Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Kuala Selangor rampas rokok tidak bercukai RM203,700

SHAH ALAM, 25 DIS: Polis Kuala Selangor berjaya merampas 3,395 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai kira-kira RM203,700 dalam dua tangkapan berlainan di sekitar daerah itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sekitar 2 petang semalam, telah menahan dua lelaki tempatan di dalam sebuah van di jalan besar berhadapan Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

“Kedua-dua suspek berusia 30-an dan 40-an itu merupakan pemandu serta penumpang van tersebut dan hasil pemeriksaan polis menemukan 945 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama di dalam kenderaan itu.

“Soal siasat terhadap mereka ketika pemeriksaan van itu telah membawa kepada penemuan 2,450 karton rokok yang disimpan di sebuah rumah milik salah seorang suspek di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, dekat sini pada hari yang sama,” katanya.

Ramli berkata pemeriksaan awal pihaknya mendapati kesemua rokok yang dirampas disyaki tidak bercukai dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Kedua-dua suspek juga telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan mereka direman bermula hari ini sehingga Ahad depan.

-BERNAMA

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Rokok: Antara nikmat dan sengsara, mana pilihan?

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 1 JUN: “Bagi saya rokok ini nikmat. Macam peneman, rakan akrab kita (perokok) ketika susah dan senang. Sesetengah orang apabila ada masalah bercerita dengan rakan, saya pula berkongsi suka duka dengan rokok.

“Nikmat rokok? Tak tahu nak gambarkan. Tapi segala masalah hilang, hati pun tenang bila merokok. Bayangkan, saya boleh menghabiskan tiga batang dalam masa sejam. Sehari saya boleh habiskan dua kotak rokok.

“Satu kotak ada 20 batang rokok, agak-agak dalam 30 batanglah sehari saya merokok. Belanja ratusan ringgit sebulan untuk rokok bukanlah masalah buat saya, asalkan nikmat,” demikian kata perokok tegar Mohd Khairul Nizam Aharudin, 36.

Bernama menghubungi beliau baru-baru ini untuk bekongsi kisah kehidupannya dengan rokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang diraikan pada 31 Mei setiap tahun.

Tema tahun ini ialah belia iaitu memperkasa golongan muda yang menjadi sasaran industri dan memerangi ketagihan tembakau.

Mula merokok kerana ingin cuba

Mohd Khairul Nizam mula merokok ketika berusia 17 tahun kerana terpengaruh dengan bapanya dan rakan sekolah yang merupakan perokok tegar.

Menurut pekerja swasta di Pulau Pinang ini, beliau tidak menyangka, bermula dengan perasaan ingin tahu dan ingin cuba, akhirnya menyebabkan beliau mengalami ketagihan rokok.

Malah, ketagihan rokok yang melampau ini membuatkan anak sulung daripada lima beradik ini sanggup berbelanja besar membeli pelbagai jenis rokok berjenama di samping rokok murah untuk melepaskan giannya.

Perihal bahaya kesihatan, beliau bukannya tidak tahu bahkan sudah berbuih mulut rakan menasihatinya, namun semuanya itu tidak diendahkan.

Bagaimanapun, semuanya berubah pada awal Mac lepas beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Bapa kepada dua orang anak ini mengambil keputusan nekad untuk berhenti merokok secara cold turkey iaitu sejenis kaedah berhenti merokok secara drastik tanpa bantuan ubatan mahupun sokongan profesional.

Norma baharu

“Batuk bagi perokok memang biasalah tetapi kali ini saya mengalami batuk berpanjangan seolah-olah tidak akan berhenti dan sukar bernafas. Ketika itu, saya dah mula risau jika dapat COPD (penyakit sekatan pulmonari kronik) dan risiko dijangkiti Covid-19.

“Lagi pun saya ada darah tinggi. Mereka yang ada NCD (penyakit tidak berjangkit ) sekiranya dijangkiti Covid-19, risiko komplikasi kesihatannya lebih dahsyat.

“Syukur bila dapat keputusan rupanya ia hanya asma. Sejak hari itu, 9 Mac, saya nekad berhenti merokok. Agak sukar tetapi saya kuatkan semangat apabila melihat isteri dan anak-anak kerana saya tidak mahu mereka tanggung derita sekiranya saya berpenyakit,” katanya.

Menurut Mohd Khairul Nizam, perokok lain juga boleh berhenti kerana jika beliau yang perokok tegar boleh melakukannya, sudah tentu perokok biasa mampu melakukannya cuma mereka perlu ada keazaman tinggi.

