Categories
AGENDA SUKANKINI

AFC B-19: Skuad negara sedia cabar Qatar, Tajikistan

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Skuad bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) negara diundi bersama bekas juara Qatar, dalam Kumpulan D bagi saingan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pada majlis undian yang dilakukan secara maya di Ibu Pejabat AFC di sini, selain Qatar yang merupakan juara edisi 2014, skuad negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney, akan berentap dengan Tajikistan dan Yemen yang diundi dalam kumpulan sama.

Malaysia, Qatar dan Tajikistan masing-masing muncul juara kumpulan pada pusingan kelayakan kejuaraan tersebut yang berlangsung tahun lepas, sementara Yemen sekadar muncul antara lima pasukan menduduki tempat kedua terbaik, pusingan kelayakan itu.

Pengurus pasukan skuad B-19 negara Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, barisan kejurulatihannya akan menyiapkan pasukan ke tahap terbaik, untuk merealisasikan impian beraksi pada Piala Dunia B-20 2021, di Indonesia.

“Bukan satu undian yang boleh dipandang remeh, tetapi kami sedia untuk menghadapi kejuaraan ini. Persiapan akan dilakukan semaksimum mungkin, sehingga kita terbang ke Tashkent. Sasaran adalah layak ke Piala Dunia B-20 2021,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Untuk menghadapi Tajikistan dan Qatar, ia bukan satu perkara mustahil, kerana barisan pemain ini pernah menang besar ke atas Tajikistan beberapa tahun lepas, dan kita juga pernah menang dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” tambah beliau.

Sebahagian besar pemain skuad B-19 negara, antaranya penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin merupakan pemain daripada skuad B-16 negara, yang melakar kemenangan besar 6-2 ke atas Tajikistan, pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, majlis undian hari ini menyaksikan penyandang juara Arab Saudi, diundi dalam Kumpulan C bersama Australia, Vietnam dan Laos, sementara Kumpulan A membariskan Uzbekistan, Indonesia, Kemboja dan juara sebanyak empat kali, Iran.

Dalam pada itu, Kumpulan B dijangka berlaku saingan sengit untuk merebut dua slot ke pusingan kalah mati, apabila juara 12 kali, Korea Selatan bakal berdepan Iraq (juara 5 kali), Jepun (juara 2016) dan Bahrain.

Kejuaraan B-19 AFC 2020, menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 dan Malaysia menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak beraksi di pentas Piala Dunia secara merit.

Berikut merupakan keputusan penuh undian hari ini;

Kumpulan A: Uzbekistan, Indonesia, Kemboja, Iran

Kumpulan B: Korea Selatan, Jepun, Iraq, Bahrain

Kumpulan C: Arab Saudi, Australia, Vietnam, Laos

Kumpulan D: Qatar, Tajikistan, Malaysia, Yemen

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain muda beraksi di AS dalam radar skuad B-18 negara

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal semakin hampir menyertai skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan menjelang Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar mengesahkan perkembangan itu dan menjangkakan Wan Kuzri, 18, tidak berdepan masalah dalam melengkapkan proses dokumentasi.

“Saya diberi taklimat bahawa selain daripada pemain sedia ada, kami sedang memantau secara dekat satu atau dua lagi pemain yang akan diserap dalam skuad B-18. Sensasi sedikit, Wan Kuzri iaitu adik kepada Wan Kuzain yang beraksi di Amerika Syarikat adalah dalam perancangan utama kami.

Kami jangkakan tiada masalah kerana kedua orang tuanya warga Malaysia dan beliau masih di bawah 21 tahun. Kami sedang berhubung rapat dengan beliau untuk langkah seterusnya jika kami boleh memulakan sesi latihan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini, hari ini.

Wan Kuzri merupakan adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City.

Wan Kuzain, 22, menyertai kem latihan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) pada November tahun lepas bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina, namun digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain susulan masalah dokumentasi.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin berkata Wan Kuzri turut menyatakan minat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan selain beliau dijadual menyertai satu sesi pemantapan skuad B-18 negara di Jepun pada Mac lepas.

“Dia amat berminat untuk menyertai kami. Mengikut perancangan asal beliau akan diterbangkan dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi menyertai sesi latihan di sana, namun perancangan itu terbatal kerana pandemik Covid-19,” jelasnya.

Selain Wan Kuzri, Kamarul Ariffin berkata barisan kejurulatihan turut memantau perkembangan dua pemain masing-masing dari Sabah dan Melaka yang berpotensi tinggi untuk diserapkan dalam skuad negara.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia dan skuad B-18 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit beraksi di pentas saingan Piala Dunia itu.

-BERNAMA