Categories
NASIONAL

Saifuddin letak jawatan Felo UM, solidariti penyingkiran Prof Redzuan

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) berkuatkuasa hari ini.

Perletakan jawatan yang diumumkan Saifuddin melalui laman Facebook beliau adalah atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti terhadap tindakan pentadbiran universiti tertua negara itu yang menyingkirkan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman.

Datuk-Saifuddin-Abdullah“Prof Datuk Dr Redzuan Othman adalah Pengarah-Pengasas UMCEDEL & Dekan FSSS UM. Oleh kerana arahan daripada pihak tertentu di KPM, baru-baru ini beliau diarah meletak jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL.

“Tapi beliau tidak menghebohkan cerita ini. Hari ini, beliau tidak disambung sebagai Dekan walaupun dicalon oleh pensyarah FSSS. Cerita ini disiarkan Malaysian Insider hari ini.

“Saya tahu akan cerita ini sejak awal melalui beliau dan VC (Naib Canselor) UM. Prof Redzuan terima kedua-dua keputusan ini dengan berlapang dada. Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti dengan beliau, saya meletak jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM hari ini,” kata Saifuddin dalam laman Facebook beliau.

The Malaysian Insider melaporkan, Prof Mohamad Redzuan yang juga Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) UM turut tidak disambung bagi jawatan itu yang didakwa dilakukan universiti atas tekanan Kementerian Pelajaran ekoran rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap beberapa tinjauan politik yang dijalankan UMCEDEL.

prof redzuanBerita berkenaan penyingkiran beliau diketahui apabila UM mengeluarkan senarai dekan baru universiti dan nama Prof Mohamad Redzuan tiada dalam senarai itu, pada 26 Jun lalu.

Sumber turut memberitahu The Malaysian Insider, tindakan menyingkirkan Prof Mohamad Redzuan dilakukan atas alasan beliau akan bersara tahun depan, selain tekanan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Zaini Ujang iaitu rakan beliau ketika aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

-NFN-