Categories
AGENSI SELANGOR

Tanah runtuh: 38 keluarga Apartmen Teratai diarah pindah sementara

GOMBAK, 30 DIS: Sebanyak 38 keluarga di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan tebing pangsapuri itu runtuh akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata apartmen berkenaan antara enam lokasi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kritikal dan perlu pembaikan segera.

“Semua penduduk di pangsapuri itu ditempatkan di Dewan Sri Siantan sementara kawasan berkenaan dibaik pulih manakala lima lagi kawasan yang juga melibatkan penduduk dalam pemantauan dan jika ada keperluan mengosongkan rumah kita akan berikan notis.

“Bagi pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula terdapat lima kawasan kritikal. Kita jangka kos baik pulih di kawasan MPS memerlukan RM11.5 juta manakala MPAJ (RM2.02 juta),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau tiga lokasi tanah runtuh di daerah Gombak yang merupakan kawasan kritikal akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang sebelum ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Penduduk di pangsapuri itu diarah berpindah ke PPS berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh. Susulan kejadian, MPS telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: 128 penghuni asrama UIAM diarah kosongkan bangunan

KUALA LUMPUR, 27 DIS:  Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak diarah mengosongkan bangunan asrama itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran dengan bangunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan selepas menerima laporan pada kira-kira pukul 9 malam tadi mengenai kejadian itu.

Beliau berkata kejadian dikesan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang semalam berikutan aduan pelajar di kawasan berkenaan, dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan adalah sekitar lima meter persegi melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter.

.”Setakat ini tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai (bangunan) ditemui,” katanya kepada Bernama hari ini.

Norazam berkata pihak pengurusan UIAM telah bertindak menutup kawasan itu dengan kon serta pita keselamatan.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam UIAM Roslan Rusly berkata kejadian tanah runtuh berkenaan dikesan di Mahallah Zubair Al-Awwam, sementara mendapan tanah berlaku berhampiran Mahallah Ruqayyah berikutan hujan lebat selama kira-kira 45 minit di kawasan itu semalam.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

CAC Hulu Selangor pindah ke Dewan Orang Ramai Batang Kali mulai Isnin

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Hulu Selangor di Klinik Ulu Yam Lama akan berpindah ke Dewan Orang Ramai Batang Kali mulai Isnin ini.

Pusat kesihatan daerahnya memaklumkan penukaran lokasi dibuat selepas menerima aduan orang ramai berhubung kesesakan CAC itu susulan peningkatan pesakit.

“Lokasi baharu berhadapan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Batang Kali,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sebelum ini, orang awam membuat aduan menerusi laman sosial mengenai kesesakan di kawasan parkir serta khemah yang tidak mencukupi di CAC berkenaan.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman baru-baru ini memaklumkan sebanyak 34 CAC telah disediakan di seluruh daerah untuk menilai pesakit Covid-19.

CAC ditubuhkan pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.