Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat dengan kesan luka di dada ditemui terlentang atas katil

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Mayat seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan dengan kesan luka di bahagian dada di sebuah apartmen di Taman Pandan Indah di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata mayat itu ditemukan dalam keadaan terlentang di atas katil di dalam bilik tidur apartmen berkenaan kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata pada mulanya polis menerima maklumat daripada seseorang yang memaklumkan bahawa seorang ahli keluarganya didapati tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur.

“Pemeriksaan awal terhadap mayat menemukan kesan luka di bahagian dada, dan mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat esok,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Empat penunggang basikal lajak ditahan di Ampang

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Polis menahan empat penunggang basikal lajak yang sedang leka bermain basikal di sekitar kawasan Tasik Tambahan, Ampang dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendant Azman Shari’at berkata, kesemua mereka berusia 11 hingga 15 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula 3 petang.

“Semakan mendapati kesemua basikal telah diubah suai dan tidak mempunyai brek. Polis turut menyita empat basikal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya dan kes disiasat mengikut Peraturan 42(1)(a) Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

Baru-baru ini satu rakaman video menunjukkan sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak di jalan raya tular di laman sosial.

Perbuatan yang dipercayai berlaku di Ampang itu dirakam oleh pemandu teksi yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

-BERNAMA