Categories
SELANGOR

Sedikit hangat tetapi terkawal di Pusat Mengundi SMK Rinching

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Walaupun tidak sehangat Pilihan Raya Umum namun hari pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih tetap meriah di beberapa pusat pengundian.

Antaranya, Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Rinching yang menyaksikan khemah enyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Barisan Nasional (BN) didirikan bersebelahan.

Tinjauan SelangorKini menyaksikan kedua-dua pihak tidak putus-putus cuba meraih undi di saat akhir.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang ketegangan dilaporkan berlaku antara kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, di Pusat Mengundi Engku Husain pula menyaksikan suasana lebih senyap berbanding di SMK Rinching.

Sehingga jam 1.00 tengah hari, tinjauan di saluran mengundi kedua-dua pusat mengundi ini didapati agak lengang dengan kehadiran pengundi.

Keadaan ini menyebabkan pengundi tidak perlu menunggu lama untuk mengundi.

Categories
SELANGOR

BERSATU senarai pendek 5 calon PRK Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 26 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menyenarai pendek lima calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 2 Mac ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan menyusun jentera kempen pilihan raya sebelum berlangsungnya penamaan calon, pada 16 Februari ini.

Katanya, Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari turut akan mengetuai jentera kempen Pakatan Harapan (PAKATAN) kali ini.

“Kerajaan Negeri menyerahkan proses memilih calon ini kepada BERSATU memandangkan kerusi berkenaan milik parti itu.

“Namun jika berlaku perubahan terhadap calon, ia akan diputuskan Majlis Presiden PAKATAN. Kita akan teruskan tradisi sebelum ini, iaitu mengekalkan calon dari parti yang sama,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan, di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, semalam.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kesemua senarai nama berkenaan sudah diserahkan kepada ibu pejabat bagi membolehkan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bermesyuarat untuk menentukan calon.

Katanya, BERSATU turut mencadangkan seorang wanita daripada lima calon yang ditetapkan.

“Semua calon ini adalah dalam kalangan ahli jawatan kuasa bahagian, golongan muda, berkaliber, anak tempatan dan mempunyai kelulusan akademik tinggi,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, meninggal dunia di Hospital Kajang, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

 

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih dianggar telan belanja RM1.8 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 JAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dijangka menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, badan itu juga akan melantik 992 petugas untuk mengendalikan proses PRK terbabit.

“Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR bersetuju melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar sebagai Pengurus PRK DUN N.24 Semenyih dibantu empat penolong pengurus.

“SPR juga bersetuju menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen yang dianggotai wakil daripada polis, Pihak Berkuasa Tempatan, wakil calon bertanding dan Pegawai SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SPR, di Menara SPR di sini, hari ini.

Penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 16 Febuari diikuti hari pengundian awal pada 26 Febuari dan hari mengundi, pada 2 Mac ini.

PRK kali keenam selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu.