Categories
AGENDA NASIONAL

ADN Bersatu tandatangan akuan bersumpah sokong Pakatan Selangor

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Empat Ahli Dewan Negeri (ADN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pakatan Harapan (Pakatan) Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Mereka adalah ADN Kuang Sallehudin Amiruddin, ADN Batang Kali Harumaini Omar, ADN Jeram Mohd Shaid Rosli dan ADN Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau menerima SD tersebut dan akan membawanya kepada kepemimpinan pusat.

“Kita kena rujuk kepemimpinan parti di peringkat pusat sama ada boleh menerima mereka sebagai sebahagian kerajaan atau terus biarkan mereka sebagai pembangkang di Selangor.

“Setakat ini, mereka masih mewakili Bersatu dan tidak menunjukkan keinginan untuk menyertai KEADILAN,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Logistik Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri belum memutuskan calon mengisi kerusi EXCO yang dikosongkan Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Empat wakil rakyat Bersatu Selangor sokong Pakatan lepas jumpa Tun M

SHAH ALAM, 5 MAC: Empat Ahli Dewan Negeri Bersatu Selangor hari ini menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (Pakatan) selepas menemui Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Mereka ialah Sallehuddin Amiruddin (Kuang), Mohd Shaid Rosli (Jeram), Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan Harumaini Omar (Batang Kali), lapor Free Malaysia Today.

“Kami menghargai mandat rakyat pada pilihan raya umum 2018. Itu sebabnya kami sokong Pakatan khususnya di Selangor,” kata Harumaini dalam sidang media di Putrajaya.

Sementara itu, Sallehuddin berkata mereka akan bertemu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari esok untuk menyuarakan sokongan dan membincangkan kaedah kerjasama dengan Kerajaan Negeri.

Hari ini, Amirudin dalam sidang media di kediaman rasminya memaklumkan Pakatan mempunyai jumlah mencukupi untuk mengekalkan majoriti di Selangor.

Bersatu meninggalkan Pakatan pada 24 Februari lalu dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir jumpa ahli Parlimen Bersatu di Yayasan Al-Bukhary

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berada di Bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, dipercayai untuk bertemu dengan anggota Parlimen parti berkenaan.

Perdana Menteri interim tiba di pejabatnya pada 9.12 pagi dengan menaiki Mercedes bernombor pendaftaran Rimau 1925, yang dilihat memasuki perkarangan bangunan itu diikuti beberapa kenderaan lain.

Mesyuarat yang difahamkan bermula 10 pagi, antara lain akan membincangkan perkembangan terkini politik negara serta parti termasuk kedudukan Bersatu sama ada akan kembali menyertai semula Pakatan Harapan (Pakatan).

Pada Isnin, Bersatu yang mempunyai 26 wakil rakyat daripada 222 kerusi Parlimen mengumumkan keluar daripada gabungan Pakatan.

Turut menjadi perhatian mengenai Bersatu kemungkinan parti itu menamakan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri baharu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan terhadap ahli BERSATU terlibat dadah

SERENDAH, 13 JAN: BERSATU hari ini memberi amaran untuk mengenakan tindakan terhadap ahlinya jika mereka antara 17 orang yang ditahan dalam satu kes dadah semalam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata bagaimanapun, parti itu perlu mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut, sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita akan tunggu maklumat sebelum kami putuskan apa nak buat. Tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang. Tidak kira siapa anda. Malah jika saya langgar undang-undang, saya akan masuk penjara,” katanya selepas melawat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Berhad di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini berkata 17 orang ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, semalam, dengan kebanyakan mereka didapati positif dadah.

Dr Mahathir ditanya media mengenai penahanan seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) dari BERSATU yang telah disahkan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari, hari ini.

Penahanan ADN tersebut viral di media sosial hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua Armada BERSATU Tanjung Malim maut kemalangan

TAPAH, 31 DIS: Ketua Armada BERSATU Tanjung Malim Luth Ishak, maut selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori, di Kilometer 315, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 6.15 pagi itu, Luth, 34, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, maut di lokasi.

