Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan perubatan gesa siasat syarikat swasta didakwa jual vaksin

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Majlis Perubatan Malaysia menjalankan siasatan penuh dakwaan bahawa vaksin Covid-19 dijual oleh syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata sekiranya dakwaan itu terbukti benar, tindakan tegas perlu diambil ke atas syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan itu dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang terlibat.

“MMA diberitahu bahawa vaksin dijual oleh sebuah syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian pada harga sekitar RM400 (dua dos) seorang dengan fasiliti penjagaan kesihatan swasta terlibat menjalankan vaksinasi.

“MMA mengambil serius perkara ini kerana pada masa ini kerajaan adalah pengimport dan pengedar rasmi vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Subramaniam berkata semua vaksin yang ada di negara ini adalah percuma kepada orang awam dan disediakan secara eksklusif menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pada Februari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengkomersialkan vaksin Covid-19 di negara ini dengan membenarkan syarikat swasta menjualnya.

Beliau berkata tiada syarikat yang dilesenkan untuk menjual vaksin dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan membekal vaksin ke seluruh hospital termasuk hospital swasta, yang akan diberi secara percuma kepada orang ramai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SELANGOR

Persatuan perubatan: Langkah Selangor beli vaksin percepat pulih wabak

SHAH ALAM, 11 JUN: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik usaha Kerajaan Selangor membeli lebih 500,000 vaksin untuk rakyat negeri itu menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP).

Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam berkata pembelian itu dapat mempercepatkan program vaksinasi terutama kepada warga emas, pekerja sektor perindustrian, pembuatan serta perkhidmatan dan golongan belia.

“Kami berharap usaha yang dilakukan Kerajaan Selangor ini membuahkan kejayaan. Begitu juga dengan keputusan mengambil 1,000 pengamal perubatan swasta juga langkah tepat kerana kepantasan, kemudahan dan kebolehcapaian penting dalam meningkatkan pengambilan vaksin.

“Kami yakin lebih ramai pengamal perubatan swasta akan turut serta dan menyasarkan lebih 2,000 lagi penyertaan kumpulan ini di Selangor dan kawasan bersempadan di Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Menurutnya, usaha untuk meningkatkan pengambilan suntikan vaksin amat perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan sekali gus membantu memulihkan semula ekonomi.

“MMA turut mengalu-alukan lanjutan program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Selangor yang terbukti berjaya mengesan golongan ‘pembawa senyap’,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri lain turut mempertimbangkan program vaksinasi dan saringan percuma di negeri mereka.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi memperoleh vaksin dan mempercepatkan imuniti kelompok menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.

Categories
AGENDA NASIONAL

MMA mahu semua petugas penjagaan kesihatan diberi vaksin kategori 1

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) perlu mengkaji semula pengkategorian dan senarai semua petugas barisan hadapan dan pekerja penjagaan kesihatan yang terdedah secara langsung kepada risiko dijangkiti virus itu di bawah kategori 1 dalam garis panduannya.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini selaras dengan gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mempercepat ekuiti vaksin kepada semua petugas kesihatan.

“MMA menyedari bahawa vaksin bagi kategori 1 dan 2 dirancang dilaksanakan secara serentak. Bagaimanapun, perkara ini tidak digambarkan di peringkat bawahan.

“Memandangkan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) ternyahpusat ke setiap Jabatan Kesihatan Negeri, pembabitan lebih rapat dan komunikasi lebih baik diperlukan dengan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk koordinasi yang lebih baik serta bagi mengelak sebarang kekeliruan,” menurut kenyataan itu.

Ketika ini, di bawah garis panduan itu, pengamal perubatan am, Klinik Pakar Swasta dan klinik gigi swasta disenarai di bawah kategori 2 bersama pasukan keselamatan dan pertahanan, anggota polis, guru sekolah rendah dan menengah serta kakitangan perkhidmatan penting yang lain.

Menurut MMA, doktor swasta dan kebanyakan Klinik Pakar Swasta selalunya menjadi tempat pertama pesakit yang mempunyai gejala Penyakit Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan Influenza Like Illness (ILI), iaitu gelaja biasa pesakit dijangkiti Covid-19, mendapatkan rawatan.

“Sejumlah doktor dan kakitangan mereka telah dijangkiti Covid-19 selepas terdedah kepada pesakit dengan gejala ini yang kemudian disahkan positif Covid-19.

“Sesetengah klinik terpaksa ditutup selama 14 hari kerana doktor dan kakitangannya harus dikuarantin,” katanya.

Kenyataan itu menyebut ketika ini, doktor swasta turut terlibat dalam ujian saringan Covid-19 berskala besar yang menyebabkan mereka berdepan risiko tinggi dijangkiti virus tersebut.

Oleh itu, MMA berkata meletakkan mereka di bawah kategori 2 di dalam garis panduan tersebut menyaksikan bahawa mereka tidak diiktiraf sebagai antara bahagian penting dalam sistem penjagaan kesihatan utama dan hanya akan melambatkan usaha untuk menangani serta mengawal pandemik tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa doktor gigi serta kakitangan mereka turut terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19 kerana pesakit perlu membuka pelitup muka untuk diperiksa dan dirawat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: MMA gesa tambah baik urus kes ringan, kontak rapat

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa supaya Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penambahbaikan segera dalam tatacara menangani kes-kes ringan Covid-19 (kategori 1 dan 2) serta kontak rapat.

