Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel, MPK meterai MoU perkukuh pembangunan komuniti

SHAH ALAM, 8 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan pembangunan komuniti di Selangor.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Unisel berkata kerjasama dua hala itu adalah inisiatif semua pusat jaringan komunitinya dalam menyalurkan kepakaran pensyarah kepada MPK dan membantu mewujudkan Klang Sejahtera.

“Usaha itu termasuk kajian impak sosial ekonomi, penjenamaan, seni kreatif, pemuliharaan alam, penjanaan ekonomi, keusahawanan dan menjadikan “muzium hidup” Klang sebagai bandar Diraja.

“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada pelajar dan ahli akademik Unisel menimba pengalaman latihan industri di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh kepada SelangorKini.

Beliau berkata, universiti itu turut merancang melaksanakan cakna komuniti Jelajah Klang 2021, membangun ‘Heritage Trail’ MPK, khidmat konsultansi menerusi penyelidikan analisis impak sosial dan kerjasama pemasaran program akademik Unisel.

MOU di antara kedua-dua pihak ditandatangani Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam majlis diadakan di Unisel kampus Bestari Jaya pada Isnin lalu.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Kebajikan pelajar terjamin, Unisel sedia pelbagai bantuan

SHAH ALAM, 11 OKT: Universiti Selangor (Unisel) memberi jaminan menjaga kebajikan 1,700 penuntut yang masih berada di asrama kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) berkata pelbagai bantuan disediakan seperti bekalan makanan, zakat dan perkhidmatan ke klinik serta hospital bagi meringankan beban susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Malah, baru-baru ini pelajar menerima makanan kering, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka daripada Team Selangor menerusi Bantuan Prihatin Mahasiswa dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Perkhidmatan di dalam kampus seperti kafeteria dan kedai runcit turut beroperasi seperti biasa bagi memudahkan mahasiswa kerana pergerakan keluar masuk (pelajar) dari asrama buat masa ini tidak dibenarkan,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 10,000 pelajar Unisel bakal menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian bermula 17 hingga 30 Oktober ini.

Katanya, proses peperiksaan tersebut akan dipastikan berjalan lancar khususnya membabitkan semua pelajar yang berada di asrama kedua-dua kampus berkenaan.

“Kami mempunyai pasukan yang akan memantau 24 jam bagi memastikan akses capaian internet yang baik dan sistem peperiksaan dalam talian tidak tergendala.

“Bagi pelajar kampus Shah Alam di asrama Wisma Majlis Agama Islam Selangor dan tiada akses internet, kita akan buka kampus untuk mereka duduki peperiksaan tersebut mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.