Categories
AGENDA JENAYAH

Pengawal keselamatan maut insiden rompakan di Puchong Prima

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak manakala seorang lagi cedera dalam satu rompakan nekad berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kejadian berkenaan berlaku pada 5.50 petang.

Menurutnya, semasa kejadian terdapat empat pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengambil wang tunai daripada sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan dengan seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.

Katanya ketika mereka mengambil wang di bank berkenaan, dua pengawal keselamatan berada di dalam bank manakala seorang pengawal keselamatan berada di antara bank dan van itu dan seorang lagi pengawal keselamatan bersama pemandu berada dalam kenderaan.

Menurutnya ketika kejadian, pengawal keselamatan yang berada di antara bank dan van sedang menyerahkan karung berisi wang kepada rakannya yang menunggu di van dan pada masa itu seorang suspek lelaki meluru ke arah mereka untuk merampas karung wang itu lalu berlaku pergelutan antara mereka bertiga.

Kemudian kata Abd Khalid suspek berusia 38 tahun disyaki memukul salah seorang daripada pengawal keselamatan sehingga cedera dan menembak seorang lagi pengawal keselamatan sebelum melarikan karung berisi wang itu.

Katanya pemandu van keselamatan yang panik segera membawa pengawal keselamatan yang cedera di bahagian tulang belakang masuk ke dalam van dan memandu van itu sehingga ke Puchong Perdana, tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa yang cedera itu disahkan meninggal dunia di dalam van.

Sementara itu, Abd Khalid berkata suspek yang dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian berjaya ditahan di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada 7 malam hari sama bersama karung berisi wang tunai namun jumlah wang yang dibawa lari suspek masih dalam siasatan.

Menurutnya pistol yang disyaki digunakan suspek menembak pengawal keselamatan berkenaan ditemukan di lokasi lain dan polis masih menyiasat kenderaan yang digunakan suspek semasa melarikan diri.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira 5 lebih petang.

“Saya melihat ada sebuah van keselamatan berhenti di hadapan bank…datang seorang lelaki menghampiri pengawal keselamatan berkenaan lalu saya terdengar bunyi das tembakan dilepaskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Lepas satu das tembakan, lelaki larikan RM20,000

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Seorang lelaki melepaskan satu das tembakan sebelum melarikan wang tunai RM20,000 dari sebuah bank di Jalan SS 15/4G, Subang Jaya, di sini, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Risikin Satiman.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian kira-kira 4.30 petang semalam.

“Suspek lelaki bersenjatakan sepucuk pistol telah masuk ke dalam bank dan menolak pengawal keselamatan sebelum melepaskan satu das tembakan ke siling bank itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suspek kemudian meluru ke kaunter dan mengarahkan pekerja bank menyerahkan wang sebelum meloloskan diri, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat, katanya.

Rasikin berkata pihak forensik menemukan kelongsong peluru di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu melepaskan tembakan ketika rompakan dan Seksyen 392 serta 397 Kanun Keseksaan (rompak dengan senjata).

“Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat DSP Yeoh Chun Shyan di talian 03-78627222,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Kedai emas dirompak di Rawang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebuah kedai emas disamun enam lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan dua tukul besi dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Country Homes, Rawang semalam.

Video yang tular laman sosial itu menunjukkan suspek yang memakai topeng dan topi keledar itu menyerbu masuk ke dalam kedai emas kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Suspek dipercayai memecah empat buah meja pameran dan berjaya melarikan sejumlah barang kemas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata ketika kejadian ada empat pekerja dan dua pelanggan dalam kedai berkenaan.

“Suspek dipercayai enam orang lelaki, datang menaiki tiga buah motosikal jenis Yamaha 125.

“Tiga daripada mereka masuk ke kedai dengan bersenjatakan tukul besi dan sepucuk pistol warna hitam sementara yang lain menunggu di motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian tersebut seorang saksi yang kebetulan berada di berdekatan tempat kejadian berjaya merakam.

Video tersebut menunjukkan suspek melepaskan tembakan ke atas sebagai tanda amaran sebelum meluru masuk ke kedai emas berkenaan.

Ali berkata, Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah terbabit dan kerugian yang dihadapi pemilik kedai emas.

=EZY=