Categories
SELANGOR

Kekurangan tak jejas semangat Saad keluar mengundi

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kekurangan yang dialami Saad Murad, tidak menghalangnya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Kecil N.32 Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

Saad, 65, yang tiba di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, di sini, sekitar jam 7.45 pagi selesai membuang undi, pada 8.15 pagi.

“Dalam keadaan begini, saya tidak pernah melepaskan peluang mengundi, sejak 1992.

“Walaupun menang atau kalah tidak memberikan kesan tetapi kita tetap perlu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Tinggal di Pangsapuri Bandar Sunway, pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang mengalami penyakit angin ahmar sejak 2013 itu hadir menggunakan Mobat, kenderaan berkuasa bateri yang memudahkan pergerakan Orang Kelainan Upaya.

Categories
SELANGOR

PRK Seri Setia: Pengundian awal lancar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 4 SEPT: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia berjalan lancar dengan 44 peratus keluar mengundi setakat jam 11 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, proses pengundian awal itu membabitkan 2,770 orang terdiri daripada anggota dan isteri tentera serta polis.

“Pusat pengundian itu akan ditutup pada jam 5 petang ini, berbanding PRK DUN Balakong, pada jam 12 tengah hari ekoran jumlah pengundi awal di kawasan itu lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau proses pengundian awal di Dewan Ababil, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, proses pengundian awal kali ini juga lebih teratur apabila pengundi tidak perlu menunggu terlalu lama susulan penambahan saluran.

“Saya difahamkan pihak pengurusan membuat secara berperingkat tetapi kita lihat semua saluran berjalan dengan bagus dan teratur tanpa menunggu lebih lama kerana semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita buka tiga saluran tetapi kali ini kita tambah lagi dua saluran, lebih mudah.

“Kita juga buka saluran lima khas untuk isteri anggota supaya mereka tidak perlu beratur lama dan boleh terus mengundi lebih awal,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penamaan calon PRK DUN Seri Setia bermula pagi ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, bermula pada jam 8.30 pagi ini.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, mengumumkan nama calon yang akan bertanding, pada PRK kali ini.

Kelmarin, Pakatan Harapan mengumumkan bekas Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar sebagai calon, manakala PAS mempertaruhkan Dr Halimah Ali.

PRK DUN Seri Setia adakala PRK ketiga diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ekoran kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, Dr Shaharuddin mengalahkan tiga pencabarnya iaitu Datuk Yusoff HM Hanif daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas, Dr S Vignes, dengan majoriti 19,372 undi.

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.