Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Mentari Court, Westlite PKNS tamat esok, awal daripada dijadual

SHAH ALAM, 11 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pangsapuri Mentari Court PJS8 dan Westlite PKNS Petaling Jaya ditamatkan esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan memaklumkan, PKPD dua lokaliti berkenaan ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 14 Julai.

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan mengumumkan pelaksanaan PKPD dua lokasi berkenaan selama 14 hari mulai 1 Julai.

Selain dua lokaliti berkenaan, berikut lokasi PKPD yang turut ditamatkan esok:

– Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1 di Sarawak Plantation Agriculture Sdn Bhd (SPAD)
– Kuarters Pekerja Balingian Power Generation di Jalan Sibu
– Rumah Panjang Malang Anak Bada di Sungai Bayan.
– Kampung Penimbawan di Tuaran
– Kampung Linau di Kota Belud

Lokasi PKPD yang ditamatkan hari ini:

– Tringkap di Cameron Highland, Pahang
– Kilang Sawit Beli (termasuk perumahan kilang) di Kinabatangan Sabah

 

Petugas Pejabat Kesihatan Daerah Petaling hari ini memotong gelang kuarantin bagi semua penduduk yang telah disaring dalam kawasan PKPD Mentari Court PJS 8. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPD: Penduduk Mentari Court diberi vaksin hujung minggu ini

PETALING JAYA, 1 JULAI: Penduduk Mentari Court, PJS 8 dekat sini menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata proses suntikan vaksin dijadual bermula Ahad selepas semua penduduk termasuk warga asing selesai menjalani saringan.

Menurutnya langkah itu diambil bagi mengelakkan perebakan terus berlaku sekali gus melindungi komuniti kawasan berkenaan.

“Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bersetuju memvaksin penduduk termasuk kontak rapat yang disahkan negatif. Cara ini juga merupakan usaha mempercepatkan kadar vaksinasi negeri.

“Penduduk yang telah menerima tarikh divaksin boleh membatalkan janji temu. Kita akan suntik semua penduduk di sini, bagaimanapun jenis vaksin belum ditentukan sama ada Pfizer atau Sinovac,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Bermula hari ini, Mentari Court dikenakan PKPD selama 14 hari selepas merekodkan jangkitan tinggi.

Kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada penduduk Mentari Court larikan diri dari kawasan PKPD – Polis

PETALING JAYA, 1 JULAI: Tiada penduduk atau pekerja kilang yang tinggal di Mentari Court, PJS 8 melarikan diri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pemeriksaan pagi tadi dan mendapati semua penduduk berada di kediaman masing-masing.

“Bermula 12.01 tengah malam tadi, penduduk dilarang keluar. Bagaimanapun, sebelum waktu terbabit individu boleh bergerak dalam radius 10 kilometer seperti yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, seramai 82 anggota polis dan 22 tentera bertugas mengawasi lokasi sepanjang PKPD dikuatkuasakan.

Sebelum ini tular di media sosial gambar tangkap layar dikatakan mesej daripada pengurusan sebuah kilang berhampiran meminta pekerjanya yang tinggal di situ meninggalkan kediaman masing-masing.

Pekerja didakwa akan dipindahkan ke lokasi lain supaya operasi kilang tidak terjejas.

Bermula hari ini hingga 14 Jun kawasan terbabit yang melibatkan lebih 17,000 penduduk termasuk warga asing dikenakan PKPD selepas merekodkan jangkitan tinggi.

Kerajaan turut mengenakan perintah sama di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.