Categories
GLOBAL

Jokowi sah Presiden Indonesia, mahkamah tolak petisyen Prabowo

JAKARTA, 28 JUN: Presiden Joko Widodo atau Jokowi, akhirnya sah memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019), untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia bagi tempoh 2019-2024.

Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia pada 27 Jun menolak permohonan Prabowo Subianto, calon Pilpres 2019, yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Anwar Usman pada jam 9.16 malam tadi.

Jokowi, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan, berkata keputusan MK adalah sesuatu yang muktamad dan meminta seluruh rakyat Indonesia kembali bersatu.

Dalam pada itu, Prabowo dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan, berkata, beliau kecewa, namun menghormati keputusan MK itu dan meminta semua pihak tidak mencetuskan kekecohan, atau tindakan yang boleh menjejaskan keamanan.

Presiden Jokowi, sebelum ini diumumkan memenangi Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas, namun Prabowo yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di MK.

Selepas keputusan KPU, pada 21 dan 22 Mei lepas, turut mencetuskan beberapa siri insiden rusuhan di Jakarta, oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengn keputusan berkenaan.

Persidangan atau perbicaraan Pilpres itu bermula 14 Jun hingga 21 Jun lepas di hadapan sembilan hakim MK yang diketuai Anwar, dengan semua pihak berkaitan seperti peguam dan saksi dari pihak Prabowo, KPU dan Badan Pengawas Pemilihan Umum, memberikan keterangan masing-masing.

KPU sebelum ini mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Pilpres 2019 berlangsung 17 April lepas.

Keputusan MK itu adalah muktamad, dan KPU dijadual membuat perisytiharan rasmi kemenangan Jokowi dalam tempoh tiga hari mendatang.

Upacara mengangkat sumpah Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadualkan pada 20 Oktober ini. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pilpres 2019: 22 Mei yang mendebarkan

JAKARTA, 18 MEI: Pada 22 Mei ini, Komisi Pemilihan Umum (KPU) akan mengumumkan keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2019, yang dilihat mendebarkan, lebih kepada hal berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam daripada hasil keputusan Pilpres itu.

Ramai pemerhati politik melihat Presiden Joko Widodo (Widodo) tidak bermasalah langsung untuk mempertahankan jawatannya itu untuk penggal kedua.

Persoalannya kini lebih kepada debaran keselamatan di Indonesia, ketika pencabarnya Prabowo Subianto telah menolak proses pengiraan undi Pilpres, yang didakwanya berlaku penipuan.

Sekalipun warga Indonesia menjalani ibadat puasa Ramadan dengan tenang ketika ini, namun pemerhati politik dan pasukan keselamatan bimbang dengan gesaan pihak-pihak tertentu untuk mengadakan demostrasi membantah keputusan Pilpres itu.

Lebih 30,000 anggota polis dan tentera Indonesia diarah meningkatkan pengawasan yang lebih ketat di ibu kota Jakarta, berikutan kebimbangan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Setakat semalam, Densus 88 atau Pasukan Polis Khas Anti Keganasan Indonesia, telah menahan 29 suspek yang dipercayai merancang untuk melakukan serangan bom pada 22 Mei ini.

Menurut kenyataan polis Indonesia, semua suspek itu ditahan di Jakarta, Bekasi, Karawang, Tegal, Nganjuk, Bitung dan Bogor, dan Densus 88 turut merampas pelbagai senjata seperti senapang, peluru, bom, pisau dan, panah dan risalah jihad.

Berdasarkan laman rasmi KPU, setakat tengah hari ini, proses pengundian telah berjaya menyelesaikan kiraan di 714,781 daripada 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian.

Jokowi dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin selesa mendahului dengan kelebihan 15.7 juta undi, mengatasi pencabarnya Prabowo dan pasangannya, Sandiaga Uno.

Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2019). – BERNAMA