Beliau tidak menafikan pada peringkat awal, memang sukar menghilangkan ketagihan yang sudah lama berakar umbi itu dan cabaran hebat ialah gejala nicotine withdrawal syndrome setelah berhenti merokok seperti resah, mudah marah, sakit kepala, loya. Namun ia dialami seminggu sahaja.

“Dari suka bau rokok, sekarang tidak boleh bau, busuk sangat. Saya rasa macam mendapat kehidupan baru, paru-paru baru kerana rasa lebih sihat. Untuk pastikan konsisten, saya sentiasa mengemaskini perkembangan di Facebook.

“Ada yang pertikai tetapi akhirnya turut serta ikut saya berhenti merokok. Ketika ini, ramai memperkatakan norma baharu, bagi saya inilah norma baharu kami sekeluarga, kehidupan lebih sihat dan bermakna,” katanya.

Risiko tinggi

Mengulas mengenai pengalaman Mohd Khairul Nizam, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara merupakan masa terbaik golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat ini.

Ketagihan merokok yang menjejaskan fungsi paru-paru meletakkan perokok dalam kategori berisiko tinggi berdepan komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 kerana penyakit maut itu boleh menyerang paru-paru.

Menurut Dr Sharifa Ezat, apabila seseorang itu merokok, paru-paru mudah rosak, menjadi hitam disebabkan bahan kimia rokok itu sudah sebati dalam paru-paru, darah serta dalam badan.

Malah, paru-paru perokok juga kurang kemampuan melawan penyakit dan sekiranya kuman, virus, kulat ada dalam paru-paru ia akan menjadi lebih parah dan sukar dirawati.

Terdapat kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko lebih tinggi dari bukan perokok untuk dijangkiti Covid-19 dengan hasil jangkitan lebih teruk.

Menurut beliau, ini kerana perokok selalunya mempunyai kecederaan atau kerosakan paru-paru akibat merokok, terutama jika perokok tegar (merokok dengan bilangan rokok yang tinggi seperti 1 kotak sehari) dan kronik (merokok bertahun-tahun).

“Jika mereka terjangkit Covid-19, keadaan adalah lebih teruk dan sukar dirawat. Perokok juga selalu ada masalah kesihatan lain iaitu kencing manis, sakit jantung, kanser dan darah tinggi.

“Kaitan penyakit lain ini adalah sangat tinggi dengan peningkatan risiko kematian pesakit Covid-19. Terutama juga jika perokok adalah golongan yang sudah berumur atau warga emas,” katanya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, UKM, menerusi e-mel.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dipetik sebagai berkata, perokok dan mereka yang mempunyai masalah obesiti berdepan risiko komplikasi tinggi sekiranya dijangkiti Covid-19.

Berdasarkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas Audit Kematian Covid-19 yang ditubuhkan sejak akhir Mac lalu, kumpulan ini bukan sahaja akan mendapat radang paru-paru, tetapi kepekatan darah juga akan meningkat.

Rokok elektronik

“Virus itu juga boleh merosakkan dinding saluran darah yang halus. Jadi jika saluran ini rosak dinding akan berlaku thrombosis, iaitu pembekuan darah dalam pembuluh atau jantung. Bagi pesakit obesiti pula, pengaliran darah lebih perlahan,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, sekiranya ketiga-tiga ini berlaku, boleh menyebabkan darah beku dan akan berlaku komplikasi.

“Kalau darah beku berlaku di jantung, pesakit akan mendapat penyakit jantung, kalau di otak akan diserang angin ahmar,” katanya dalam laporan berita berkenaan.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa golongan perokok lebih mudah terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 apabila jari atau rokok yang tercemar dengan virus maut itu menyentuh bibir dan meningkatkan kemungkinan virus pindah dari tangan ke muilut.

Laporan MailOnline pada 31 Mei menyebut risiko tinggi perokok jika dijangkiti Covid-19 menyebabkan 300,000 orang di Britain mengambil keputusan berhenti merokok.

Bagaimana pula dengan rokok elektronik (e-rokok) atau ‘vape’? Apakah pengambilnya terselamat atau turut berhadapan risiko serupa?

Menurut Dr Sharifa Ezat, mereka ini juga tidak terkecuali untuk berhadapan risiko dahsyat sekiranya dijangkiti Covid-19 meskipun belum ada banyak kajian yang mengaitkan Covid-19 dengan perokok jenis e-rokok dan vape (tanpa nikotin).

