Categories
SELANGOR

Program Khas Mesra Rakyat beri peluang rakyat kemuka masalah

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG 25 APRIL : Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) dilaksanakan sejak 2011 di setiap daerah memberi peluang rakyat meluahkan masalah, kehendak, rungutan atau rasa tidak puas hati mereka secara terus kepada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebarang masalah atau kehendak penduduk yang dapat diatasi segera akan diselesaikan atau dipenuhi dengan cepat.

MB PMKRManakala katanya mana-mana masalah penduduk yang perlu diteliti dengan lanjut terutama melibatkan duit atau peruntukan akan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) untuk dibincangkan dan diputuskan seterusnya dilaksanakan dengan kadar segera.

“Kami akan mencuba sedaya upaya mengurangi hal birokrasi atau soal ‘remeh-temeh’.

“Oleh itu semasa sesi bersama rakyat pada pagi ini hingga ke petang, kerajaan negeri mahu mendengar segala masalah dan kehendak anda semua selain menjelaskan pelbagai program serta skim bantuan kepada rakyat pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena PKMR daerah Klang di Dewan Hamzah, hari ini.

Hadir sama, ahli Exco negeri antaranya Dr Daroyah Alwi, Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Datuk Teng Chang Khim dan Iskandar Abdul Samad, ahli Majlis, Ketua Kampung dan pimpinan masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri amat komited dalam usaha mengatasi permasalahan rakyat yang berlanjutan lama khususnya berkaitan urusan tanah kediaman.

Katanya ia dibuktikan apabila seramai 86 orang penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan 2 diberikan suratan hak milik tanah oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Mereka yang diberi milikan tanah ini adalah mereka yang sudah menetap lebih 30 tahun,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

MB dan Exco turun padang ke Klang esok

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 24 APRIL : Rakyat daerah Klang berpeluang menemui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco sempena Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di Klang esok bermula seawal pagi hingga ke malam.

Program anjuran Pejabat Menteri Besar dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Klang dan Majlis Perbandaran Klang itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat selain meninjau lebih dekat permasalahan di Daerah Klang.

MPK sg Klang 02Oleh itu, rakyat khususnya warga Klang dijemput hadir memeriahkan acara yang diatur sepanjang hari selain berpeluang menemui barisan pimpinan negeri.

Seawal jam 7.30 pagi, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang akan menyertai Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Daerah Klang yang diadakan di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

Sejurus selesai, beliau kemudian memenuhi sesi bersama rakyat bermula jam 8 pagi bertempat di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Beliau juga dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Uda, Pelabuhan Klang dan dijangka hadir sekitar jam 1.30 petang sebelum memulakan program lebih santai bersama rakyat pada sesi petang.

Bermula jam 3 petang, Abdul Khalid akan menyertai acara sukan bersama rakyat bertempat di Kompleks Sukan Pandaraman sehingga jam 5.30 petang.

Pada sebelah malam pula, beliau akan ke Meru bagi menghadiri Malam Kesenian dan Kebudayaan selama dua jam bermula jam 8.30 malam di Dewan MPK.

Abdul Khalid pernah menghadiri program serupa di Klang pada April 2011 dengan aturan acara seperti perjumpaan bersama kakitangan awam dan pemimpin masyarakat Klang, lawatan ke Pusat Pengembangan Hasil Rakyat dan ceramah perdana.

EZY