Categories
SELANGOR

Penemuan mayat: Polis Kuala Selangor minta pihak hilang ahli keluarga tampil ke balai

SHAH ALAM, 15 JAN: Polis Kuala Selangor memohon mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara agar segera menghubungi atau tampil ke balai polis di daerah itu atau mana-mana balai berdekatan susulan penemuan satu mayat lelaki, di Jeti Kelip-Kelip Kampung Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata mayat lelaki lengkap berpakaian itu ditemukan setelah dimaklumkan orang ramai pada kira-kira pukul 9 pagi, dalam keadaan tersangkut pada bahagian pokok di dalam sungai, kira-kira 500 meter dari jeti tersebut.

Ramli berkata berdasarkan maklumat terbaharu yang diperoleh pihaknya, mayat tersebut berkemungkinan dihanyutkan dari Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

“Tapi kita belum disahkan sama ada betul atau tidak ia dari sana (Bukit Sentosa). Setakat ini, identiti mayat itu belum dikenal pasti namun, disyaki mayat warga asing berusia sekitar 40-an.

“Tidak dijumpai sebarang pengenalan diri pada tubuh mangsa dan pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemukan sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ramli, pihakya juga tidak menemukan sebarang tanda kecederaan akibat kelakuan jenayah pada tubuh mangsa dan setakat ini hasil bedah siasat, adalah disebabkan lemas.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Kuala Selangor rampas rokok tidak bercukai RM203,700

SHAH ALAM, 25 DIS: Polis Kuala Selangor berjaya merampas 3,395 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai kira-kira RM203,700 dalam dua tangkapan berlainan di sekitar daerah itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sekitar 2 petang semalam, telah menahan dua lelaki tempatan di dalam sebuah van di jalan besar berhadapan Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

“Kedua-dua suspek berusia 30-an dan 40-an itu merupakan pemandu serta penumpang van tersebut dan hasil pemeriksaan polis menemukan 945 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama di dalam kenderaan itu.

“Soal siasat terhadap mereka ketika pemeriksaan van itu telah membawa kepada penemuan 2,450 karton rokok yang disimpan di sebuah rumah milik salah seorang suspek di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, dekat sini pada hari yang sama,” katanya.

Ramli berkata pemeriksaan awal pihaknya mendapati kesemua rokok yang dirampas disyaki tidak bercukai dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Kedua-dua suspek juga telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan mereka direman bermula hari ini sehingga Ahad depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tangkap tujuh individu ingkar arahan perintah kawalan

SHAH ALAM,26 MAC: Polis tahan tujuh lelaki yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKR) sekitar Bestari Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata individu berusia 28 hingga 35 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki sedang menunggang motosikal yang diarah pulang tetapi tidak megendahkan arahan berkenaan.

“Tangkapan kedua melibatkan empat orang yang datang ke kedai serbaneka sudah ditutup dan diarahkan pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, mereka ingar selain seorang daripada kumpulan lelaki terbabit menendang tong sampah sebagai tanda protes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Sekayen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.