Categories
NASIONAL

Pemimpin politik perlu amal sikap ‘gentleman’

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 SEPT: Semua pemimpin politik baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) perlu bersikap lebih terbuka dan beradab, atau ‘gentleman’ bagi memastikan politik matang dapat dicapai kedua belah pihak.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik, berkata jika sesuatu pujian atau kritikan boleh diterima secara terbuka, maka ia menunjukkan satu bentuk kematangan dalam berpolitik.

Namun, katanya budaya menerima pujian pihak lawan masih dianggap janggal di negara ini, bahkan seseorang itu akan dituduh ‘kawan’ kepada seteru politik.

“Isunya bukan siapa puji siapa tetapi menunjukkan tahap berpolitik di Malaysia yang masih belum mencapai kematangan.

“Kita belum capai politik idea yang mana, asasnya, politik secara gentleman belum ada di Malaysia,” katanya kepada Selangor Kini, merujuk kepada sikap segelintir pihak yang mencemuh pihak lain sekiranya dipuji pihak lawan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata senario itu berpunca daripada sikap BN sendiri kerana gagasan berkenaan sering menggambarkan PR sebagai ‘tidak elok’.

Katanya BN memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Datuk Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin atau Datuk Nur Jazlan Mohamed yang bersikap terbuka dengan memberi kredit kepada orang tanpa melihat parti dan sebagainya.

“Apabila ada pihak yang muncul dari BN untuk memuji pemimpin pihak lawan, maka mereka akan dikatakan mempunyai niat lain atau udang di sebalik batu.

“Parti politik BN khususnya kena berubah kepada politik idea supaya kita mencapai politik matang,” katanya lagi.

HM