Categories
GLOBAL

PILPRES 2019: Prabowo belum mengaku kalah

JAKARTA, 25 MEI: Proses Pilihan Raya Umum Indonesia (PEMILU 2019) ternyata belum selesai, yang setakat ini berlangsung penuh cabaran dan tragedi.

Tujuh perusuh terbunuh dan ratusan cedera dalam insiden rusuhan selepas keputusan Pilihan Raya Presiden (PILPRES 2019) diumumkan Selasa lalu.

Sebelum ini, lebih 500 petugas PEMILU, dilaporkan meninggal dunia, kerana “kepenatan” dan serangan jantung, dalam mengendalikan proses PEMILU 2019.

Sebanyak 1.7 juta petugas PEMILU 2019 menguruskan proses PILPRES, Pemilihan anggota Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR), pemilihan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif membabitkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.

Proses keputusan PILPRES 2019 masih belum selesai dalam memuktamadkan kemenangan Presiden Joko Widodo (Jokowi), bagi memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu untuk penggal keduanya.

Calon PILPRES 2019 yang diumumkan kalah oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), Prabowo Subianto, menerusi peguamnya, Bambang Widjojanto,memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia pada 10.43 malam tadi.

MK dibuka sehingga 12 tengah malam, untuk masa dan tarikh akhir kemukakan bantahan PEMILU 2019.

KPU sebelum ini menetapkan dalam tempoh 72 jam selepas pengumuman PILPRES pada Selasa lalu, untuk pihak yang kalah, mengemukakan bantahan terhadap keputusan itu di MK.

Jika tiada bantahan, KPU akan istiharkan kemenangan muktamad Jokowi, dan jika ada, MK yang akan putuskan.
Proses persidangan (perbicaraan) dijadual bermula 14 Jun ini, sebelum MK dijangka membuat keputusan pada 28 Jun 2019.

Pemerhati dan penganalisis berkata apa jua keputusan MK nanti itu adalah sesuatu yang muktamad, dan perlu dihormati semua pihak, demi kestabilan politik di Indonesia.

Prabowo, yang sebelum ini sering mendakwa berlaku politik wang, penipuan dan pembabitan pihak tertentu berkonspirasi memenangkan Jokowi, perlu membuktikan tuduhannya itu pada persidangan di MK.

“Majoriti 16.95 juta undi, adalah besar, sukar untuk mengatakan ia satu konspirasi pihak tertentu dalam melakukan penipuan,” kata pemerhati politik.

Pada 1.46 pagi Selasa, KPU mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

“Terdapat 813,350 Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian, dan di setiap TPS, terdapat sekitar 200 pengundi.

“Jika berlaku penipuan, pasukan Jokowi memerlukan konspirasi yang cukup besar dan terancang, untuk meraih majoriti 16.95 juta undi itu,” kata pemerhati politik.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

PILPRES 2019: Jokowi semakin selesa mendahului

JAKARTA, 15 MEI: Proses pengiraan kertas undi bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia kini melebihi 80 peratus, dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) selesa mendahului pencabarnya, Prabowo Subianto.

Prabowo, yang sebelum ini menolak hasil keputusan ‘quick count’ atau hitung cepat oleh badan-badan bebas yang turut memenangkan Jokowi, kini bertindak pula memboikot proses pengiraan undi rasmi oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), yang didakwanya berlaku unsur penipuan.

Mengikut pengiraan undi menerusi laman web rasmi KPU setakat tengah hari ini, pengiraan undi itu membabitkan 669,846 daripada 813,350 Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian.

Jokowi yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ ruf Amin memperoleh 71,029,379 undi, manakala Prabowo dan pasangannya Sandiaga Uno meraih 55,282,221 undi.

Pada 17 April lalu, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2019).

Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei ini.

Pemerhati politik melihat tindakan Prabowo yang mencetuskan polemik baharu dengan menolak proses pengiraan undi oleh KPU itu sebagai tindakan yang tidak jelas dan tidak berdasarkan fakta.

“Curangnya (penipuannya) di mana? Siapa yang melakukan? Bagaimana modelnya dan modusnya? Tidak ada informasi soal hal-hal tersebut disampaikan.

“Penolakan (boikot) itu tidak dibangun atas data dan fakta,” kata penganalisis berkenaan.

-BERNAMA