Categories
NASIONAL

KWSP: Lebihan potongan 3 peratus peluang wujudkan pelaburan baru

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga peratus perlu dimanfaatkan pencarum bagi mencari peluang pelaburan yang membawa pulangan lebih tinggi.

Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, berkata jika lebihan pendapatan hasil potongan itu dibelanjakan secara hangus, ia tidak membawa kebaikan kepada pencarum untuk tempoh panjang.

WAN SAIFUL WAN JAN“Caruman wajib KWSP ini perlu difikirkan semula kerana mungkin ada pencarum yang boleh mencari tempat caruman membawa pulangan lebih tinggi.

“Potongan tiga peratus ini patut digunakan pencarum untuk mencari peluang pelaburan lebih baik, bukan dibelanjakan sewenang-wenangnya.

“Ia langkah yang baik dengan syarat pencarum menggunakan untuk menyimpan di tempat membawa pulangan lebih tinggi,” katanya kepada Selangor Kini.

Jelasnya, cadangan potongan jumlah caruman itu bukanlah isu kerajaan ingin mengutip cukai daripada rakyat melalui GST tetapi lebih kepada persoalan pencarum mengambil tanggungjawab peribadi menjaga masa depan sendiri.

“Itu mungkin benar sekiranya pencarum mengambil langkah untuk berbelanja. Kalau tidak digunakan untuk berbelanja sebaliknya sebagai contoh disimpan dalam unit teras bagi pulangan lebih tinggi, maka kritikan itu menjadi tidak tepat,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai yang menyifatkan simpanan carumam KWSP sebagai sukar dikawal memandangkan baki akan berkurang selepas 10 tahun persaraan.

Katanya, pengurangan tiga peratus setiap bulan adalah satu ujian daripada disiplin itu.

Tegas Barjoyai, disiplin kewangan lebih penting berbanding skim simpanan memandangkan pulangan perbelanjaan dilakukan pencarum akan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan menambah keuntungan pemain termasuk Kerajaan secara tidak langsung.

barjoyai-bardai“Pastinya sebagai orang awam kita mahu dapatkan tiga peratus itu hari ini supaya kita dapat kawal barangan yang diperlukan.

“Kepada kumpulan pekerja yang berjimat, mereka akan mewujudkan satu skim simpanan baru yang memberikan pulangan lebih besar daripada KWSP.

“Tiga peratus itu dianggap sebagai simpanan paksa kepada pekerja. Kalau boleh mereka mengelak simpanan paksa ini,” katanya.

-nR-