Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: MMA gesa tambah baik urus kes ringan, kontak rapat

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa supaya Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penambahbaikan segera dalam tatacara menangani kes-kes ringan Covid-19 (kategori 1 dan 2) serta kontak rapat.

Presidennya Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy dalam satu kenyataan berkata ia perlu bagi menangani kekeliruan di samping menghalang kemungkinan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin di rumah yang boleh membawa kepada peningkatan kepada jumlah jangkitan dalam komuniti.

“MMA sekali lagi menggesa KKM supaya mengguna pakai kembali dasarnya sebelum ini yang berkaitan ujian terhadap semua kontak rapat. Dasar semasa KKM adalah untuk membuat ujian hanya terhadap kontak rapat kes bergejala.

“Dalam langkah pencegahan, tindakan hanya mengasingkan mereka adalah tidak memadai. Status kesihatan semua kontak rapat perlu dikesan awal, jika tidak, ia boleh membawa risiko penularan jangkitan dalam kalangan anggota keluarga sesebuah rumah dan dalam komuniti sekiranya mereka melanggar peraturan kuarantin,” katanya.

Kenyataan itu turut menggesa kerajaan meningkatkan usaha mendidik orang ramai mengenai SOP kuarantin di rumah dan peranan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) KKM, dengan menerbitkan maklumatnya di semua media, terutama di kawasan berpendudukan tinggi, dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang mudah, bagi memastikan ia difahami semua rakyat Malaysia.

MMA turut mengesyorkan supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan usaha memastikan pesanan-pesanan KKM berhubung CAC dan SOP kuarantin rumah dapat disampaikan dengan meluas di semua peringkat.

“Kita khuatir tidak semua individu akan bertanggungjawab dalam melaksanakan kuarantin di rumah dengan serius, sehubungn itu kita perlu menggesa kerajaan untuk menangani perkara ini dengan segera dan membuat pelbagai penambahbaikan yang perlu, jika tidak kita mungkin akan lihat kes-kes Covid-19 terus melonjak dalam masa terdekat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berhati-hati dengan orang tengah tawar khidmat saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 DID: Majikan digesa agar berwaspada dengan tindakan syarikat swasta yang bukan berlatar belakangkan kesihatan dan orang tengah yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan bagi Covid-19, demikian menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata pihak yang menjalankan perniagaan ini didapati menyasarkan para doktor (GP) yang sedang berjuang dengan wabak itu dan didapati cuba memaksa mereka untuk menerima harga terendah untuk khidmat profesional yang diberikan, semata-mata mahu memperoleh diskaun lebih besar daripada majikan.

“MMA sangat prihatin dengan hal ini, kerana sekiranya khidmat profesional (doktor) tidak dibayar setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, ia mungkin tidak dapat menanggung kos uijian saringan sekali gus akan menjejaskan kualiti perawatan.

“Hakikatnya, kos akan menjadi lebih rendah jika majikan dapat berurusan dan berbincang secara langsung dengan doktor kerana ia tidak melibatkan bayaran kepada orang tengah,” menurut MMA dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MMA menjelaskan, di bawah program saringan Covid-19 bagi pekerja asing, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mewajibkan pekerja asing menjalani saringan ujian Covid-19 menggunakan kaedah Rapid Test Kid (RTK) Antigen yang diberikan secara percuma kepada doktor yang mengambil bahagian. Hanya bayaran khidmat profesional doktor yang dikenakan kepada majikan.

Kini, terdapat 626 klinik panel Perkeso yang menjalankan ujian saringan untuk pekerja asing dan senarai lengkap boleh didapati menerusi laman webnya di www.psp.perkeso.gov.my

“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa kid ujian RTK Antigen hanya dapat dilakukan oleh pegawai perubatan profesional yang terlatih mengikut garis panduan pencegahan penyakit berjangkit yang ketat, oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“MMA mengingatkan bahawa seseorang mungkin berdepan berisiko tinggi mengalami kecederaan atau masalah kesihatan lain atau memperoleh keputusan ujian negatif yang palsu, sekiranya ujian saringan (Covid-19) tidak melalui prosedur yang betul,” katanya.

– BERNAMA