Presidennya Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy dalam satu kenyataan berkata ia perlu bagi menangani kekeliruan di samping menghalang kemungkinan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin di rumah yang boleh membawa kepada peningkatan kepada jumlah jangkitan dalam komuniti.

“MMA sekali lagi menggesa KKM supaya mengguna pakai kembali dasarnya sebelum ini yang berkaitan ujian terhadap semua kontak rapat. Dasar semasa KKM adalah untuk membuat ujian hanya terhadap kontak rapat kes bergejala.

“Dalam langkah pencegahan, tindakan hanya mengasingkan mereka adalah tidak memadai. Status kesihatan semua kontak rapat perlu dikesan awal, jika tidak, ia boleh membawa risiko penularan jangkitan dalam kalangan anggota keluarga sesebuah rumah dan dalam komuniti sekiranya mereka melanggar peraturan kuarantin,” katanya.

Kenyataan itu turut menggesa kerajaan meningkatkan usaha mendidik orang ramai mengenai SOP kuarantin di rumah dan peranan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) KKM, dengan menerbitkan maklumatnya di semua media, terutama di kawasan berpendudukan tinggi, dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang mudah, bagi memastikan ia difahami semua rakyat Malaysia.

MMA turut mengesyorkan supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan usaha memastikan pesanan-pesanan KKM berhubung CAC dan SOP kuarantin rumah dapat disampaikan dengan meluas di semua peringkat.

“Kita khuatir tidak semua individu akan bertanggungjawab dalam melaksanakan kuarantin di rumah dengan serius, sehubungn itu kita perlu menggesa kerajaan untuk menangani perkara ini dengan segera dan membuat pelbagai penambahbaikan yang perlu, jika tidak kita mungkin akan lihat kes-kes Covid-19 terus melonjak dalam masa terdekat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM digesa buat audit, elak orang tengah komersial ujian Covid-19 warga asing

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semalam menggesa kerajaan menjalankan audit di lokasi ketika proses saringan secara besar-besaran terhadap pekerja asing dijalankan pada masa ini bagi memastikan piawai dan pematuhan sepenuhnya garis panduan saringan Covid-19.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata audit itu boleh dijalankan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan Covid-19 yang semakin meningkat, disebabkan permintaannya yang semakin tinggi.

“Nampaknya tiada kawalan atau penguatkuasaan ke atas aktiviti orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen untuk menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 kepada majikan. Perlu diingat bahawa orang-orang tengah ini, bukanlah penyedia penjagaan kesihatan.

“Majikan perlu sedar hanya pengamal perubatan am yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap saringan dan piawai penjagaan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Dis, MMA mengingatkan majikan agar berwaspada terhadap orang tengah atau syarikat bukan penyedia penjagaan kesihatan, yang menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 yang menyasarkan pengamal perubatan yang mempunyai masalah dengan mengenakan bayaran profesional yang rendah dan seterusnya mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih daripada majikan.

KKM pada awal November menyatakan ujian Covid-19 oleh pihak swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta, manakala hanya klinik perubatan swasta boleh menawarkan saringan di lokasi seperti di kilang, dewan orang ramai ataupun pejabat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Vaksin bukan untuk rawat tetapi cegah jangkitan – MMA

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Vaksin Covid-19 yang dijangka mula diperoleh pada suku pertama tahun hadapan, bukan untuk merawat jangkitan tetapi untuk mencegah atau melindungi diri daripada terkena penyakit berjangkit itu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, apabila vaksin itu disuntik ke dalam tubuh manusia, ia akan membantu meningkatkan imuniti sistem badan bagi melawan penyakit.

“Oleh itu, petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat akan diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin itu, kerana mereka adalah individu yang paling dekat, terdedah, serta mempunyai risiko tinggi, ketika berhadapan dengan pesakit positif Covid-19.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lepas telah memaklumkan bahawa setiap negara akan memperoleh vaksin itu tanpa mengira status negara maju atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk Tabung Covid-19 MMA Sabah di Bangunan MMA di sini, semalam.

Beliau berkata apabila vaksin itu diperoleh kelak, harganya pasti mahal dan bukan semua mampu membelinya, justeru ia bergantung kepada peruntukan kerajaan dalam memastikan semua rakyat mendapat vaksin itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MMA: Jangan lalai, Covid-19 masih wujud dalam komuniti

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Rakyat tidak boleh lalai dan seronok walaupun Malaysia diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik Covid-19 kerana virus ini masih wujud dalam komuniti.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata pada satu ketika negara hampir bebas dari Covid-19, tetapi kealpaan masyarakat terhadap virus yang tersembunyi di dalam komuniti itu memungkinkan ia merebak semula.

“Walaupun kita diiktiraf WHO sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik ini, tetapi kita tak boleh seronok, tak boleh lalai, ini rakyat kena faham, virus ini masih ada dalam komuniti, dan ia bukan tugas mudah untuk atasi (Covid-19),” katanya ditemu bual Bernama TV semalam.

Dr Subramaniam juga berkata sikap rakyat yang alpa terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal juga boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan kes.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan pandemik itu, Dr Subramaniam berkata Covid-19 mungkin hanya dapat dicegah sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Beliau berkata tanpa vaksin dan ubat yang boleh merawat, ia bergantung sepenuhnya kepada kawalan kendiri masyarakat dalam mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian pandemik ini.

-BERNAMA