Katanya kemalangan dipercayai berlaku, apabila lori yang membawa muatan telur ayam dan kekacang dalam perjalanan ke selatan, menukar haluan dari lorong kanan ke lorong kiri, sebelum melanggar bahagian kanan Mitsubishi Triton.

“Pemandu Triton seorang lelaki mengalami cedera ringan, dua lagi penumpang belakang termasuk seorang anggota Unit Ronda Bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah cedera parah, manakala pemandu lori patah kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata mayat Luth dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRU-14: Bersatu harus ambil pengajaran gagal menang banyak kerusi

SHAH ALAM, 13 JUN: Anggota dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus mengambil pengajaran atas kegagalan parti itu memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana daripada 52 kerusi yang ditandingi calon parti itu pada pilihan raya berkenaan, hanya 13 kerusi berjaya dimenangi.

Satu sebab kita tak dapat jumlah wakil rakyat yang banyak sebab kita parti baharu dan parti baharu tidak dapat berkenalan dengan ramai bilangan pengundi dan rakyat.

“(Namun) Sekarang kita sudah berusia tiga tahun, tapi kalau kita bekerja kuat, kita akan dapat kekalkan kedudukan kita sebagai parti pemerintah di negara ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan anjuran ketua-ketua bahagian, ketua srikandi dan ketua armada Bersatu di Pusat Konvensyen Setia City di sini, malam tadi.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Naib Presiden, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid Ansari; Ketua Pemuda Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta kepemimpinan parti.

Justeru, kata Dr Mahathir setiap ketua bahagian Bersatu perlu bekerja lebih kuat bagi menambahkan lagi jumlah keanggotaan kerana ia mampu menentukan sokongan pengundi kepada parti berkenaan pada pilihan raya akan datang.

“Pengikut penting kerana dalam parti politik kita perlukan tenaga. Dalam PRU, kita perlu tenaga yang banyak untuk jalankan kerja parti. Kalau tidak cukup (jumlah anggota), sukar kita capai kemenangan.

“Kalau kita tak berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mempunyai kakitangan (anggota dan jentera) yang ramai untuk berkenalan dengan penduduk di banyak kawasan, kita sukar capai kemenangan.

“Saya tentu akan lebih berbangga kalau saya memimpin parti dengan anggota seramai 300 juta. (Mungkin) Tak sampai tapi boleh kita cuba,” katanya sambil berseloroh dengan mendapat tepukan daripada barisan kepimpinan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata setiap sumbangan yang disalurkan kepada mana-mana parti politik mesti melalui akaun rasmi parti dan mempunyai resit.

Katanya, ia merupakan peraturan baharu yang perlu dipatuhi kerana diakui, semua parti politik memerlukan dana untuk menjalankan pelbagai program untuk memenangi pilihan raya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Pemimpin Bersatu jangan kecewa jika tidak diberi jawatan

PUTRAJAYA, 14 MEI: Pemimpin dan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu akur bahawa tiada jaminan untuk mereka mengisi jawatan tertinggi dalam institusi kerajaan serta mendapat nikmat dan ganjaran setelah menjadi kerajaan, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata walaupun mungkin ada antara mereka yang berputih mata atau kecewa namun itulah pengorbanan yang mereka perlu lakukan walaupun telah berhempas pulas membawa kemenangan kepada Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Ini adalah sesuatu yang menyedihkan kita, tetapi ingatlah ini janji kita.

“Kerajaan tak boleh guna kuasa untuk beri kekayaan atau tempat tertentu kepada penyokong atau pemimpin mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ketua sayap Srikandi dan Armada Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir berkata walaupun mereka tidak mendapat sesuatu daripada parti namun sebagai rakyat, mereka akan mendapat nikmat daripada negara yang ditadbir dengan baik hasil pengorbanan yang mereka berikan untuk memberi kejayaan kepada parti.

“Percayalah kita akan dapat sesuatu sama ada kita akan dapat peluang pekerjaan, peluang perniagaan, anak dapat biasiswa belajar keluar negara dan keadaan dalam negara sempuna dibekal dengan elektrik dan air yang mencukupi, dengan jalan yang baik, keretapi laju dan sebagainya,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Bersatu akan terus mendapat sokongan daripada rakyat jika kekal bersih dari segala larangan.

