Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Keputusan beli vaksin untuk sediaan masa depan rakyat

SABAK BERNAM: Keputusan Selangor membeli vaksin bukan mahu mendahului mana-mana pihak sebaliknya untuk persediaan masa depan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bertujuan mempercepatkan imuniti kelompok susulan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.

“Kelompok menerima vaksin ketika ini dalam kalangan umur 18 tahun ke atas tetapi kanak-kanak pun ramai dijangkiti, cuma mereka belum boleh divaksin serta kena tunggu dulu.

“Apabila kanak-kanak ini boleh divaksin kemudian hari, adakah kita perlu tunggu stok vaksin lagi, saya rasa lebih baik bersedia untuk masa depan anak-anak,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Saringan Komuniti di Dewan Seri Sekinchan di sini, hari ini.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor.

Inisiatif itu terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Amirudin berkata perbincangan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memuktamadkan bekalan vaksin berfasa bermula akhir Jun.

Program itu memfokus penerima vaksin dalam kalangan warga emas, pekerja industri serta kilang.

Namun Kerajaan Negeri turut mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun tetapi belum menerima vaksin.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rebat pengangkutan vaksin, bekalan diagih akhir Jun

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri menawarkan rebat RM20 kepada pengguna perkhidmatan e-panggilan Grab untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 1 Julai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melibatkan peruntukan sejumlah RM1 juta bakal memberi manfaat kepada hampir 50,000 individu di Selangor.

“Langkah ini sebagai pemudah cara serta menggalakkan rakyat terutama warga emas mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Selain itu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan membantu mereka yang menetap jauh dari PPV serta tiada capaian pengangkutan awam atau e-panggilan,” katanya  membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Beliau mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Tambah Amirudin, Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor untuk mempercepat imuniti kelompok rakyat bermula akhir Jun.

“Kerajaan Negeri memuktamadkan perbincangan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk membekalkan vaksin secara berfasa.

“Fokus penerima vaksin dalam kalangan warga emas, pekerja industri serta kilang. Kita juga mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun tetapi
belum menerima vaksin,” katanya.