Categories
SELANGOR

PKPD: 1,024 penduduk Kuala Langat disaring, 43 positif Covid-19

SHAH ALAM, 4 NOV: Kesemua 1,024 penduduk Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Kuala Langat sudah menjalani saringan Covid-19 sejak 18 Oktober lalu sehingga kelmarin.

Pegawai Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat Mohd Jusni Hashim berkata saringan membabitkan 97 peratus rakyat tempatan manakala selebihnya warga asing yang menghuni kawasan berkenaan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya daripada jumlah itu, 43 kes dikesan positif Covid-19, 958 disahkan negatif dan 23 penduduk lagi masih menunggu keputusan.

“Operasi pintu ke pintu dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dengan kerjasama polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk memastikan semua individu jalani saringan.

“Mereka (penduduk) perlu melalui penilaian harian (Annex-14) dan akan dibebaskan (Annex-17) apabila tamat tempoh kuarantin. Individu hanya dibenarkan keluar dari rumah jika mempunyai Annex-17,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya sudah mengagihkan bakul makanan sumbangan Kerajaan Negeri kepada 338 rumah di kawasan terbabit pada 30 Oktober lalu.

Katanya penduduk yang terjejas di kawasan PKPD itu turut dibantu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan bagi meringankan beban mereka.

“Selain itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menawarkan perkhidmatan kepada penduduk dengan membuka kedai bergerak di kawasan PKPD yang beroperasi dua hari seminggu dari 8 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Flat Sungai Emas di Kuala Langat dikenakan PKPD berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: 161 kontak rapat kluster Bah Manggis disaring

SHAH ALAM, 17 OKT: Seramai 161 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manggis dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manggis, Banting menjalani saringan Covid-19 yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat hari ini.

Pegawai Kesihatannya Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim berkata saringan secara pandu lalu bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang membabitkan pelajar daripada kelas tertentu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan kluster Bah Manggis di daerah berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, kita mengesan beberapa kelas di sekolah berkenaan terlibat dalam kontak rapat bagi kluster Bah Manggis yang berisiko dijangkiti Covid-19.

“Oleh sebab itu, kita mengambil pendekatan melakukan saringan terhadap individu berkaitan dan keputusan (saringan) dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat bagi kluster tersebut diteruskan ke kawasan Flat Sungai Manggis esok.

“Mengikut laporan semalam terdapat 29 kes positif wabak dalam kluster itu, jadi mereka yang ada kontak rapat sama ada di sekolah mahupun komuniti perlu jalani ujian saringan ini,” katanya.

Dr Wan Ahmad Razman turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan kes pandemik itu sejak kebelakangan ini.

Katanya amalan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mengelak berada di tempat sesak seharusnya menjadi kebiasaan masyarakat meskipun tiada kes positif dilaporkan di tempat mereka.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKD Kuala Langat anjur saringan Covid-19 di tiga kawasan 

SHAH ALAM, 3 JUN: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat mengadakan ujian saringan Covid-19 bermula hari ini membabitkan penduduk di Pangsapuri Langat Utama, Taman Langat Murni dan Pangsapuri Langat Murni.

Saringan selama dua hari merangkumi penduduk setempat termasuk bukan warganegara dan mereka diwajibkan memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan sosial.

“Warga emas, wanita mengandung dan mempunyai bayi atau kanak-kanak akan diberi keutamaan dan diminta untuk hadir awal dengan membawa kad pengenalan, MyKid atau pasport,” kata agensi tersebut di Facebook.

Lokasi saringan Covid-19 seperti berikut:

1. Pangsapuri Langat Murni – kawasan deretan kedai bersebelahan surau (9.30 pagi hingga 1 tengahari dan 2.30 hingga 4.30 petang)

2. Taman Langat Murni – padang permainan Jalan Murni 6/10 (9.30 pagi hingga 1 tengahari dan 2.30 hingga 4.30 petang)

3. Pangsapuri Langat Utama – bersebelahan bangunan Trans Air (9.30 pagi hingga 1 tengah hari)