Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Maszlee berdepan saingan empat penjuru

KLUANG, 26 FEB: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Datuk Ab Mutalip Abd Rahim antara calon yang bertanding dalam pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengumuman calon-calon bagi DUN itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Hakim Abd Manap.

Maszlee mewakili PKR, Ab Mutalip bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) manakala dua lagi calon merupakan muka baharu iaitu seorang kontraktor sivil K.Alagathiran mewakili Perikatan Nasional (PN) dan aktivis Ahmad Shafiq Othaman merupakan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“(Calon) Pertama Dr Maszlee Malik daripada PKR, kedua Alagathiran daripada PN, ketiga adalah Datuk Ab Mutalip daripada BN dan keempat, Ahmad Shafiq daripada Pejuang,” katanya semasa mengumumkan nama calon bagi DUN Layang-Layang di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon, Maszlee dan Ab Mutalip menyambut baik pertembungan empat penjuru itu kerana ia menggambarkan sistem demokrasi sihat.

Mengenai hala tuju sekiranya diberi mandat, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata beliau bertekad untuk menjadikan Johor sebagai negeri berkependidikan dengan memastikan pendidikan di Johor adalah yang terbaik.

Pada PRU14, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon BN Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan majoriti 364 undi menewaskan M.Murugan mewakili Pakatan Harapan dan Mohd Jubri Selamat (PAS).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 8 Mac.

— BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penamaan calon PRK DUN Seri Setia bermula pagi ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, bermula pada jam 8.30 pagi ini.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, mengumumkan nama calon yang akan bertanding, pada PRK kali ini.

Kelmarin, Pakatan Harapan mengumumkan bekas Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar sebagai calon, manakala PAS mempertaruhkan Dr Halimah Ali.

PRK DUN Seri Setia adakala PRK ketiga diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ekoran kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, Dr Shaharuddin mengalahkan tiga pencabarnya iaitu Datuk Yusoff HM Hanif daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas, Dr S Vignes, dengan majoriti 19,372 undi.

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.