Categories
GLOBAL

Rusuhan turut berlaku di Kalimantan, keadaan terkawal

JAKARTA, 23 MEI: Rusuhan di Jakarta, yang dikaitkan dengan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019), dilaporkan turut merebak di Pontianak, Kalimantan.

Menurut laporan media tempatan, dua pos polis (pondok polis) di Kota Pontianak, dibakar perusuh, semalam.

Setakat ini, 38 perusuh ditahan dan keadaan dilaporkan kembali terkawal.

Di Jakarta malam tadi, sebuah pondok polis di Jalan KH Wahid Hasyim, Jakarta Pusat, turut dibakar perusuh.

Sejumlah perusuh ditahan pihak berkuasa malam tadi, namun belum ada sebarang kenyataan polis berhubung tangkapan itu setakat ini.

Berdasarkan pemantauan di Jakarta pagi ini, premis-premis perniagaan dan komersial di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Sabang, kawasan Tanah Abang, Jalan KH Wahid Hasyim, dan Haji Agus Salim, dan kompeks Membeli belah Sarinah, masih ditutup.

Beberapa jalan raya yang menempatkan bangunan Komisi Pemilihan Umum, Badan Pengawas Pemilihan Umum, serta stesen MRT dan bas, di kawasan berkenaan turut ditutup sementara.

Lebih 50,000 polis dan tentera masih ditempatkan di kawasan- kawasan strategik di Jakarta.

Beberapa kejadian rusuhan itu menyebabkan ramai pihak melahirkan kebimbangan terhadap kesannya kepada ekonomi dan kestabilan sosio politik di Indonesia.

Ramai pemerhati politik berharap calon Pilpres 2019, yang diumumkan kalah, Prabowo Subianto, memainkan peranan penting dan mengadakan pertemuan bersama Presiden Joko Widodo bagi mengembalikan suasana aman di Jakarta. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Indonesia kawal ketat media sosial susulan rusuhan

OLEH SHEEDA FATHIL

JAKARTA, 23 MEI: Ekoran rusuhan yang berlaku di Indonesia akibat bantahan segelintir rakyatnya terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019), kerajaan negara itu menyekat fungsi laman media sosial seperti Facebook dan Whatsapp buat sementara waktu.

Hal itu kerana keadaan semakin kritikal sehingga enam penunjuk perasaan terbunuh selain terdapatnya kerosakan yang besar.

Memetik Portal Astro Awani, Menteri Penyelaras Sektor Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto berkata, keputusan menyekat media sosial bertujuan menghalang penyebaran berita palsu dan khabar angin daripada terus berlaku.

Katanya, ekoran rusuhan terbabit, kerajaan Indonesia terpaksa menempatkan lebih 40,000 anggota keselamatan di sekitar ibu kota Jakarta bagi mengawal keadaan yang semakin huru hara.

Terdahulu, ekoran kejadian rusuhan itu sebahagian besar premis perniagaan, pejabat dan stesen kereta api terpaksa ditutup.

Rusuhan itu tercetus akibat protes daripada penyokong calon yang tewas pada Pilpres 2019, Prabowo Subianto yang tidak berpuas hati dengan pengumuman kemenangan Joko Widodo atau Jokowi dalam pemilihan presiden pada 17 April lalu.

Selain enam maut dan ratusan cedera, sehingga kini pihak polis sudah menahan lebih 257 suspek yang dipercayai memulakan rusuhan terbabit.

Sementara itu, Prabowo dalam satu kenyataan menggesa penunjuk perasaan tidak terbabit dengan keganasan sebaliknya protes itu perlu berjalan dengan aman.

“Saya menggesa semua pihak yang menyatakan aspirasi mereka, polis, tentera dan semua pihak menahan diri daripada tindakan fizikal,” katanya.

Manakala, Presiden Jokowi pula dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan gangguan.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang menganggu keselamatan atau mereka yang mengganggu proses demokrasi atau perpaduan negara,” katanya dalam satu taklimat di Istana Presiden.

Categories
NASIONAL

Tiada rakyat Malaysia terkesan di Indonesia

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 23 MEI: Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit atau terkesan secara langsung akibat demonstrasi di Jakarta berikutan pengumuman keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019).

Kementerian juga meminta rakyat Malaysia yang berada di Indonesia supaya menjauhi kawasan tumpuan peserta demonstrasi.

“Selain itu juga, rakyat Malaysia di Indonesia diminta mengikut perkembangan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ekoran pengumuman keputusan Pilpres 2019 pada 21 Mei, beberapa siri demonstrasi dilaporkan belaku di sekitar Jakarta Pusat bagi membantah keputusan terbabit.

Sehingga kini enam orang dilaporkan maut dan ratusan yang cedera berserta 257 suspek yang dipercayai memulakan rusuhan ditahan.

Difahamkan, kemungkinan berlaku demonstrasi besar-besaran akan dilakukan dalam masa terdekat di hadapan bangunan pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) dan Badan Pengawas Pemilihan Umum (BAWASLU).

Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Jakarta Pusat dan memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel [email protected] / [email protected] atau telefon +62 215 224 947 / +62 813 8081 3036.