Categories
BERITA UTAMA

Jokowi bertemu Tun Mahathir 8 Ogos ini

JAKARTA, 3 OGOS: Presiden Indonesia Joko Widodo, yang memenangi Pilihan Raya Presiden 2019, untuk memimpin penggal kedua negara demokrasi terbesar di dunia itu dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, pada 8 Ogos ini.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana berkata, Presiden ketujuh Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi dan mempunyai hubungan sangat rapat dengan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, pastinya membawa agenda untuk mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara dalam lawatan rasminya.

“Pak Jokowi sangat menghormat Pak Mahathir, ketika (Tun Mahathir) mau dilantik (sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 10 Mei 2018), Pak Jokowi harapkan beliau menjadi pemimpin (negara luar) pertama yang ucapkan selamat (tahniah).

“Ketika Pak Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia (pada Jun 2018), Pak Jokowi menyambut Pak Mahathir di Bandara (lapangan terbang),” katanya yang menambah, Jokowi amat mengagumi kepimpinan dan pengalaman pemimpin berusia 94 tahun itu.

Beliau yang mengadakan pertemuan bersama delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia di Jakarta, berkata secara peribadi, beliau yakin Jokowi akan memfokuskan kerjasama yang lebih erat bersama Malaysia, demi kepentingan dan kemakmuran bersama dalam tempoh penggal keduanya itu.

Jadual lengkap lawatan rasmi Jokowi ke Malaysia itu bagaimanapun masih belum dikeluarkan kedutaan Besar Indonesia di Malaysia setakat ini.

Rusdi berkata, berdasarkan maklumat awal, Presiden Jokowi dan Tun Dr Mahathir kemudiannya akan ke Singapura, atas undangan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, untuk membincangkan isu kepentingan bersama.

Ditanya visi Indonesia menjadi negara maju dan kuasa ekonomi kelima terbesar di dunia selepas China, Amerika Syarikat, India dan Jepun, Rusdi berkata Indonesia dan Malaysia perlu bekerjasama untuk sama-sama menjadi negara maju.

“Malaysia dan Indonesia ini kan serumpun, ‘dua tangan lebih baik dari satu tangan’,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dan cadangan seperti untuk membangunkan projek kereta bersama, menjaga kepentingan serta mempelbagai produk sawit seperti biodiesel, kerjasama baharu dalam projek ekonomi, perlu diberikan penekanan dan perspektif baharu.

“Saya juga seorang pengusaha (pemilik syarikat penerbangan Lion Air Group), pastinya saya mahu Malaysia dan Indonesia melaksanakan projek-projek ekonomi bersama.

“(Contohnya) Malaysia dan Indonesia adalah pengeluar getah terbesar dunia, tapi tidak bangunkan industri pembuatan tayar kapal terbang, harus juga fokus dan bangunkan biodisel untuk pesawat,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kedua-dua negara ketepikan untuk bersaing satu sama lain, mengabaikan hal-hal sepele (remeh-temeh), sebaliknya memfokuskan usaha menjadi negara maju.

“Hal berkaitan jerebu misalnya, janganlah marah Indonesia, kan kami sedang ditimpa musibah, hutan kami terbakar, kami pun mengalami jerebu, jerebu juga ke Malaysia, makanya, sama-samalah membantu kami tangani kebakaran hutan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jokowi sah Presiden Indonesia, mahkamah tolak petisyen Prabowo

JAKARTA, 28 JUN: Presiden Joko Widodo atau Jokowi, akhirnya sah memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019), untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia bagi tempoh 2019-2024.

Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia pada 27 Jun menolak permohonan Prabowo Subianto, calon Pilpres 2019, yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Anwar Usman pada jam 9.16 malam tadi.

Jokowi, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan, berkata keputusan MK adalah sesuatu yang muktamad dan meminta seluruh rakyat Indonesia kembali bersatu.

Dalam pada itu, Prabowo dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan, berkata, beliau kecewa, namun menghormati keputusan MK itu dan meminta semua pihak tidak mencetuskan kekecohan, atau tindakan yang boleh menjejaskan keamanan.

