Categories
NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Pengundi dinasihat keluar awal

TANAH RATA, 24 JAN: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Sabtu ini dinasihatkan supaya merancang masa dan keluar pada awal pagi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, walaupun tempoh masa mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang, pengundi dinasihatkan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir.

“Ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan dijangka pada sebelah petang.

“Terdapat juga pusat mengundi ditutup lebih awal berikutan faktor logistik dan kedudukan geografi pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRK itu Sabtu ini.

“SPR juga meminta para pengundi membuat semakan awal maklumat daftar memilih sebelum hari pengundian yang boleh disemak melalui portal rasmi SPR www.spr.gov.my, talian 03-88927018, atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.

Azhar berkata, pengundi yang telah mengetahui maklumat daftar pemilih tidak perlu menyemaknya di barung SPR, sebaliknya diminta mencatatkan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Beliau berkata, pengundi disaran membawa catatan maklumat tersebut dan menunjukkannnya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan semakan nama dibuat dan membantu kelancaran proses pengundian.

“Mereka juga dinasihatkan membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri rasmi dan sah pada hari pengundian serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya.

Berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 14 Disember lalu, jumlah pemilih layak mengundi biasa adalah seramai 31,749 orang.

“Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi layak bagi undi pos menjadikan mereka yang layak mengundi biasa Sabtu ini adalah 31,639 orang,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept); serta Parlimen Port Dickson (13 Okt).

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan M. Manogaran; bekas pesara Polis Diraja Malaysia, Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Undi awal PRK Cameron Highlands babitkan 247 pengundi bermula

TANAH RATA, 22 JAN: Seramai 247 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dijangka keluar mengundi hari ini di dua pusat pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata daripada jumlah itu seramai 232 orang mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Brinchang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang dibuka bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang ini.

Sementara itu, bagi DUN Jelai seramai 15 lagi pengundi awal akan mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan sebelum pusat pengundian itu ditutup pada jam 2 petang.

Proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen calon bertanding selain pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.

Selepas selesai proses pengundian peti-peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah untuk penjumlahan rasmi pada hari pengundian 26 Januari ini.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

PRK Cameron Highlands bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), M Manogaran; Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan, Wong Seng Yee.

PRK ini adalah yang kelima setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tiga pilihan raya sebelum ini adalah melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

-BERNAMA