“Tetapi, menurut kajian dan kenyataan yang sedia ada, sungguhpun perokok e-rokok kurang risiko berbanding rokok tembakau tradisional, perokok e-rokok juga akan mengalami kecederaan paru-paru akibat bahan dalam cecair e-jus iaitu Propylene Glycol, Gliserin, Acetyldehid atau Diacetyl, dan ini meningkatkan juga risiko keparahan penyakit Covid-19.

“Propylene Glycol, Gliserin ini adalah bahan dalam e-jus yang digunakan untuk memberi bau wangi yang enak kepada perisa e-rokok. Bahan ini menerima kebenaran digunakan untuk bahan memasak dan bukannya disedut ke dalam paru-paru.

“Juga selalunya, penghisap e-rokok dan ‘vape’ mempunyai sejarah merokok rokok tembakau dahulu. Maka, mereka mungkin sudah mempunyai kerosakan paru-paru sedia ada,” katanya.

Hari tanpa tembakau

Ketika diminta mengulas Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang diraikan ketika wabak Covid-19 masih melanda negara, beliau berkata keadaan ini sepatutnya menyedarkan perokok bukan sahaja untuk kesihatan diri tetapi juga keluarga.

“Sepanjang PKP Bersyarat (PKPB), pergerakan kita agak terbatas, disarankan duduk di rumah sekiranya tiada keperluan penting keluar. Jadi, bagi perokok lingkungan mereka merokok agak terbatas.

“Apabila mereka tetap ingin merokok di dalam rumah, asap rokok berlegar dan mendedahkan ahli keluarga kepada risiko perokok pasif

“Perokok pasif terutama yang sentiasa dekat dengan perokok juga terdedah kepada risiko yang sama seperti perokok itu sendiri.

“Risiko kanser meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus, penyakit jantung meningkat 25 hingga 40 peratus ke atas perokok pasif yang tinggal bersama, berbanding jika mereka tidak tinggal sebumbung dengan perokok aktif,” katanya.

Sementara itu, Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin menyentuh mengenai bahaya asap rokok ketiga.

Ramai beranggapan jika tidak merokok di dalam rumah, maka seseorang itu bebas daripada asap rokok.

Hakikatnya, asap rokok tidak semestinya boleh dilihat kerana ia sebenarnya wujud dalam bentuk partikel halus atau debu yang melekat di badan, rambut, pakaian, dinding, lantai, langsir dan hampir semua objek di dalam rumah – ini dinamakan asap rokok ketiga.

“Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak merokok berdepan risiko masalah kesihatan berkait dengan tembakau apabila mereka menyedut , menelan atau menyentuh bahan mengandungi asap rokok ketiga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam rampas rokok seludup lebih RM300 juta pada 2019

PETALING JAYA, 23 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 466.16 juta batang rokok dengan nilai cukai RM344.95 juta sepanjang tahun lalu, kata ketua pengarahnya.

Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata jumlah itu lebih kecil berbanding 843.89 juta batang rokok dengan nilai cukai RM624.4 juta yang dirampas pada 2018.

“Bagi tahun 2020 sehingga semalam pula, 23.97 juta batang rokok dengan nilai cukai RM17.37 juta dirampas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-38 di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini.

Beliau berkata lebih banyak operasi akan dilakukan untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok serta komoditi lain.

Bagi kes penguatkuasaan kes berkaitan penyeludupan, beliau berkata 5,633 kes direkodkan sepanjang tahun lalu membabitkan pelbagai komoditi, dengan nilai cukai berjumlah lebih RM1.9 bilion.

Sementara itu, dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini, Paddy berkata 68 kes dicatatkan membabitkan cukai berjumlah lebih RM49.72 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kematian pekerja produktif akibat rokok membimbangkan

PUTRAJAYA, 23 NOV: Jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan individu dari kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja akibat rokok adalah membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Memetik laporan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau berkata rokok direkodkan sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun.

Katanya kajian itu juga menunjukkan 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok, dengan mereka yang berumur 20 hingga 54 tahun adalah perokok tertinggi, majoritinya lelaki.

“Golongan ini merupakan kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sudah tentu kehilangan produktiviti akibat masalah kesihatan termasuk yang diakibatkan penggunaan hasil tembakau, mendatangkan kebimbangan kepada kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Riben Biru 2019 di sini malam tadi.

