Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia amat bimbang serangan udara di Baghdad

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Malaysia melahirkan rasa amat bimbang dengan perkembangan terbaharu susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat.

Satu kenyataan daripada Kementerian Luar Negeri hari ini memaklumkan Malaysia sentiasa berpegang bahawa semua usaha perlu diambil bagi menyelesaikan masalah atau konflik menerusi perdamaian tanpa menggunakan ancaman atau kekerasan.

Oleh itu, pada peringkat kritikal ini adalah lebih baik bagi semua pihak yang terbabit mengelakkan sebarang provokasi yang selanjutnya, melaksanakan usaha bagi menghalang dan meredakan ketegangan agar dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, menurut kenyataan itu.

Serangan dron ke atas satu konvoi yang sedang bergerak berhampiran lapangan terbang itu membunuh pegawai tertinggi keselamatan dan komander perisikan Iran, Maj Jen Qassim Suleimani.

Terdapat kebimbangan yang memuncak bahawa Iran akan mengambil tindakan balas terhadap kepentingan Amerika Syarikat di dunia Arab dan ketegangan yang sedang berlaku antara kedua-dua pihak itu dijangka merebak kepada konflik yang lebih besar antara AS dan Iran.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada rakyat Malaysia terkesan di Indonesia

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 23 MEI: Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit atau terkesan secara langsung akibat demonstrasi di Jakarta berikutan pengumuman keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019).

Kementerian juga meminta rakyat Malaysia yang berada di Indonesia supaya menjauhi kawasan tumpuan peserta demonstrasi.

“Selain itu juga, rakyat Malaysia di Indonesia diminta mengikut perkembangan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ekoran pengumuman keputusan Pilpres 2019 pada 21 Mei, beberapa siri demonstrasi dilaporkan belaku di sekitar Jakarta Pusat bagi membantah keputusan terbabit.

Sehingga kini enam orang dilaporkan maut dan ratusan yang cedera berserta 257 suspek yang dipercayai memulakan rusuhan ditahan.

Difahamkan, kemungkinan berlaku demonstrasi besar-besaran akan dilakukan dalam masa terdekat di hadapan bangunan pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) dan Badan Pengawas Pemilihan Umum (BAWASLU).

Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Jakarta Pusat dan memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel [email protected] / [email protected] atau telefon +62 215 224 947 / +62 813 8081 3036.

Categories
NASIONAL

Statut Rom: Kementerian Luar panggil ‘Resident Coordinator’ PBB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MEI: ‘Resident Coordinator’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia diminta untuk memberi penjelasan kepada Kementerian Luar Negeri hari ini, berhubung proses dan status terkini penarikan diri Malaysia dari Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, maklumat di laman sesawang PBB setakat ini menunjukkan Malaysia kekal sebagai Negara Pihak dan kedudukan terbabit nyata mengecewakan.

“Walaupun Malaysia sudah mengemukakan surat penarikan diri dari Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa kepada pihak PBB, namun pengekalan Malaysia sebagai Negara Pihak kepada triti terbabit seperti yang tertera dalam laman sesawang PBB adalah sangat mengecewakan,” katanya.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik balik penyertaannya ke Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan media pada 8 Mei lalu berkata, kerajaan sudah mengemukakan surat penarikan diri Malaysia kepada Setiausaha Agung PBB pada, 29 April lalu.

Categories
NASIONAL

Malaysia tidak disenarai di bawah program pengecualian visa

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Sebuah portal berita tersalah lapor apabila menyatakan Malaysia disenaraikan di bawah program pengecualian visa Amerika Syarikat, menurut Kementerian Luar Negeri.

Sehingga kini, tiada sebarang perubahan dalam status program itu bagi rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang mahu berkunjung ke Amerika Syarikat masih perlu memohon visa seperti biasa,” jelas kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut maklumat yang salah itu terkandung dalam artikel bertajuk ‘Amerika Masukkan Jamaica, 9 Lagi Negara ke dalam Program Pengecualian Visa’ menerusi pautan berita news-ap.com.

“Kementerian menggesa supaya dihentikan segera penyebaran berita itu menerusi aplikasi WhatsApp atau sebarang saluran sosial atau komunikasi yang lain,” menurut kenyataan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menteri Perlu Perjelas Dakwaan Ijazah Palsu

ijazah palsu

KUALA LUMPUR 27JUN : Dua menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan ijazah palsu dari luar negara digesa memperjelaskan perincian berkenaan dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendakwa beliau memperolehi maklumat mengenai kelulusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem daripada laman web Kementerian Luar Negeri.

“Kami menyeru menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang menteri sebut bahawa beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari University of Hertfordshire seperti mana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam,” katanya.

Dr Ong berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Richard didakwa memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Richard dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Kian Ming menyatakan kesediaan berdepan dengan tindakan undang-undang berhubung kenyataannya.

Menurut Dr Kian Ming, laman web Kementerian Sains dan Teknologi juga tidak lagi menampilkan butir peribadi menterinya, Datuk Dr Ewon Ibin pada hari ini.

Sebelum ini, Dr Kian Ming mendedahkan menteri (Ewon) berkenaan memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

“Kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perletakan jawatan serta merta salah seorang atau kedua-dua menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka atau telah memperolehi ijazah ragu daripada kilang ijazah,” ujarnya lagi.