Categories
SELANGOR

Polis tahan 17 ahli sindiket tawar pinjaman tidak wujud

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Polis menahan 17 individu yang disyaki bekerja di pusat panggilan untuk skim pinjaman yang tidak wujud dan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Pusat Perdagangan Puchong Prima, Taman Puchong Prima pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata polis menyerbu sebuah kedai kira-kira 3 petang dan menahan lapan lelaki serta sembilan wanita termasuk pemilik premis, yang dipercayai pekerja pusat panggilan tersebut.

“Setelah memeriksa premis itu, polis merampas beberapa barang yang digunakan untuk menawarkan dan mempromosikan pinjaman palsu kepada orang ramai.

“Barang yang dirampas itu termasuk 35 telefon bimbit, lapan komputer desktop dan sebuah komputer riba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Abd Khalid berkata mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 37 tahun, dibawa ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mempromosikan skim pinjaman mereka di platform media sosial termasuk melalui pesanan di aplikasi WhatsApp, dengan menyasarkan pemilik perniagaan kecil dengan tawaran pinjaman sehingga RM1,000.

“Kebanyakan laporan polis yang diterima menyatakan bahawa sindiket gagal memindahkan jumlah yang dipersetujui kepada pelanggan, tetapi masih menuntut pembayaran dengan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pembuat kuih warga Indonesia ditahan bunuh rakan senegara

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Gara-gara mahu mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang, seorang pembuat kuih sanggup membunuh rakan senegaranya di tingkat dua sebuah pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, di sini, pada Isnin lepas.

Kejadian itu berlaku apabila suspek wanita warga Indonesia berumur 39 tahun telah menelefon mangsa bagi mendapatkan bantuan untuk mengangkat anaknya kerana tangan suspek kononnya mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata mangsa yang percaya terus ke rumah suspek untuk membantunya namun setibanya mangsa ke rumah, suspek telah menolak mangsa dan menghentak kepala mangsa ke lantai sehingga mati.

Berikutan itu, suspek dipercayai mengambil barang kemas milik mangsa dan telah menggadaikannya bagi melangsaikan hutang berjumlah RM5,000 pada semalam.

Menurutnya, suami mangsa warga tempatan berusia 47 tahun, hanya menyedari kehilangan isterinya selepas pulang bekerja dan mendapati pintu rumahnya tidak berkunci pada kira-kira 7 malam pada Isnin.

“Suami mangsa masuk ke rumah mendapati telefon bimbit dan barangan peribadi milik mangsa masih ada tetapi mangsa tiada di rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Abd Khalid berkata kali terakhir suaminya berjumpa dengan mangsa adalah pada 1.20 tengah hari dan berhubung dengan mangsa pada 3.46 petang hari yang sama.

Sehubungan itu, suami mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya di Balai Polis USJ 8 pada 12 tengah malam Selasa (9 Mac) .

“Berikutan itu, polis telah menahan suspek semalam (Selasa) dan hasil soal siasat suspek mengaku telah membunuh mangsa yang merupakan seorang penjual kuih berusia 54 tahun serta membawa pihak polis ke tempat suspek menyembunyikan mayat mangsa.

“Polis menemukan mayat mangsa diselubungi kain dan selimut di bawah katil suspek pada semalam dengan terdapat kesan pendarahan pada bahagian kepala,” katanya sambil menambah rumah mangsa dan suspek hanya 10 meter sahaja.

Beliau berkata mangsa dan suspek saling mengenali dan sentiasa berurusan perniagaan kuih-muih di gerai berhampiran dengan rumah mangsa.

Mengulas lanjut, Abd Khalid berkata semasa kejadian itu berlaku di dalam rumah suspek, hanya terdapat dua anak suspek yang berusia setahun dan tiga bulan manakala suami suspek tiada di rumah.

“Selain suspek, polis turut menahan suami suspek warga tempatan berusia 48 tahun bekerja sebagai kru produksi bagi membantu siasatan.

“Motif pembunuhan ini adalah suspek mempunyai masalah kewangan dan mangsa memakai barangan kemas yang banyak, dipercayai suspek terdesak sehingga melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.

Abd Khalid berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala reman suspek akan dimohon pada pagi ini.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis bongkar aktiviti loteri haram berselindung sebalik kedai telefon

SUBANG JAYA, 14 DIS: Polis membongkar kegiatan loteri haram yang berselindung di tapak sewa dalam kedai telefon bimbit dan elektronik selepas menahan sembilan individu termasuk tujuh warga asing dalam operasi di empat premis di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata daripada tujuh warga asing itu, tiga adalah wanita warga Indonesia pekerja pusat loteri haram berkenaan, manakala tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar yang ditahan merupakan pelanggan.

Beliau berkata kesemua enam lelaki dan tiga wanita berumur antara 20 dan 47 tahun itu direman selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau lima tahun penjara jika disabit kesalahan.

“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka menggunakan taktik berpindah dari satu kedai ke kedai lain yang disewa dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Kedai yang selalu digunakan adalah kedai telefon bimbit dan elektronik.

“Serbuan dilakukan kira-kira 4.30 petang hari ini (semalam) ke atas tiga premis di dalam kedai telefon bimbit di Subang Perdana Court 10, USJ 3 serta sebuah kedai komputer riba di Pangsapuri Angsana Taman Subang Mewah,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi tersebut di Subang Perdana Court 10 di sini.

“Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,759, masing-masing empat unit mesin pencetak dan telefon bimbit serta 41 kertas nombor loteri awam haram,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Lepas satu das tembakan, lelaki larikan RM20,000

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Seorang lelaki melepaskan satu das tembakan sebelum melarikan wang tunai RM20,000 dari sebuah bank di Jalan SS 15/4G, Subang Jaya, di sini, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Risikin Satiman.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian kira-kira 4.30 petang semalam.

“Suspek lelaki bersenjatakan sepucuk pistol telah masuk ke dalam bank dan menolak pengawal keselamatan sebelum melepaskan satu das tembakan ke siling bank itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suspek kemudian meluru ke kaunter dan mengarahkan pekerja bank menyerahkan wang sebelum meloloskan diri, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat, katanya.

Rasikin berkata pihak forensik menemukan kelongsong peluru di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu melepaskan tembakan ketika rompakan dan Seksyen 392 serta 397 Kanun Keseksaan (rompak dengan senjata).

“Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat DSP Yeoh Chun Shyan di talian 03-78627222,” katanya.

-BERNAMA