Categories
EKONOMI

Jika Norhayu boleh berjaya, kita juga pasti boleh!

Oleh : AFEEQA AFEERA

KEMISKINAN bukan penghalang buat seseorang yang ingin mengecapi kejayaan di dalam hidupnya kerana ia sebenarnya adalah pemangkin membolehkan kita berusaha lebih kuat untuk mengubah nasib hidup.

Cekal dan gigih berusaha adalah ‘ubat’ yang harus sentiasa diambil dan dijadikan pegangan motivasi bahawa sesiapa sahaja boleh maju ke hadapan kerana hidup sentiasa punya pilihan.

photo (1)Bak kata pepatah “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan”.

Namun, dalam perjalanan menuju ke puncak pasti sesiapa sahaja akan berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dari Yang Maha Esa sebagai ujian dalam mengenal erti hidup yang sebenar.

Bagi Norhayu Othman, 31, yang berasal dari Klang, hidupnya cukup lengkap dengan kehadiran suami tercinta bersama dua orang anak memberi keindahan tidak terperi buat dirinya.

Berkhidmat sebagai seorang kerani di syarikat swasta, sementara suami pula bekerja sebagai buruh binaan, pendapatan bulanan diperolehi cukup menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Namun, benar kata pepatah langit tidak selalunya cerah. Hidup Norhayu gelap tanpa cahaya apabila suaminya disahkan menghidap penyakit leukimia pada tahap empat.

Bagai hilang arah, Norhayu merasakan hidupnya kelam apatah lagi beliau pada ketika itu sedang sarat hamil anak ketiga dan terpaksa bekerja keras demi menampung keluarga tatkala suaminya tidak mampu lagi untuk bekerja.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hidup dengan memulakan perniagaan menjual makanan sejuk beku secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga di samping menjaga suami yang sedang sakit.

Hampir enam bulan menjalankan perniagaan itu, Norhayu akhirnya nekad untuk berhenti kerja bagi membolehkan dirinya berniaga secara sepenuh masa.

“Saya mulakan perniagaan kuih muih dalam sejuk beku selama hampir enam bulan dan nekad berhenti kerja untuk mengembangkan perniagaan saya.

“Dalam masa sama, saya terus memberi semangat kepada suami untuk meneruskan rawatan sementara dua orang anak saya diasuh ibu saya,” katanya.

Selepas melahirkan anak ketiga, beliau dicadangkan oleh rakannya supaya memohon bantuan zakat termasuk zakat perniagaan bagi membolehkan perniagaannya diperluaskan.

Katanya berkat kesabaran akhirnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan bagi membolehkan beliau menjalankan perniagaan menjual mee, laksa, nasi lemak dan kuih muih.

“Pengalaman tapak gerai niaga diroboh dan barang niaga disita oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak mematahkan semangat saya dan suami untuk meneruskan perniagaan.

“Walaupun pendapatan kurang berbanding sebelumnya, saya nekad juga untuk berniaga bagi menyara keluarga,” katanya lagi.

Katanya siri perbincangan bersama zakat terus membuahkan hasil apabila mereka meluluskan bantuan bagi mendapatkan lori perniagaan.

Kini katanya beliau dalam proses untuk membuka restoran baru bersama abang iparnya yang dinamakan Restoran Selera Jumaat Ikan Bakar dan Tom Yam di Kampung Jawa, Klang.

Lebih menggembirakan, suaminya kian pulih dan kini bersama-sama membantunya meneruskan perniagaan makanan mereka sehingga melayakkan Norhayu menerima Anugerah Usahawan Cemerlang pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2014.

Nah, ini buktinya asnaf fakir dan miskin juga boleh berjaya jika punya kecekalan dan semangat untuk terus berjaya.