Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tahan enam lelaki terlibat kes curi motosikal

SHAH ALAM, 11 MEI: Polis Klang Selatan menahan enam lelaki berumur antara 21 hingga 41 tahun kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian lima buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata polis menerima laporan daripada seorang agen penghantaran kenderaan yang menyatakan sebuah motosikal milik pelanggannya telah hilang disyaki dicuri pada 4.15 pagi, Ahad lepas.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, kira-kira dua jam kemudian pihak polis telah menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dengan kes tersebut di Taman Bayu Tinggi, Klang dekat sini.

“Ketika ditahan turut dirampas adalah dua buah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu, sebuah motosikal, satu enjin motosikal dan satu chasis motosikal yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata suspek yang ditahan mengaku terlibat dengan kes tersebut dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 Mei ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

38 pendatang warga Indonesia, ketua sindiket penyeludupan migran ditahan

SHAH ALAM, 18 DIS: Seorang kanak-kanak lelaki berumur setahun 10 bulan antara 38 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang ditahan, dalam satu serbuan di sebuah hotel murah di sekitar Klang pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan hasil maklumat Op Lejang, susulan sekumpulan warga Indonesia yang menginap di hotel berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, antara yang ditahan itu adalah ketua sindiket penyeludupan migran berumur lingkungan 50-an, berperanan sebagai pengutip wang daripada pendatang tanpa izin bagi menguruskan penempatan sementara dan mengaturkan tarikh yang sesuai untuk mereka pulang ke negara asal menaiki bot.

Beliau berkata, turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 40-an bertindak sebagai tekong darat yang menguruskan pendatang tanpa izin berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua warga Indonesia berumur lingkungan setahun hingga 50 tahun itu menginap di tujuh bilik di hotel berkenaan yang telah disewa oleh seorang lelaki tempatan.

“Siasatan lanjut mendapati, bilik-bilik berkenaan disewa sebagai penempatan sementara untuk kesemua pendatang tanpa izin itu sebelum balik ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nurulhuda, siasatan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin itu sedang dalam proses untuk balik ke Indonesia selepas visa mereka sudah tamat tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati sindiket tersebut mula beroperasi sejak enam bulan lepas dan mana-mana pendatang tanpa izin yang ingin pulang menerusi mereka, dikenakan bayaran sebanyak RM1,200 sehingga RM2,500 setiap seorang, mengikut jarak perjalanan.

“Sindiket ini juga memperkenalkan diri sebagai agen yang boleh menguruskan pendatang tanpa izin untuk pulang ke Indonesia, dengan menggunakan hotel sebagai penempatan sementara.

Katanya lagi, kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Senyum, ucap terima kasih tanda sokongan kepada petugas

SHAH ALAM, 29 APRIL: Polis Daerah Klang Selatan menggalakkan orang awam yang melalui sekatan jalan raya memberi senyuman dan berterima kasih kepada petugas Ops Covid-19.

Tindakan itu sebagai tanda sokongan kepada petugas hadapan berkenaan yang berterusan memastikan semua pihak patuh Perintah Kawalan Pergerakan dalam membendung virus itu.

“Ada segelintir pengguna diminta patah balik selepas beri alasan tak munasabah ketika ditahan selain ada yang beremosi.

“Justeru pengguna diminta memberi kerjasama yang baik kepada petugas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Jurucakap Op Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata sebanyak 99 sekatan dilakukan di negeri ini bagi mengawal pergerakan masyarakat.

Categories
SELANGOR

Polis Klang tingkat kawalan, sekat penduduk balik kampung

SHAH ALAM, 24 APRIL: Polis Daerah Klang Selatan akan meningkatkan kawalan sekatan jalan di daerah ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan tidak ada individu pulang ke kampung menyambut Ramadan.

Pihak berkuasa itu berkata hanya mereka yang sudah membuat permohonan rentas sempadan bagi tujuan kebajikan dan kecemasan sahaja yang dibenarkan berbuat demikian.

“Semua sekatan jalan raya semasa PKP fasa ketiga yang masih dikuatkuasa sehingga 28 April ini akan dipertingkatkan di semua laluan keluar Bandar Klang bagi mengehadkan pergerakan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai urusan penting,” katanya di Facebook.

“Setakat ini pihak polis tidak membenarkan sebarang pergerakan dilakukan orang ramai bermula hari ini untuk menyambut Ramadan di kampung masing-masing.”

Dalam perutusan khas malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan PKP kepada dua minggu lagi mulai 29 April hingga 12 Mei.

Namun beliau memaklumkan kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dalam beberapa sektor.