Categories
NASIONAL

Petron tawar pemeriksaan kereta percuma

 

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Petron Malaysia, antara peneraju syarikat minyak di Malaysia, akan menyediakan pemeriksaan kereta secara percuma di stesen minyak Petron yang terpilih sempena musim perayaan ini.

Petron dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan program kempen keselamatan jalan raya yang telah memasuki tahun ketujuh itu turut disokong syarikat pengeluar automotif, Honda Malaysia; syarikat pengeluar tayar, Michelin Malaysia; dan pembekal utama komponen automotif, Bosch Automotive Aftermarket.

“Bosch Automotive Aftermarket akan menyediakan pemeriksaan keselamatan kereta terperinci termasuk keadaan bateri dan pengelap cermin kereta bagi semua jenis kenderaan di lima stesen Petron yang terletak di Lembah Klang dari 18 hingga 19 Mei, dan 25 hingga 26 Mei.

“Meneruskan kerjasama dengan Honda Malaysia, Petron menawarkan perkhidmatan 32-mata pemeriksaan kenderaan di enam stesen minyak dan pelanggan juga boleh dapatkan tayar Michelin di 15 stesen minyak Petron bagi memastikan tayar mereka selamat,” kata kenyataan itu.

Ketua Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Petron Malaysia Lokman Hani berkata pihaknya komited dalam membantu memastikan kenderaan selamat bagi perjalanan jauh memandangkan langkah itu dapat membantu mencegah insiden dan menyelamatkan nyawa.

“Lebih ramai orang akan memandu semasa musim perayaan, oleh itu terdapat keperluan meningkat bagi mewujudkan kesedaran mengenai cara untuk mengelak kemalangan, kami galakkan pengguna pandu dengan selamat, patuhi peraturan lalu lintas dan had laju,” katanya.

Tahun lepas, Petron mengadakan 20 pemeriksaan keselamatan kereta di stesennya untuk lebih 3,800 kereta. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Petron bukan pembekal tunggal petrol, diesel Kerajaan – MOF

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan milik Kerajaan walaupun sudah dilantik secara rasmi menerusi satu memorandum yang dikeluarkan, hari ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, Petronas dan Shell masih lagi merupakan pembekal minyak petrol dan diesel untuk kegunaan kenderaan Kerajaan selepas Petron Fuel International Sdn Bhd dilantik sebagai salah satu pembekal bahan api yang sah.

“Untuk makluman Petronas dan Shell sudah menjadi pembekal minyak kenderaan kepada Kerajaan sejak 1997 lagi.

“Melalui kelulusan ini, Kerajaan memperoleh lebih banyak pilihan di antara Petronas, Shell dan Petron sekaligus dapat membuka peluang serta persaingan yang sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas isu pelantikan Petron sebagai pembekal bahan api kenderaan Kerajaan menjadi tular di media sosial, hari ini.

Guan Eng berkata, pelantikan itu dibuat kerana ia adalah berkaitan dengan urusan operasi dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan.

Katanya, Kerajaan juga tidak menghadkan jumlah pembekal di mana pembekal lain yang berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara boleh memohon.