Presiden Jokowi, sebelum ini diumumkan memenangi Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas, namun Prabowo yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di MK.

Selepas keputusan KPU, pada 21 dan 22 Mei lepas, turut mencetuskan beberapa siri insiden rusuhan di Jakarta, oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengn keputusan berkenaan.

Persidangan atau perbicaraan Pilpres itu bermula 14 Jun hingga 21 Jun lepas di hadapan sembilan hakim MK yang diketuai Anwar, dengan semua pihak berkaitan seperti peguam dan saksi dari pihak Prabowo, KPU dan Badan Pengawas Pemilihan Umum, memberikan keterangan masing-masing.

KPU sebelum ini mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Pilpres 2019 berlangsung 17 April lepas.

Keputusan MK itu adalah muktamad, dan KPU dijadual membuat perisytiharan rasmi kemenangan Jokowi dalam tempoh tiga hari mendatang.

Upacara mengangkat sumpah Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadualkan pada 20 Oktober ini. – BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

‘Perang baju’ calon presiden Indonesia

JAKARTA, 28 MAC: Persaingan Joko Widodo dengan pencabarnya Prabowo Subianto untuk merebut kerusi presiden Indonesia, pada pemilihan April ini bertambah sengit.

Penyandangnya yang popular disapa Jokowi menggesa penyokongnya memakai baju putih bagi menjawab kempen Prabowo dan gandingannya, Sandiaga Uno yang memakai pakaian lengkap.

“Jangan lupa pakai baju putih pada 17 April ini untuk memilih calon berpakaian putih. Kerana kita ini putih, putih itu kita,” kata Jokowi seperti dilapor portal Tempo.

Katanya, yang berpasangan dengan calon naib presiden Ma’ruf Amin, baju putih mudah diperolehi kebanyakan rakyat republik itu berbanding suit yang lebih mahal.

“Pakaian lengkap lebih mahal dan ia jenis pakaian Eropah atau Amerika. Orang Indonesia cukup memakai baju putih seperti yang saya pakai,” kata Jokowi lagi ketika berkempen di Dumai, Riau pada 26 Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jokowi-Ma’ruf menggunakan gimik hologram untuk memulakan kempen terbuka mereka sehari sebelumnya di Banten.

Teknologi itu memaparkan pasangan ini dengan imej tiga dimensi yang dibawa di atas trak ke lokasi yang dipilih, lapor portal yang sama.

Mesej yang disampai termasuk menolak fitnah dan berita palsu, selain program yang mereka janjikan.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah kunjungi Joko Widodo

BOGOR 9 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memulakan lawatan kerja sehari beliau ke Indonesia pada Selasa dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Dalam pertemuan 30 minit , Wan Azizah dan Presiden Jokowi membincangkan pelbagai perkara membabitkan hubungan dua hala.

Wan Azizah diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi dan Menteri Sekretaris Negara, Muhadjir Effendy.

Lawatan Wan Azizah ke Indonesia adalah kunjungan pertama beliau ke negara berjiran sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum Mei lepas.

Aturcara lawatan beliau yang padat termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak, Yohana Susana Yembise.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jokowi: Tahniah Tun Mahathir, moga hubungan Malaysia-Indonesia bertambah baik

SHAH ALAM, 11 MEI: Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Ucapan itu disampaikan presiden yang mesra dengan panggilan Jokowi menerusi panggilan telefon dari Istana Presiden di Bogor.

“Saya mengucapkan selamat atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelmarin,” katanya melalui kenyataan dari Istana Presiden di Bogor.

Jokowi turut mengucapkan syukur ekoran proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Malaysia berjalan lancar, pada 9 Mei lalu.

“Saya senang mendengar proses demokrasi berjalan lancar dan aman,” katanya.

Jokowi turut meyakini hubungan kedua-dua negara akan bertambah baik.

“Sebagai negara serumpun saya percaya di bawah kepemimpinan Bapak Mahathir, hubungan antara kedua bangsa kita akan terus meningkat.