“Untuk meyakinkan rakyat bahawa parti berpegang kepada janji, kita terpaksa berkorban apa sahaja kerana tiada tempat bagi kita dalam kerajaan yang kita wujudkan melalui tindakan dan kerja kuat kita,” katanya.

Menempelak parti yang dikalahkan pada PRU14 lepas, Dr Mahathir berkata apabila mendapat kuasa, mereka menyalahgunakannya tanpa had termasuk mencuri harta kerajaan dan rakyat.

“Tetapi mereka percaya kalau mereka guna wang itu untuk tawan hati rakyat maka mereka akan tetap kekal sebagai kerajaan bagi negara kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu adalah sebuah parti yang berkorban untuk bangsa dan negara, maka anggotanya akan menahan diri daripada membuat perkara yang akan memburukkan imej negara.

Beliau berkata hasil pengorbanan parti itu adalah menebus kembali negara yang sebelum ini digelar sebagai negara kleptokrasi.

“Hasil yang diterima kerana kita berjuang dalam parti yang miskin dan tidak dapat hulur wang, tetapi masih mencapai kemenangan cemerlang pada Pilihanraya Umum ke-14 lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kemenangan cemerlang PH di Sandakan adalah hasil sokongan padu parti di Sabah termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) walaupun tidak ramai yang keluar mengundi.

Beliau berkata kemenangan itu adalah kerana rakyat sedar PH adalah parti yang baik dengan pemimpinnya sanggup berkorban tanpa mengharap sesuatu.

“Rakyat lebih utamakan dan pandang tinggi kepada parti yang dianggotai pemimpin yang sanggup berkorban untuk bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Barisan EXCO Johor bakal diumum esok

ISKANDAR PUTERI, 21 APRIL: Barisan EXCO Johor baharu dijangka diumum esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, senarai itu sudah dikemukakan dan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam pertemuan di Istana Pasir Pelangi, pagi tadi.

“Menteri Besar (Dr Sahruddin Jamal) sudah sampaikan senarai barisan EXCO yang dijangka dilantik semula esok, sudah diperkenankan dan saya bersyukur kerana setelah terbentuknya barisan EXCO, maka pentadbiran negeri akan berjalan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan Dr Sahruddin di pejabat menteri besar di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dr Sahruddin yang juga Setiausaha Bersatu Johor dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada Ahad lalu, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan selepas hanya 11 bulan menerajui kerajaan negeri.

Dilaporkan susulan pelantikan Dr Sahruddin, akan berlaku rombakan Exco Johor dengan beberapa nama dijangka digugurkan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri meluangkan masa kira-kira sejam bertemu Dr Sahruddin di pejabatnya.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh bersama-sama Dr Sahruddin sebelum itu dilaporkan menghadap Sultan Ibrahim bagi mempersembahkan senarai barisan Exco Johor yang baharu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau yakin Dr Sahruddin berkemampuan menerajui kerajaan negeri dengan baik meskipun masih baru dalam kerajaan negeri.

Ditanya mengenai kedudukan Osman sebagai pemangku Pengerusi PH Johor, Muhyiddin berkata perkara tersebut akan diteliti semula oleh pucuk pimpinan tertinggi PH. –BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Muhyiddin: BERSATU sudah ada calon MB Johor

PETALING JAYA, 11 APRIL: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempunyai beberapa nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bagi diangkat sebagai menteri besar negeri itu.

“Mungkin dua atau tiga calon,” kata presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemberita ketika ditanya berkenaan calon Menteri Besar Johor selepas Datuk Osman Sapian melepaskan jawatannya, pada Isnin lalu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, ditemui selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang, dekat sini hari ini.

Ditanya berkenaan perbahasan berhubung kuasa memilih menteri besar, Muhyiddin berkata, isu itu tidak sepatutnya dibahaskan kerana setiap negeri termasuk Johor mempunyai undang-undang tubuh negeri yang turut memperuntukkan pelantikan menteri besar.

