Categories
ADN SELANGOR

Selvax: Penduduk Kuala Kubu Bharu dipelawa mohon, peruntuk 5,000 dos

SHAH ALAM, 16 JULAI: Individu berusia 18 tahun ke atas sekitar Kuala Kubu Bharu dipelawa memohon suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax), dibuka sejak semalam hingga 20 Julai ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata keutamaan diberi kepada pemandu e-panggilan, teksi dan van, penghantar makanan, pekerja logistik, pengangkutan awam, peniaga serta penjaja.

“Kuota sebanyak 2,500 diperuntuk kepada penduduk membabitkan 5,000 dos, jadi peluang ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin terutama bagi yang belum menerima tarikh janji temu vaksin.

“Kita mengesan kira-kira 120,000 orang dewasa di Hulu Selangor belum divaksin dan ia satu jumlah yang agak besar. Diharap inisiatif ini mempercepat kadar vaksinasi daerah ini,” kata Lee Kee Hiong ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menjelaskan pemohon boleh mengetahui keputusan sama ada layak mendapat vaksin pada 21 Julai serta menerima suntikan dos pertama pada 24 dan 25 Julai di Dewan Sri Siantan, Gombak.

Menurutnya, jika sudah mendapat janji temu di MySejahtera individu terbabit perlu memaklumkan kepada Ain (011-19728303) dan Jessie Chong (013-2706028) sebelum 22 Julai.

Pendaftaran vaksin boleh dibuat melalui pautan berikut:

1. Umur 18 hingga 29 tahun

https://forms.gle/jkV8FfA28f4u48f26

2. Umur 30 hingga 44 tahun

https://forms.gle/JMSv1NMWD3aRMJ7p9

3. Umur 45 tahun ke atas

https://forms.gle/dbtYfMYFjSFDx2iDA

Selvax dilancar bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selvax Industri bendung jangkitan dalam masyarakat setempat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang menyediakan dos suntikan pelalian kepada golongan pekerja kilang mampu mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap komuniti.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari selagi pekerja sektor terbabit tidak divaksin, golongan itu berisiko menyebarkan jangkitan wabak di luar tempat kerja.

“Sekiranya kita dapat memberikan vaksin sebanyak mungkin kepada pekerja kilang termasuk pekerja asing, maka kilang-kilang ini tidak perlu ditutup.

“Walaupun kita menutup kilang dan pekerja tinggal di rumah, mereka masih akan dijangkiti selagi tidak diberi vaksin,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi wawancara eksklusif bersama The Star.

Beliau berkata, usaha ini akan membendung ancaman berterusan kluster tempat kerja selain membolehkan syarikat beroperasi jika terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa depan.

Rabu lalu Amirudin mengumumkan Selvax Industri yang menyediakan dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing bagi mengawal dan melindungi semua pihak memandangkan sejumlah besar kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Pada 15 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata pemberian vaksin ditumpukan kepada pekerja industri bagi mengelakkan virus merebak kepada masyarakat berikutan sektor itu masih mencatat jangkitan tinggi.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Categories
AGENDA NASIONAL

Program vaksin negeri langkah tepat atasi Covid-19 – STFC

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) merupakan langkah tepat mengurangkan jangkitan Covid-19 di negeri ini sekali gus melandaikan lekuk penularan wabak.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ia mempunyai peranan tersendiri dan sesuai dijalankan ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan mudah menghapuskan Covid-19 di Selangor kerana berkait rapat dengan kepadatan penduduk dan kepesatan industri. Jadi tiga langkah ini iaitu PKP, pengesanan kes dan vaksin perlu berjalan serentak.

“STFC cadangkan Selvax supaya dapat membantu kerajaan mencapai pembentukan imuniti kelompok lebih cepat,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada SelangorKini.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan program vaksin meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama kumpul senarai individu layak dapat vaksin

PETALING JAYA, 1 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sedang mengumpulkan senarai nama penerima yang layak mendapat suntikan pelalian di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax).

Ahli Dewan Negerinya berkata semakan terperinci akan dibuat sebelum pendaftaran dibuka dengan setiap DUN diperuntukkan kuota seramai 2,600 orang.

Jamaliah Jamaluddin berkata sasaran adalah mereka dalam kategori penerima Inisiatif Peduli Rakyat sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

“Ia termasuk individu banyak menyumbang kepada ekonomi negeri misalnya penjaja kecil, pemandu e-panggilan dan mereka yang sering mendampingi masyarakat setempat.

“Selain itu, pertimbangan bagi kes khas seperti orang kelainan upaya (OKU), mereka yang mempunyai penyakit kritikal dan belum mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah isu pembuangan sampah haram di kawasan perumahan SS20 di sini hari ini.

Sementara itu, Jamaliah berkata setiap wakil rakyat memiliki perancangan masing-masing bagi memastikan rakyat mendapat vaksin seterusnya membantu melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sebagai contoh, Bandar Utama tiada banyak kilang berbanding kawasan lain, jadi sudah tentu kita tidak akan menumpukan pekerja kilang,” katanya lagi.

Selvax dilancarkan Kerajaan Selangor bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.