Categories
AGENDA NASIONAL

Beberapa petugas PPZ-MAIWP positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Beberapa petugas Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff, yang berkata semua petugas PPZ-MAIWP diarahkan menjalani ujian saringan dan diletakkan di bawah pengawasan kuarantin sebagai tindakan pencegahan dan kawalan.

“PPZ-MAIWP juga sedang bekerjasama dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan) dalam usaha untuk mengawal penularan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan PPZ-MAIWP dan orang awam terjamin.

“Pelaksanaan kerja-kerja sanitasi bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di semua premis PPZ-MAIWP juga telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Ahmad Shukri berkata PPZ-MAIWP dijangka beroperasi semula pada 28 Okt ini.

Sebarang pembayaran zakat boleh dibuat melalui saluran portal rasmi www.zakat.com.my dan juga perbankan internet.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

60 asnaf terima sumbangan sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Seramai 60 golongan asnaf hari ini diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Jakel Trading Sdn Bhd.

Pada majlis itu, mereka yang terdiri daripada 20 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), 20 anak-anak OKU dan 20 keluarga asnaf turut menerima sumbangan baju raya dan bantuan wang tunai sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata golongan kurang berkemampuan yang menerima sumbangan itu adalah daripada senarai asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan MAIWP.

“Ia merupakan sebahagian daripada hasil wang pengembalian semula wang zakat (skim wakalah) bagi bayaran zakat perniagaan yang telah di bayar di MAIWP, jadi kita akan mencari asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Kita turut menjemput syarikat perniagaan lain untuk membayar zakat di PPZ-MAIWP dan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini, saya berharap kerjasama ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Iftar PPZ-MAIWP dan Jakel Trading Sdn Bhd bersama asnaf di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Jakel Trading Sdn Bhd Abdul Rashid Abdul Rahman berkata program ini merupakan program CSR yang difokuskan sepanjang tahun.

“Kita libatkan pihak PPZ-MAIWP untuk memberi data bagi memberi bantuan pada golongan kurang berkemampuan. Kita dapati memang ada yang perlu dibantu hingga ke akhir hayat mereka, jadi saya harap kerjasama dengan PPZ-MAIWP ini dapat membantu mereka,” katanya.

Majlis itu merupakan sebahagian daripada projek CSR PPZ-MAIWP dan Jakel Trading Sdn Bhd sebagai tanda keprihatinan selain untuk mengeratkan ukhuwah.

-BERNAMA