHAH ALAM, 25 OGOS : Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengadakan Pesta Buku Selangor mulai 29 Ogos hingga 8 September ini bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.

Bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pesta buku selama 11 hari itu  melibatkan 80 pempamer dan 155 unit gerai buku mengambil bahagian termasuk Karangkraf, Al-Hidayah dan sebagainya.

pesta buku selangor 1Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, pelbagai acara menarik disusun sepanjang pesta termasuk acara ‘busking’ oleh 10 pemuzik, selain sesi cabutan bertuah.

“Saya mengharapkan semua pengunjung  hadir dan tidak melepaskan peluang untuk menyertai pesta kali ini.

pesta buku selangor 2“Dengan pembelian satu resit RM30 dan ke atas, pengunjung juga layak memenangai Mini iPad melalui cabutan bertuah pada jam 6.30 petang setiap hari,” katanya.

Pesta Buku Selangor 2014 mendapat kerjasama jabatan kerajaan dan sektor swasta seperti Jabatan Pelajaran Selangor,Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Kumpulan Media Karangkraf.

EZY FZL