Dzulkefly berkata tabiat merokok juga merupakan faktor utama kepada risiko berlakunya penyakit-penyakit jantung dan saluran pulmonari yang menyumbang kepada 15.7 peratus daripada 20,000 kematian yang direkodkan.

Katanya lebih membimbangkan apabila satu pertiga atau 2.8 juta penduduk negara ini yang merupakan perokok pasif, juga mengalami kesan kesihatan yang negatif seperti perokok aktif.

Dzulkefly berkata pelaksanaan Kempen Riben Biru menjadi inisiatif terbaik, ke arah mengurangkan amalan merokok sekali gus menjadi pendokong kepada usaha kerajaan, dalam mewartakan tempat-tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.

Katanya, pewartaan larangan merokok di semua premis makanan berkuatkuasa Januari tahun depan juga diasaskan daripada program riben biru, yang dimulakan 117 premis makan awam yang secara sukarela, melarang aktiviti merokok di kedai masing-masing demi menjaga kepentingan pelanggan yang tidak merokok.

“Ini menunjukkan sokongan padu pengusaha kedai makan dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia walaupun pada ketika itu tempat makan terbuka masih belum diwartakan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 181 premis dan komuniti menerima pengiktirafan premis bebas asap rokok dalam tiga kategori iaitu Anugerah Blue Ribbon Beyond melibatkan tujuh premis awam, Anugerah Blue Ribbon (154) dan Anugerah Blue Ribbon Komuniti (20).

Diperkenal sejak 2013, Kempen Riben Biru merupakan satu program advokasi inisiatif Kempen Malaysia Bebas Asap Rokok, bertujuan mengiktiraf individu, organisasi serta komuniti yang telah memberikan sumbangan bermakna untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kajian: Undang-undang larangan merokok selamatkan 15,000 nyawa kanak-kanak

RIO DE JANEIRO, 1 JUN: Satu siri undang-undang mewujudkan ruang khas yang bebas asap rokok, menyumbang kepada pengurangan sebanyak 15,000 dalam jumlah kematian kanak-kanak di Brazil dari 2000 hingga 2016.

Agensi berita Xinhua melaporkan, beberapa negeri di Brazil melaksanakan larangan merokok di kawasan awam yang tertutup mulai 2000 hingga 2012.

Pada 2011, undang-undang persekutuan memperkenalkan peraturan larangan merokok sepenuhnya di kawasan terbabit di seluruh negara dan mula berkuat kuasa 2014.

Menurut kajian diterajui Institut Kanser Kebangsaan Brazil (INCA) yang dikeluarkan pada Jumaat, mendedahkan dari 2000 hingga 2016, undang-undang itu mampu menghalang kematian 15,068 kanak-kanak di bawah umur setahun.

Perokok pasif atau perokok kedua dikenal pasti penyebab utama beberapa penyakit yang dihidapi kanak-kanak, seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, otitis akut dan kronik dan juga sindrom kematian mengejut.

“Sebelum undang-undang itu diperkenalkan, bayi dan kanak-kanak sentiasa terdedah kepada asap rokok: di pusat membeli-belah, pasar raya, pengangkutan awam dan restoran,” kata epidemiologi INCA, Liz Almeida.

Katanya, peningkatan kesedaran turut menyumbang kepada pengurangan penggunaan tembakau, termasuk di kalangan wanita hamil.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPM rampas 2,636 karton rokok seludup bernilai RM388,986

 

KLANG, 20 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 2,636 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM388,986.33 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Batu Belah dan Batu Nilam, Klang dekat sini petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata dalam operasi pada kira-kira pukul 3 petang itu, anggota dari Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang telah mengekori sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek lelaki berusia 46 tahun yang disyaki membawa rokok seludup di sekitar pekan Kapar.

“Pasukan ini telah mengekori kenderaan itu sehingga ia berhenti di hadapan sebuah rumah di Batu Belah dan kemudian bertindak menahan suspek semasa hendak memasuki rumah itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, pihak kami telah menjumpai sebanyak 486 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan bagaimanapun tidak menjumpai sebarang rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihaknya kemudian bertindak menyoal siasat suspek dan hasilnya telah membawa kepada serbuan kedua pada kira-kira pukul 4 petang di hari yang sama di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang dan menemui sebanyak 2,150 karton rokok seludup pelbagai jenama.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM413,986.33 termasuk cukai serta kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, kenderaan dan rokok yang dirampas kemudian telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PPM berkas dua beradik cuba seludup masuk rokok

LAHAD DATU, 17 Mei: Dua beradik warga asing ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup masuk 14,800 bungkus rokok seludup dalam serbuan di Simpang Tabin, Tungku dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berusia 26 tahun bersama adiknya, 10 tahun itu ditahan pada pukul 7.18 pagi selepas diekori anggota PPM yang mengesan kedua-duanya dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah van, disyaki membawa rokok seludup.

