Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Mane, Salah hampakan Chelsea

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 15 APRIL: Liverpool terus berjuang memburu trofi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun apabila menewaskan Chelsea 2-0, di Anfield awal pagi tadi.

The Reds bermula garang menerusi percubaan Mohamed Salah, pada minit kelima tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Chelsea yang turun dengan formasi lima pemain tengah turut mengancam kubu Liverpool menerusi rembatan Willian tetapi tersasar.

Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi rembatan Sadio Mane tetapi beliau gagal merembat tepat ke gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Mane akhirnya menebus kesilapan apabila menjaringkan gol pertama Liverpool, pada minit ke-51.

Berpunca daripada hantaran Jordan Henderson, Mane yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola melepasi jangkauan Kepa.

Belum sempat Chelsea memperkemas permainan, Salah menggamatkan Anfied dua minit kemudian menerusi rembatan padu ke sebelah kanan gawang lawan untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat Liverpool.

Eden Hazard mempunyai dua peluang keemasan untuk mengecewakan Liverpool tetapi percubaannya sekadar singgah di tiang gol dan berjaya dikawal penjaga gol, Allison Becker.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan dan Liverpool kembali ke puncak liga mengatasi Manchester City yang sebelum itu menang 1-3 ke atas Crystal Palace dengan kelebihan dua mata selepas beraksi 34 perlawanan.

City yang kurang beraksi satu perlawanan berpeluang untuk memintas Liverpool jika mereka berjaya menang ke atas Tottenham Hotspur.

Kredit Foto: Facebook Premier League & Liverpool FC

Categories
SUKANKINI

AFC Bournemouth ajar Chelsea di laman sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 31 JAN: AFC Bournemouth mencalarkan maruah Chelsea dengan kemenangan bergaya, 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Tanpa sebarang jaringan pada babak pertama, tuan rumah berjaya merobek gawang Chelsea selepas 90 saat babak kedua bermula hasil rembatan Joshua King.

David Brooks menjadikan kedudukan 2-0 buat Bournemouth selepas mudah menolak masuk bola lorongan King, pada minit ke-63.

King sekali lagi menjadi pemusnah dengan gol kedua peribadi apabila menjadikan kedudukan 3-0, pada minit ke-72.

Chelsea yang tidak bermaya untuk bangkit terus bernasib malang apabila Charlie Daniels menjadikan kedudukan 4-0 di penghujung permainan selepas menanduk masuk hantaran Jordon Ibe.

Kekalahan itu menyaksikan Chelsea turun satu anak tangga di kedudukan kelima dengan 47 mata, cuma dibezakan dengan jumlah jaringan di belakang Arsenal.

Kredit Foto: Premier League

Categories
SUKANKINI

Liverpool ikat Leicester, kekal di puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 31 JAN: Liverpool melebarkan jurang di puncak liga dengan kelebihan lima mata di hadapan Manchester City selepas mencatatkan keputusan seri 1-1, berdepan Leicester City awal pagi tadi.

Sadio Mane meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ketiga selepas berjaya melakukan rembatan rendah menewaskan penjaga gol lawan, Kesper Schmeichel.

Liverpool yang menguasai permainan cuba mengasak bagi menambah jaringan menerusi Roberto Firmino dan Mohamed Salah tetapi gagal menemui sentuhan.

Sebaliknya, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada penghujung babak pertama menerusi tampanan Harry Maguire yang melepasi perangkap offside pertahanan Liverpool.

Bersambung babak kedua, Leicester hampir menggandakan jaringan pada minit ke-52 menerusi situasi kelam kabut di hadapan gawang Liverpool tetapi penjaga gol, Alisson Becker bertindak cemerlang menampan bola di atas garisan gol.

Tiada tambahan jaringan sehingga tamat perlawanan dan Liverpool kini mengumpul 61 mata selepas 24 perlawanan.

Kredit Foto: Premier League