Categories
GLOBAL

Gempa 7.5 magnitud, lebih 30 maut gempa di PNG

GLOBAL 27 FEB : Lebih dari 30 orang dipercayai maut dalam gempa bumi yang melanda kawasan pergunungan Papua New Guinea, semalam.Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan gempa bumi berukuran 7.5 magnitud itu berlaku 90 kilometer di selatan Porgera dan diikuti dua gegaran susulan yang kuat.

Pengurus wilayah, William Bando dipetik akhbar PNG Post Courier berkata, sekurang-kurangya 13 orang dilaporkan meninggal dunia di Mendi manakala 18 lagi dipercayai terbunuh di Kutub dan Bosave.

Menurut laporan akhbar berkenaan, kira-kira 300 penduduk lagi mengalami kecederaan manakala beberapa kerosakan termasuk tanah runtuh dan mendapan lubang turut berlaku.

Laman web The Papua New Guinea Today memetik kenyataan Paderi Pius Hal melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang lagi termasuk empat kanak-kanak maut akibat tanah runtuh.

Pasukan penyelamat kerajaan dijangka diterbangkan ke kawasan terjejas hari ini bagi mendapatkan gambaran menyeluruh bencana berkenaan.

Ketua Setiausaha kerajaan, Isaac Lupari berkata, pasukan tentera akan digerakkan untuk membantu memulihkan semua perkhidmatan dan prasarana yang terjejas akibat bencana berkenaan.

SUMBER: AFP