Susulan penahanan itu, katanya kedua-dua suspek diperiksa dan didapati gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas van turut menemukan pelbagai jenama rokok seludup yang disimpan di dalam plastik hitam.

“Antaranya ialah 7,800 bungkus rokok Absolute, 5,500 bungkus rokok Astro Hitam dan 1,500 bungkus Astro Merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamad Pajeri, turut dirampas dalam kejadian itu termasuk sebuah van Toyota Hiace, dua telefon bimbit, beg duit jenama Georgio Armani, wang tunai RM6 selain mata wang asing iaitu 1,000 rupiah dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM97,420.

Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PPM Pelabuhan Klang rampas rokok seludup lebih RM300,000

SHAH ALAM, 14 MEI: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 1,251 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM307,382.82 dalam satu operasi di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang dekat sini petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang DSP Mohd Khairuddin Jamal berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang digunakan untuk membawa rokok terbabit.

“Operasi yang dijalankan pada kira-kira pukul 5 petang itu merupakan hasil daripada risikan yang mana kami telah berjaya mengesan sebuah MPV berkenaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang.

“Menyedari diekori, pemandu MPV berkenaan telah memecut laju ke arah Klang untuk melarikan diri, selepas dikejar selama 10 minit pemandu MPV bertindak memandu ke sebuah jalan tidak berturap di Taman Bandar Bestari, pemandu itu kemudian keluar dari keretanya selepas menyedari beliau telah memasuki jalan mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu MPV berkenaan berjaya melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan ke atas MPV yang ditinggalkan itu mendapati sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenis disimpan di bahagian tempat duduk penumpang.

“Kenderaan dan rokok berkenaan telah dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut, nilai keseluruhan rokok dan MPV yang dirampas dianggarkan RM372,382.82 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, PPM Pelabuhan Klang akan terus menggandakan operasi mencegah penyeludupan sempena musim perayaan ini dan masyarakat diseru tampil memberikan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dilakukan di perairan negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sindiket seludup rokok bernilai RM1.6 juta tumpas

JOHOR BAHRU, 9 APR: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok tidak sah membabitkan rampasan bernilai RM1.6 juta dalam satu serbuan di sebuah kawasan perindustrian Taman Johor, di sini, awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata dalam serbuan pada 2 pagi itu, pasukannya yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota melakukan risikan dan serbuan, setelah mendapati dua orang lelaki sedang memunggah sejumlah kotak dibungkus plastik hitam daripada sebuah van ke dalam lori.

Katanya, sindiket penyeludupan dari negara jiran yang dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun itu, menggunakan jalan darat sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menyedari kehadiran polis, dua lelaki itu cuba melarikan diri, tetapi pihaknya berjaya menahan seorang dengan seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut di van dan lori berkenaan menjumpai sebanyak 205 kotak rokok putih jenama Concept pelbagai perisa yang mengandungi 102,500 paket rokok dengan anggaran nilai RM1.6 juta,” kata beliau dalam sidang media di Markas PPM Wilayah 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Mohd Taib Ahmad.

Khiu berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan bagaimana sindiket penyeludupan bagi pasaran tempatan itu menggunakan jalan darat dan berjaya melepasi pemeriksaan yang ketat oleh agensi penguatkuasaan.

“Biasanya (sindiket penyeludupan) ikut laut (seludup), (tetapi) sekarang ikut darat. Kita percaya ini bukan kali pertama (mereka seludup guna jalan darat).

“Mungkin mereka ada helah, kalau kita lihat pemeriksaan secara visual dari luar, kita akan nampak van ini kosong dengan kerusi yang kosong tetapi sebenarnya ia (rokok) disembunyikan di bawah kerusi,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah lori Mitsubishi Fuso, sebuah van Nissan Urvan dan sebuah Proton Wira yang dipercayai milik seorang suspek lelaki yang terlepas dalam serbuan tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan kenderaan bernilai RM145,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 30 tahun warga tempatan yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine dan direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 15 April.

“Kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tiada kuasa larang merokok dalam kenderaan persendirian

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan merokok di dalam kenderaan persendirian, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kenderaan persendirian adalah ruang peribadi seseorang dan ia tidak boleh diganggu.

“Merokok dalam kereta itu kawasan persendirian, kita tidak boleh ganggulah melainkan kalau perokok (merokok) dalam kenderaan awam kerana ia berada di bawah peraturan sedia ada dan ia memang kawasan larangan merokok.

“Kalau ibu bapa yang memandu dan dalam kereta ada kanak-kanak sepatutnya (mereka) tidak merokok. Mereka (ibu bapa) patut jaga anak supaya tidak merokok. Kalau dia pandu seorang, itu hak dia untuk dia merokok atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menanam Pokok ‘Let’s Go Green’ anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Pengerusi LFM Datuk Dr Zainudin Md Zain.

Dr Lee mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Mohamed Namazie Ibrahim semalam berhubung cadangannya agar kerajaan mempertimbangkan kempen kesedaran bagi menghalang perbuatan merokok di dalam kenderaan kerana mereka yang melakukan perjalanan dalam satu kumpulan terdedah secara langsung kepada asap rokok basi jika seorang daripada mereka merokok di dalam kenderaan itu.

Katanya, beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis telah menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian, dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

Sementara itu, Dr Lee berkata sebanyak 22,767 notis amaran telah dikeluarkan kepada premis makanan dan restoran yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dari 1 Jan hingga 24 Feb di seluruh negara.

Katanya, setakat ini belum ada saman dikeluarkan namun Julai ini kementeriannya akan mula mengeluarkan saman ke atas premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Hawaii mungkin laksana had usia merokok kepada 100 tahun

LOS ANGELES, 5 FEB: Seorang penggubal undang-undang memperkenalkan rang yang mengharamkan penjualan rokok kepada pembeli berusia di bawah 100 tahun.

Memetik laporan BH Online, usul diperkenalkan seorang calon Demokrat tempatan, Richard Creagan itu dijangka berkuatkuasa menjelang 2024.

Ia sekali gus bakal menyaksikan bakal perokok di Hawaii mungkin harus menunggu lebih lama lagi untuk mencuba tabiat buruk itu.

“Walaupun Hawaii dikenali sebagai antara negeri dengan undang-undang penjualan rokok paling tegas di Amerika Syarikat (AS), Creagan, yang juga seorang doktor perubatan percaya lebih banyak perlu dilakukan untuk melarang terus ‘artifak paling berbahaya dalam sejarah manusia’ itu,” demikian menurut usul beliau.

Di bawah undang-undang semasa, anda perlu berusia 21 tahun untuk membeli rokok di Hawaii manakala had usia minimum di seluruh negara adalah 18 atau 19 tahun.

Usul Creagan antara lain menaikkan had usia membeli rokok kepada 30 pada tahun depan, 40 pada 2021, 50 pada 2022 dan 60 pada 2023. Menjelang 2024, usia minimum adalah 100 tahun.

Katanya, rang itu distruktur sedemikian rupa untuk menahan sebarang bentuk cabaran dan masalah undang-undang berbangkit.

“Negeri ini wajib melindungi kesihatan orang ramai,” kata Creagan yang mengakui pernah merokok ketika melakukan kajian perubatannya, kepada Hawaii Tribune-Herald.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, merokok adalah penyebab utama kepada penyakit yang boleh dicegah dan kematian di AS, yang menyumbang hampir setengah juta kematian setiap tahun.

– AFP

Categories
NASIONAL

KKM terjah 5,746 premis makanan, laksana operasi larangan merokok

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 3 JAN: Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap 5,746 premis makanan sejak larangan merokok di tempat makan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,500 amaran dikeluarkan, sehingga semalam.

“Sebanyak 1,559 anggota terbabit dalam operasi penguatkuasaan, pada 1 dan 2 Januari lalu.

“Daripada jumlah itu, kita sudah mengedarkan 14,237 risalah manakala 10,934 orang terbabit dalam pendidikan kesihatan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Restoran Tanpa Asap Rokok (RESTART) bagi mempromosikan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di Medan Selera Presint 9, di sini.

Beliau berkata, orang awam boleh membuat aduan jika terdapat pihak yang melanggar peraturan larangan merokok kepada Sektor Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC, di talian 03-8892 4530.