“Dan saya mendoakan Bapak Mahathir terus diberikan kesihatan untuk menjalankan amanah rakyat Malaysia ini,” katanya dipetik portal Malaysia Kini.

Mahathir secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara, semalam.

Sejarah baru tercipta, apabila Tun Mahathir menggalas jawatan sama buat kali kedua setelah pertama kalinya selama 22 tahun iaitu pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah negara, selepas 61 tahun parti itu mentadbir.

PAKATAN menang majoriti mudah 113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Antara negeri ditawan PAKATAN adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah selain berjaya mengekalkan kemenangan, di Selangor juga Pulau Pinang.

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Jokowi jadi imam, presiden Afghanistan makmum

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 30 JAN: Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa kunjungannya ke Afghanistan pada Isnin sempat menjadi Imam Solat dengan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani menjadi makmum bersama pimpinan dan kenamaan lain.

Agensi Berita Indonesia DETIK.COM melaporkan dari video Biro Setpres, Selasa (30/1/2018), mulanya Jokowi dan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani sempat bertukar kopiah.

Dilaporkan Jokowi memberikan kopiah untuk Ghani, kemudian Ghani memberikan ikat kepala untuk Jokowi.

Kemudian keduanya sempat berpelukan, dan tersenyum satu sama lain. Kemudian mereka berjalan menuju masjid.

Usai menunaikan salat, Jokowi sempat menyapa para jemaah yang ada di musala. Ia terlihat berbincang dengan sejumlah anak-anak.

Kemudian Jokowi dan Ghani terlihat meninggalkan lokasi untuk melanjutkan pertemuan bilateral.

Pertemuan antara kedua pemimpin itu turut membincangkan peranan yang boleh dimainkan Indonesia untuk mewujudkan keamanan di Afghanistan.

Jokowi turut mencadangkan pembentukan jawatankuasa bersama antara Indonesia, Pakistan dan Afghanistan bagi mewujudkan keamanan di wilayah itu.

Lawatan Presiden Indonesia ke Afghanistan itu adalah pertama kali sejak kali pertama Presiden Indonesia Sukarno ke negara itu pada 1961.

 

SUMBER: DETIK.COM
FOTO KREDIT: Jokowi jadi imam salat di Afghanistan (Foto: Screenshot video BPMI)

Categories
NASIONAL

Indonesia perlu tiga tahun selesai jerebu

SHAH ALAM, 1 OKT: Sekurang-kurangnya tiga tahun diperlukan Indonesia bagi menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan di negara itu, sekali gus menyelesaikan masalah jerebu yang saban tahun melanda negara jiran mereka.

Presidennya, Joko Widodo, berkata mustahil masalah kebakaran hutan dapat ditangani dalam masa singkat dan tempoh tiga tahun memadai bagi melihat pencapaian usaha mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, Indonesia sudah melakukan yang terbaik untuk menangani masalah jerebu yang memberi kesan kepada negara jiran terutama Malaysia dan Singapura.

JOKOWI JEREBU“Antara usaha yang sedang dijalankan ialah mengerah 3,700 anggota tentera dan 8,000 polis, serta empat pesawat untuk memadamkan kebakaran.

“Kita juga mengambil tindakan segera membina terusan di tanah ladang supaya sentiasa basah dan tidak mudah terbakar,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian dalam wawancara siaran BBC Indonesia seperti yang dipetik portal berita atas talian tempatan semalam.

Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu berkata pihak berkuasa telah menahan beberapa individu dan pemilik syarikat yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pembakaran hutan dan ladang bagi tujuan penanaman semula.

Kebakaran hutan dan kawasan pertanian kini melanda beberapa wilayah Indonesia seperti Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan serta Kalimantan Timur.

Pembakaran besar-besaran hutan dan tanah pertanian dipercayai dilakukan pihak tertentu sebagai cara mudah membuka kawasan pertanian baharu dan syarikat pelaburan Malaysia dan Singapura sering dikaitkan kononnya sebagai pihak yang terbabit.

-NR-