Categories
AGENDA NASIONAL

Baru bebas dua hari, bekas banduan dipenjara semula curi motosikal

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seorang bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dua hari lepas, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana mencuri sebuah motosikal.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap S. Nagendran, 39, selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal milik tukang masak, Soon Tek Chai, 36, di hadapan sebuah kedai kopitiam di Taman Seri Batu Caves, Gombak, di sini antara 7.10 malam dan 8.30 pagi, pada 9 hingga 10 Julai lepas.

Mahkamah memerintahkan Nagendran menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Soon yang juga pengadu dalam kes ini mendapati motosikal miliknya yang diparkir di hadapan kedai tempat dia bekerja sebagai tukang masak telah hilang sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Berdasarkan hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis menahan tertuduh yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau di hadapan sebuah kedai serbaneka dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh ditangkap ketika sedang membawa motosikal yang dicuri dan sebelum ini dia telah dipenjara atas kesalahan sama, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tahan enam lelaki terlibat kes curi motosikal

SHAH ALAM, 11 MEI: Polis Klang Selatan menahan enam lelaki berumur antara 21 hingga 41 tahun kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian lima buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata polis menerima laporan daripada seorang agen penghantaran kenderaan yang menyatakan sebuah motosikal milik pelanggannya telah hilang disyaki dicuri pada 4.15 pagi, Ahad lepas.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, kira-kira dua jam kemudian pihak polis telah menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dengan kes tersebut di Taman Bayu Tinggi, Klang dekat sini.

“Ketika ditahan turut dirampas adalah dua buah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu, sebuah motosikal, satu enjin motosikal dan satu chasis motosikal yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata suspek yang ditahan mengaku terlibat dengan kes tersebut dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 Mei ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tumpaskan sindiket curi motor, pecah rumah aktif di Selangor

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Polis menumpaskan sindiket curi motosikal dan pecah rumah “Geng Wan Poca” yang aktif di Selangor sejak awal tahun ini, dalam beberapa serbuan di bawah Ops Lejang Khas selama dua minggu bermula 26 Februari hingga 3 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata empat lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 16 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan di tujuh lokasi di daerah Sungai Buloh dan Petaling Jaya itu, termasuk ketua mereka, seorang lelaki berumur 24 tahun.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah motosikal, sembilan rangka motosikal dan satu bongkah enjin motosikal serta beberapa komponen motosikal yang lain dalam serbuan itu.

“Kesemua barang rampasan adalah dari motosikal yang pernah dilaporkan hilang di sekitar Sungai Buloh, Kuala Selangor serta Kepong, dan nilai barang rampasan dianggarkan RM20,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya sindiket itu juga dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah, dan polis turut merampas sebentuk cincin emas, seutas rantai tangan emas dua keping resit gadaian, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,000 dalam serbuan berkenaan.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah menyasarkan motosikal jenis Yamaha LC135, RXZ serta Honda EX5, dan biasanya motosikal yang dicuri akan dileraikan bagi kegunaan sendiri atau dijual kepada pendatang asing dengan harga RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis motosikal.

Menurutnya empat suspek lelaki itu direman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 ‘A’ Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun yang sama, manakala isteri kepada ketua sindiket itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya ketua kumpulan itu mempunyai 16 rekod lampau berkaitan jenayah serta tiga rekod lampau membabitkan dadah dan pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak hujung tahun 2019.

Sementara itu dalam kes berasingan, 18 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam serbuan antara 21 Feb dan 7 Mac lepas.

Shafa’aton berkata dalam serbuan itu polis merampas satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 1.7 kilogram, 35 paket plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat 44 gram, serta pil Erimin 5 seberat 70 gram, dan kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM101,215.

Beliau berkata hampir semua individu yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah serta jenayah; dan kesemua yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tumpas geng curi motosikal, 17 individu diberkas

SUNGAI BULOH, 25 FEB: Polis menumpaskan geng “Azahar” yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal sejak akhir tahun lalu, selepas menangkap 14 lelaki yang dipercayai ahli kumpulan itu dalam serbuan berasingan di sini, Hulu Langat dan Rawang bermula 1 hingga 18 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata turut diberkas dalam operasi berkenaan ialah seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai pembeli serta dua wanita berusia 18 dan 20 tahun yang merupakan teman wanita kepada ahli geng tersebut.

“Dalam operasi terbabit, polis turut merampas lima buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC, lima rangka motosikal dan sebuah bongkah enjin dengan nilai rampasan dianggar berjumlah RM30,000.

“Geng ini menyasarkan motosikal jenis Yamaha, Modenas dan Honda yang kemudian dileraikan sebelum dijual kepada warga asing pada harga RM500 hingga RM1,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya semakan mendapati 10 daripada ahli kumpulan itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah selain sembilan daripada mereka turut didapati positif dadah.

Beliau berkata dengan tumpasnya kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 12 kes kenderaan hilang di Sungai Buloh, Shah Alam, Subang Jaya, Dang Wangi dan Cheras, selain mengenal pasti 15 lagi kes kecurian motosikal yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan tersebut.

Kesemua suspek yang berusia 16 hingga 41 tahun terbabit direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya.

Mengulas kes berasingan, Shafa’aton berkata polis memberkas dua beradik lelaki berusia 20 dan 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah premis dobi, taska dan restoran di sekitar Sungai Buloh, Gombak dan Klang sejak akhir tahun lalu.

Shafa’aton berkata kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan Op Pintu Khas di dua buah rumah di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 11 dan 12 Feb lalu serta merampas sebuah motosikal Honda EX5, tukul dan pemutar skru yang dipercayai digunakan mereka bagi melakukan kegiatan tersebut.

Menurutnya siasatan awal mendapati mereka melakukan kegiatan pecah premis pada awal pagi iaitu antara 1 hingga 5 pagi, dan dipercayai terlibat dalam 11 kes pecah premis membabitkan kerugian RM15,000.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, masing-masing 13 dan tiga rekod berkaitan jenayah dan dadah, sementara ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya, menambah dua beradik itu direman hingga esok dan kes disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA