Categories
NASIONAL SELANGOR

Tribunal Rakyat: Media berat sebelah, bantu BN sebar propaganda

tribunal logo

SUBANG JAYA, 20 SEPT : Seorang ahli akademik dari Universiti Malaya menyifatkan tempoh 10 minit yang diberikan Kerajaan kepada parti politik untuk membentangkan manifesto pilihan raya menerusi siaran radio sebagai sesuatu tindakan tidak adil.

Profesor Edmund Terence Gomez berkata, adalah sesuatu yang mustahil bagi parti politik bertanding untuk meyakinkan orang ramai tentang tawaran manifesto pilihan raya mereka dalam tempoh singkat.

“Tidak adil cadangan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang hanya membenarkan tempoh 10 minit kepada parti politik untuk membentangkan manifesto mereka.

“Mesej yang ingin disampaikan sudah pasti tidak dapat difahami dan dihayati rakyat dalam tempoh singkat itu,” katanya menerusi satu siaran video yang ditayangkan di Tribunal Rakyat berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), hari ini.

Selain itu, katanya, pengedaran risalah berkaitan sesebuah parti politik juga tidak wajar dilakukan semasa berkempen kerana ia akan menindas pihak lawan yang lebih lemah.

“Risalah tidak seharusnya diedarkan semasa tempoh berkempen, sebaliknya rakyat lebih mahukan mekanisme daripada kerajaan sementara sebaik sahaja Parlimen dibubarkan,” katanya lagi.