Categories
SELANGOR

Pameran alat ganti lori perluas maklumat jentera berat

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 11 NOV: Pameran lori dan alat ganti jentera berat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini boleh dicadangkan menyertai ekspo antarabangsa Selangor, pada masa akan datang.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, hal itu kerana industri pengangkutan penting sebagai penyumbang kepada ekonomi negeri.

“Saya berharap perkara ini akan diteruskan dan saya sempat berbincang secara ringkas supaya mereka bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini kita menganjurkan konvensyen antarabangsa berkenaan barangan pengguna, mungkin kita boleh masukkan pameran peralatan pengangkutan dalam ekspo akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Chang Khim hadir memeriahkan sambutan ulang tahun ke-30 Persatuan Pemilik Lori Semenanjung Malaysia 1987 (PMLOA 1987), di sini.

Beliau yang diiringi Presiden PMLOA, Anthony Tan Boon Siong dan Pengerusi Persekutuan Trak ASEAN, Yoo Chien Yuen Yong Pong meluangkan masa kira-kira sejam melawat hampir 30 gerai pameran yang menampilkan pelbagai peralatan lori dan jentera berat.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negeri Sungai Pinang itu berkata, pameran terbabit memberi pelbagai maklumat berkenaan penyelenggaraan lori selain menawarkan harga kompetetif kepada pengguna.

“Ini membuka mata kita berapa banyak jenama lori, tayar dan alat ganti enjin, malah saya juga memperoleh pelbagai maklumat.

“Kebanyakan alat ganti ini dari China dan Thailand yang akan membantu pemilik lori menjaga serta menyelenggara kenderaan mereka dengan tawaran harga kompetetif selain mengurangkan kos operasi,” katanya.

Antara yang mengambil bahagian ialah Petronas Dagangan Berhad, Nippon Paint (M) Sdn Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Puspakom Sdn Bhd, Highclass Technics Sdn Bhd dan Ce Asia Heavy Machinery Sdn Bhd.