Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peserta usahawan siswazah PKNS 2020 catat jualan RM4.4 juta

SHAH ALAM, 9 APRIL: Peserta Program Usahawan Siswazah (GROW) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2020 berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM4.4 juta, kedua tertinggi sepanjang 15 tahun pelaksanaan program tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Siti Zubaidah Abd Jabar berkata jumlah tersebut sangat memberangsangkan memandangkan peserta perlu berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 dalam memasarkan produk mereka.

“Jualan tertinggi pada 2019 iaitu kira-kira RM7.1 juta manakala pada 2020, walaupun dalam keadaan pandemik, mereka berjaya mendapat jualan sebanyak RM4.4 juta.

“Meskipun 2020 merupakan tahun yang mencabar susulan pandemik Covid-19, namun itu tidak menghalang usahawan muda ini untuk melonjakkan rekod jualan menggunakan kaedah jualan dalam talian melalui bantuan PKNS.

“Sepanjang 15 tahun pelaksanaan program itu, kami telah berjaya melatih 363 peserta dan sebanyak RM30.7 juta jumlah jualan telah dicatatkan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Program GROW PKNS 2020, di sini, hari ini.

Seramai 29 peserta GROW PKNS 2020 yang tamat menjalani kursus selama enam bulan diraikan dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Siti Zubaidah berkata pihaknya akan memasukkan modul pemulihan perniagaan sebagai elemen baharu dalam program GROW PKNS 2021 yang akan dijalankan pada Jun ini sebagai persediaan kepada peserta untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran pada masa akan datang.

“Modul pelan pemulihan perniagaan bukan sahaja untuk digunakan semasa krisis pandemik (Covid-19) tetapi untuk apa krisis sekalipun.

“Jika melihat kepada pusingan ekonomi biasa yang tidak melibatkan pandemik, setiap lapan hingga 10 tahun akan berlaku kemerosotan ekonomi selain kini ramai berniaga benda yang sama.

“Pelan pemulihan dalam situasi ini amat penting supaya usahawan GROW tidak berniaga dalam tempoh yang singkat. Mereka akan menambah baik pelan perniagaan mereka secara berkala (untuk kesinambungan perniagaan),” katanya.

Program GROW PKNS menekankan kaedah pelaksanaan yang mengkhususkan kepada aktiviti modul dan bengkel, bimbingan berkumpulan dan bimbingan individu. Pengambilan peserta adalah khusus kepada lepasan graduan berumur 30 tahun ke bawah, perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dijalankan sepenuh masa.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri rai 70 peserta Grow tamat sesi bimbingan

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai 70 peserta Usahawan Siswazah (Grow) di bawah program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) diraikan dalam satu Sesi Dialog Grow bersama EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail di Dewan Jubli Perak, kelmarin.

Majlis yang turut dihadiri tujuh syarikat pemaju itu dianjurkan selepas semua peserta fasa pertama dan kedua berjaya menamatkan sesi bimbingan perniagaan selama tiga bulan.

Turut diberikan penghargaan 48 Ketua Komuniti India (KKI) Selangor yang menjadi penggerak utama menjayakan program SITHAM.

Program SITHAM yang disokong Yayasan Hijarah Selangor merangkumi empat sub-program iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, geran bantuan peralatan perniagaan serta program Grow.

Insiatif ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri menggalakkan kaum India menceburi bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan dengan peruntukan RM1 juta.

Dalam sesi taklimat yang dijalankan melibatkan 2,010 orang tahun lepas, seramai 542 individu memohon untuk menyertai program Grow.

Categories
SELANGOR

GROW lahir usahawan siswazah berjaya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 DIS : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis Program Usahawan Siswazah (GROW) mampu membangun siswazah dengan ilmu keusahawanan dan berpotensi sebagai usahawan berjaya.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, program itu bertujuan membiimbing siswazah daripada pelbagai aspek dalam keusahawanan.

“GROW dilaksana untuk membangun siswazah berpotensi menjadi usahawan di mana mereka akan dibimbing daripada segi perancangan perniagaan, mengurus kewangan, kaedah pemasaran dan pemantauan sasaran jualan secara mingguan sehingga tamat program.

“PKNS komited menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda yang berpengetahuan dalam asas perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi GROW, di sini, semalam.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail menyampaikan sijil kepada 27 peserta GROW yang menamatkan kursus dari April hingga September lalu.

Siti Zubaidah berkata, mereka juga terdiri dalam kalangan 303 peserta lain yang turut menyertai GROW atau sebelum ini dikenali Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PHASER) PKNS sejak mula diperkenalkan pada 2006.

Katanya, lebih membanggakan apabila jumlah jualan berjaya diraih semua peserta GROW 2018 sejak April hingga September lalu adalah sebanyak RM1.81 juta manakala rekod jualan keseluruhan peserta sejak 2006 adalah RM19 juta.

“Syabas dan tahniah di atas kerja keras setiap peserta sehingga berjaya berada pada tahap ini dan semoga ia terus meningkat pada masa akan datang.

“Saya berharap program ini mampu mengekalkan pembentukan diri positif dalam kalangan peserta untuk mengemudi perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, PKNS berharap peserta meneruskan kerjaya sebagai usahawan berbekalkan ilmu ditimba sepanjang menyertai program berkenaab.

“Tidak mustahil, hasil pendapatan keseluruhan peserta GROW, mungkin menjadi pendapatan syarikat dalam masa hanya satu tahun sekiranya berani membuat inovasi, sentiasa mencari ruang penambahbaikan dan berusaha luar daripada kebiasaan,” katanya.