Categories
NASIONAL

35 bot penambang lakukan pelbagai kesalahan dikompaun

 

KOTA KINABALU, 29 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) telah mengenakan kompaun terhadap 35 buah bot penambang yang melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya telah menjalankan Op Gelora Khas bagi memeriksa kesemua bot penambang di perairan Kota Kinabalu, berikutan beberapa kejadian kemalangan di perairan tersebut, baru-baru ini.

“Keseluruhan sebanyak 78 buah bot penambang telah ditahan dan diperiksa. Hasil pemeriksaan yang dijalankan didapati 35 buah bot penambang melakukan kesalahan antaranya antaranya membawa penumpang melebihi had, alat-alat keselamatan tidak lengkap termasuklah tiada jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tujuan operasi berkenaan dijalankan untuk meningkatkan kesedaran penduduk-penduduk, komuniti nelayan dan juragan bot penambang, serta komuniti yang tinggal di pulau berdekatan, supaya lebih peka dan berhati-hati apabila menggunakan bot-bot ini.

“Juragan bot penambang juga diingatkan supaya mengendalikan bot dengan lebih cermat dan peka, supaya penumpang boleh sampai ke destinasi dengan selamat, terutamanya menjelang musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Categories
NASIONAL

PPM rampas 2,636 karton rokok seludup bernilai RM388,986

 

KLANG, 20 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 2,636 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM388,986.33 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Batu Belah dan Batu Nilam, Klang dekat sini petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata dalam operasi pada kira-kira pukul 3 petang itu, anggota dari Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang telah mengekori sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek lelaki berusia 46 tahun yang disyaki membawa rokok seludup di sekitar pekan Kapar.

“Pasukan ini telah mengekori kenderaan itu sehingga ia berhenti di hadapan sebuah rumah di Batu Belah dan kemudian bertindak menahan suspek semasa hendak memasuki rumah itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, pihak kami telah menjumpai sebanyak 486 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan bagaimanapun tidak menjumpai sebarang rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihaknya kemudian bertindak menyoal siasat suspek dan hasilnya telah membawa kepada serbuan kedua pada kira-kira pukul 4 petang di hari yang sama di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang dan menemui sebanyak 2,150 karton rokok seludup pelbagai jenama.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM413,986.33 termasuk cukai serta kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, kenderaan dan rokok yang dirampas kemudian telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PPM berkas dua beradik cuba seludup masuk rokok

LAHAD DATU, 17 Mei: Dua beradik warga asing ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup masuk 14,800 bungkus rokok seludup dalam serbuan di Simpang Tabin, Tungku dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berusia 26 tahun bersama adiknya, 10 tahun itu ditahan pada pukul 7.18 pagi selepas diekori anggota PPM yang mengesan kedua-duanya dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah van, disyaki membawa rokok seludup.

Susulan penahanan itu, katanya kedua-dua suspek diperiksa dan didapati gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas van turut menemukan pelbagai jenama rokok seludup yang disimpan di dalam plastik hitam.

“Antaranya ialah 7,800 bungkus rokok Absolute, 5,500 bungkus rokok Astro Hitam dan 1,500 bungkus Astro Merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamad Pajeri, turut dirampas dalam kejadian itu termasuk sebuah van Toyota Hiace, dua telefon bimbit, beg duit jenama Georgio Armani, wang tunai RM6 selain mata wang asing iaitu 1,000 rupiah dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM97,420.

Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PPM Pelabuhan Klang rampas rokok seludup lebih RM300,000

SHAH ALAM, 14 MEI: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 1,251 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM307,382.82 dalam satu operasi di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang dekat sini petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang DSP Mohd Khairuddin Jamal berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang digunakan untuk membawa rokok terbabit.

“Operasi yang dijalankan pada kira-kira pukul 5 petang itu merupakan hasil daripada risikan yang mana kami telah berjaya mengesan sebuah MPV berkenaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang.

“Menyedari diekori, pemandu MPV berkenaan telah memecut laju ke arah Klang untuk melarikan diri, selepas dikejar selama 10 minit pemandu MPV bertindak memandu ke sebuah jalan tidak berturap di Taman Bandar Bestari, pemandu itu kemudian keluar dari keretanya selepas menyedari beliau telah memasuki jalan mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu MPV berkenaan berjaya melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan ke atas MPV yang ditinggalkan itu mendapati sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenis disimpan di bahagian tempat duduk penumpang.

“Kenderaan dan rokok berkenaan telah dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut, nilai keseluruhan rokok dan MPV yang dirampas dianggarkan RM372,382.82 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, PPM Pelabuhan Klang akan terus menggandakan operasi mencegah penyeludupan sempena musim perayaan ini dan masyarakat diseru tampil memberikan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dilakukan di perairan negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPM tahan lelaki seludup keluar tong gas

TAWAU, 16 APRIL: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki warga Indonesia di laut Sungai Haji Kuning selepas cuba menyeludup keluar tong gas memasak ke negara asalnya, semalam.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab terserempak dengan sebuah bot mencurigakan dan pemeriksaan mendapati juragan berusia 30 tahun itu membawa lima tong gas memasak disembunyikan di ruangan belakang bot.

“Juragan memiliki pasport itu bagaimanapun gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan tong gas yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri dalam pada itu berkata juragan serta barang rampasan bernilai RM14,000 ditunda ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPM rampas 20kg ikan ditangkap guna bahan letupan

SEMPORNA, 27 MAC: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 20 kilogram pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan Lumanggas, dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah bot di perairan berkenaan kira-kira 4 petang, atas maklumat risikan peronda,

“Bagaimanapun tiga lelaki yang berada di atas bot berkenaan sudah terjun ke laut dan berenang ke arah daratan serta berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan turut mendapati beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti mengebom ikan.

“Kesemua barang berkenaan kemudiannya dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya. -BERNAMA