Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M bertemu PM Belanda bincang isu petani pintar

NEW YORK, 25 SEPT: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di luar sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Perbincangan pada Selasa itu, menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, merupakan pertemuan dua hala antara Malaysia dan Belanda.

“Kedua-dua negara berusaha mewujudkan kerjasama yang lebih erat dalam sektor pertanian menggunakan teknologi tinggi untuk membantu pekebun kecil menjadi lebih produktif sebagai petani pintar,” katanya di Twitter.

Mohamed Azmin berkata, Dr Mahathir juga dijemput untuk melawat Belanda.

“Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengundang Dr Mahathir untuk melawat dan meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Menteri itu turut melahirkan keyakinan bahawa terdapat potensi ekonomi yang boleh diusahakan melalui hubungan erat antara kedua-dua negara.

Selain Mohamed Azmin, turut hadir dalam perbincangan itu ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir, yang tiba di New York pada Selasa untuk mengetuai delegasi Malaysia di UNGA, turut mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Kanan Google untuk Hal Ehwal Global Kent Walker.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM sertai perhimpunan PBB, lawat AS

NEW YORK, 25 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di New York untuk menyertai pemimpin-pemimpin dunia lain di Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).

Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Westchester County, yang turut dikenali sebagai Lapangan Terbang White Plains, yang terletak di timur laut bandar raya New York pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari, Selasa (waktu New York 12 jam di belakang Malaysia).

Perdana Menteri berumur 94 tahun itu diiringi oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Antara yang berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan beliau ialah wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan duta besar ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Azmil Mohd Zabidi.

Dr Mahathir dijangka memulakan lawatan kerjanya ke AS untuk UNGA dengan mengambil bahagian dalam majlis peringkat tinggi di luar perhimpunan itu yang bertajuk ‘Rohingya Crisis – A Way Forward’, di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejurus selepas ketibaannya.

Malaysia merupakan hos majlis itu bersama dengan Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.

Perdana Menteri dijangka menyampaikan kenyataan negara Malaysia di perbahasan umum UNGA, Jumaat.

Beliau dijangka mengetengahkan perkembangan semasa dunia dan menekankan kepada kepentingan kerjasama pelbagai hala di samping keperluan negara-negara untuk bekerjasama menangani cabaran yang dihadapi bersama.

Dr Mahathir juga dijadualkan menyampaikan ucapan di program ‘Environmental Stewardship in Addressing Poverty to Achieve Sustainable Development for All’, Khamis.

Malaysia merupakan penganjur utama program itu dengan kerjasama Turki, Pakistan serta Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB (UNDESA).

Satu lagi acara utama dalam jadual Perdana Menteri adalah penyertaan beliau dalam Dialog 6 Pemimpin-pemimpin pada hari Rabu bertajuk ‘The 2020 – 2030 Vision’ sempena dengan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mapan.

Perdana Menteri juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa rakan sejawatnya di luar UNGA, selain menghadiri Forum Pemimpin-pemimpin Dunia di Universiti Columbia dan menemui pelabur-pelabur berpotensi.

Dr Mahathir dalam lawatan kerja ini diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

– BERNAMA