Categories
NASIONAL

Kementerian Pendidikan mahu tambah kelas PPKI

JOHOR BAHRU, 16 JUN: Kementerian Pendidikan bercadang menambah bilangan kelas bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, usaha itu dilihat dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang berkeperluan khas mendapatkan pendidikan PPKI.

Katanya setakat ini terdapat 1,545 sekolah kebangsaan (SK) dan 830 sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang mempunyai kelas PPKI di negara ini.

“Memang hasrat kita untuk tambah, ia dapat menampung lebih banyak murid berkeperluan khas dan ibu bapa juga senang untuk cari kelas berdekatan rumah mereka.

“Sasaran kita setiap daerah sekurang kurangnya ada (PPKI) kerana kita mahu lihat lebih banyak program itu ditawarkan,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan SMK Pulai Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Zainal Buang.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata usaha menambah kelas PPKI juga bagi memastikan pelajar berkeperluan khas berpeluang menimba ilmu di sekolah biasa.

“Kita percaya dan kajian menunjukkan kalau kita biarkan mereka dengan pelajar biasa dan bercampur akan lebih baik untuk kedua-dua kumpulan dan menepis segala stigma mengenai mereka,” katanya.

Mengenai pembinaan SK Pulai Emas dan SMK Pulai Jaya, beliau berkata kedua-dua sekolah berkenaan dijangka dapat beroperasi pada 1 Julai 2020.

Katanya setakat ini proses pembinaan SK Pulai Emas yang berkeluasan 2.2 hektar sudah siap sebanyak 52 peratus manakala SMK Pulai Jaya yang berkeluasan 3.7 hektar pula siap 43 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pengilang Malaysia yakin prospek pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pengilang Malaysia terus menyatakan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan, pada akhir 2018.

Penyedia perkhidmatan maklumat kewangan IHS Markit dalam kenyataan hari ini berkata, kira-kira 17 peratus firma menjangkakan pengeluaran akan lebih tinggi daripada tahap semasa, berbanding hanya empat peratus yang mengunjurkan jumlah lebih rendah.

“Pemacu keyakinan adalah berasaskan unjuran permintaan positif, pelancaran produk baharu dan projek terancang.

“Keyakinan secara menyeluruhnya meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan,” katanya.

Sementara itu, Indeks inflasi utama Pengurus Pembelian (PMI) Pengilang Nikkei Malaysia merosot kepada 46.8, pada Disember daripada 48.2 dalam bulan sebelumnya, konsisten dengan kemerosotan ketara dalam kedudukan ekonomi pembuatan.

“Kemerosotan jualan mencerminkan penurunan secara umum merentas pasaran. Pengilang Malaysia juga kurang menerima projek baharu dari pasaran luar pada Disember,” kata IHS Markit.

Ia berkata, tempahan dari pelanggan di Eropah dan Asia-Pasifik dilaporkan turun pada bulan ini walaupun penurunan permintaan asing hanya sedikit.

*Sumber: BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Ragam pelajar istimewa warnai hari pertama persekolahan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 2 JAN: Hari pertama sesi persekolahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaaan Sultan Alam Shah 1 diwarnai dengan pelbagai ragam pelajar dan ibu bapa yang buat pertama kali menghantar anak ke sekolah.

Deraian air mata, jeritan penuh hiruk-pikuk antara yang menghiasi hari pertama persekolahan hingga memaksa ibu bapa serta guru menenangkan keadaan dengan cara paling berhemah.

Sekolah yang mula dibuka sejak 1996 itu menempatkan 62 pelajar terdiri daripada darjah 1 hingga 6 bagi sesi 2019 dengan enam buah kelas, 10 orang guru serta dibantu tiga pembantu pengurusan murid.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Abd Rahman Ramly berkata, antara kategori pelajar di situ adalah autisme, disleksia, down syndrome, cerebral palsy, terencat akal dan ‘slow learner’.

“Hari ini juga kita turut mengadakan jualan seperti makanan sejuk beku (forzen food) di kedai pendidikan khas bagi melatih murid.

“Ibu bapa juga turut berpeluang melihat lebih dekat sesi pembelajaran, di sini termasuk cara guru mengendalikan pelajar,” katanya.

Walaupun terdiri daripada pelajar istimewa, sekolah itu pernah melakar kejayaan cemerlang antaranya johan pertandingan Tilawah al-Quran, menyertai beberapa pertandingan sukan seperti berenang dan boling serta mengadakan lawatan sambil belajar di Sabah, Langkawi, Pahang juga Ipoh.