“(Peruntukan) Ini bukan baharu kerana ia sudah berzaman dikuatkuasakan,” katanya.

Berhubung cadangan UMNO Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, katanya, perkara itu tidak timbul kerana sebarang cadangan membubarkan DUN harus dibuat kerajaan, bukan pembangkang.

Ditanya cadangan beliau kembali menerajui kerajaan Johor, Muhyiddin yang juga ADUN Gambir, berseloroh: “Saya sudah tua.”

Bagaimanapun katanya beliau bersedia membantu pentadbiran kerajaan negeri dan berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi Menteri Besar Johor.

“Saya dah pernah jadi menteri mesar, saya fikir tidak wajar saya kembali semula memegang jawatan itu tapi saya sedia membantu,” katanya. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Muhammad Aiman jaguh muda PAKATAN di Semenyih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 14 FEB: Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali diumumkan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Perkara itu diumumkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada majlis pengumunan calon dan pelancaran jentera PRK N.24 DUN Semenyih, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN di sini hari ini.

Majlis itu turut dihari Dato’ Menteri Besar merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa barisan kepimpinan PAKATAN peringkat pusat juga negeri.

Muhammad Aiman, 30, adalah anak jati Semenyih dan mula terbabit dalam politik bersama BERSATU, sejak parti itu ditubuhkan pada 2017.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik kelas pertama dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini sedang melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah dalam bidang sama, di universiti yang sama.

Terdahulu, Muhyiddin ketika membuat pengumuman berkata, calon dipilih sudah menjalani pelbagai tapisan rekod membabitkan jenayah, muflis dan bebas rasuah.

“Kita mahukan calon bersih, mampu membantu rakyat Semenyih yang boleh beri kita kemenangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

BERSATU senarai pendek 5 calon PRK Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 26 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menyenarai pendek lima calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 2 Mac ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan menyusun jentera kempen pilihan raya sebelum berlangsungnya penamaan calon, pada 16 Februari ini.

Katanya, Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari turut akan mengetuai jentera kempen Pakatan Harapan (PAKATAN) kali ini.

“Kerajaan Negeri menyerahkan proses memilih calon ini kepada BERSATU memandangkan kerusi berkenaan milik parti itu.

“Namun jika berlaku perubahan terhadap calon, ia akan diputuskan Majlis Presiden PAKATAN. Kita akan teruskan tradisi sebelum ini, iaitu mengekalkan calon dari parti yang sama,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan, di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, semalam.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kesemua senarai nama berkenaan sudah diserahkan kepada ibu pejabat bagi membolehkan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bermesyuarat untuk menentukan calon.

Katanya, BERSATU turut mencadangkan seorang wanita daripada lima calon yang ditetapkan.

“Semua calon ini adalah dalam kalangan ahli jawatan kuasa bahagian, golongan muda, berkaliber, anak tempatan dan mempunyai kelulusan akademik tinggi,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, meninggal dunia di Hospital Kajang, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

 

Categories
SELANGOR

BERSATU cadang PRK DUN Semenyih selepas Tahun Baru Cina

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 12 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diadakan, selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, ia tertakluk kepada keputusan SPR.

“Kita meminta PRK itu diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina, iaitu awal Mac ini. Bagaimanapun, ia tertakluk pada SPR untuk menentukan tarikhnya.

“Semua pucuk pimpinan sudah dimaklumkan berkenaan kekosongan kerusi DUN itu dan akan bermesyuarat bagi menetukan calon yang sesuai,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, BERSATU mahu calon sesuai yang akan menggantikan Allahyarham Mohd Bakhtiar Md Nor dan mampu mengekalkan kemenangan, di DUN berkenaan.

Beliau turut memaklumkan mempunyai beberapa nama yang layak menjadi calon dan akan mengemukakannya kepada pimpinan.

“Saya mempunyai beberapa nama yang sesuai dijadikan calon, bagaimanapun ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Mohd Bakhtiar disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada jam 4.45 pagi, semalam.

Mohd Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih sejak Mei tahun lalu selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional, pada Pilihan Raya Umum ke-14, dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.